Wednesday, December 26, 2012

Toiyibat

Bismillah.

Entah kenapa, hati memang kata ya bila ada yang tanya sama ada nak pergi atau tak.

Tiada paksaan. Tiada ragu. Ya, memang nak pergi.

Dan pabila berada di sana, Ustaz Hasanuddin memulakan bicara.


"Kita di sini bukan secara kebetulan. Kita dipilih oleh Allah"

Tepat ustaz. Tiada istilah kebetulan dalam dunia ini. Kerana semuanya, telah Allah aturkan dan rancangkan.

Jadi, jangan ditanya bila hendak melangkah ke tangga kedua, kerana Allah akan memberikan masa yang terbaik untuk tiap hambanya. Yakin. Noktah.

Persiapkan diri :

Ilmu, Mental, Fulus, Fisikal, Perancangan.

Alhamdulillah, Allah bagi peluang.

Wassalam.
Naqibah tanya: Bila doa tentang calon, minta apa daripada Allah?
Subhanallah, segan. Rasa macam nak sembunyi belakang langsir.
Akhirnya, terkeluar juga.

Moga calon itu terbaik buat dakwah. 
Moga Allah redha.Moga Allah sentiasa menjaga hati.
Al-Furqan:74

Sunday, December 2, 2012

Kain putih


Bismillah.

Mereka, kanak-kanak penghibur hati yang aku cintai.
Lokasi: Rumah atuk nenek.

Kanak-kanak di Palestin mungkin sedang bermain batu-batuan.
Merancang strategi menghadapi musuh.
Mempertahan bumi ummah.

Kanak-kanak di sini mungkin bukan bermain batu-batuan.
Bukan sibuk merancang strategi.
Bukan juga dalam misi mempertahan bumi itu.

Namun, mereka masih kanak-kanak yang sama nalurinya.
Moga cintakan Allah tiangnya.
Moga kasihkan nabi landasannya.
Moga semangat jihad tetap membara dalam jiwa kanak-kanak ini.
Dan kitalah pewarnanya.

Allah, besarnya tanggungjawab mendidik ummah dan kain putih ini. 

" Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan zuriat yang menyejukkan dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa" Surah Al-Furqan:74
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan" Surah Ali-Imran:38

" Wahai Tuhanku, kurniakan aku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh" Surah As Soffat:100

Wassalam.

p/s: Salah satu sebab mengapa Palestin masih di hati. Adalah kerana Rasulullah saw sangat mencintai kanak-kanak. Dan aku dapati mereka di sana ditindas dan dizalimi. Adik-adik ku. Hero-hero ummat. Dan itu buat aku hiba dan tidak tertahan. Allah, lindungilah mereka.

Doa-doa yang memang boleh dibaca bermula sekarang.

Monday, November 19, 2012

Dulu dan kini

Bismillah.


Dulu,

Sewaktu aku tidak kenal Palestin.
Aku tidak tahu suara sayu-sayu itu.

Aku tidak tahu darah-darah yang mengalir laju.
Aku tidak tahu kesakitan yang begitu pilu.
Aku tidak tahu penderitaan saudara-saudaraku.
Hingga aku rela biarkan mereka bersendirian.
Mengutamakan kepentinganku dahulu.

Kini,
Aku lihat mereka terdampar di bumi Tuhan.
Tiada siapa yang pedulikan.
Dan mereka sungguh kasihan.
Aku bayangkan mereka sanak saudara dan teman taulan.
Hingga aku gerun memikirkan.
Bagaimana aku mampu bersenang-senang di sini memberikan beribu alasan.
Sedang mereka dalam kesakitan tidak tertahan hingga syahid menuju Tuhan Rabbul Alam.

Dan
Bermula saat itu, aku berjanji yang aku akan membantu sedaya upayaku membebaskan mereka daripada cengkaman kezaliman.
Aku akan menberikan apa yang aku mampukan.
Walau jasad tidak bersama mereka, namun jiwa tetap senantiasa merasai perjuangan.
Perjuangan membebaskan tanah dan ummat-ummat Islam.

Wassalam.
Allah, saksikanlah bahawa kami bersama-sama perjuangan membebaskan tanah milik kami. Menangkanlah kami. Allah.

p/s: subhanallah, masih teringat macam mana awal-awal dulu nak boikot barang-barang yang menyumbang pada kesengsaraan ummat Islam. pahit dan manisnya, hanya Allah yang tahu.

Monday, October 29, 2012

Terbang

Bismillah.


" Hai manusia, sesungguhnya kamu menuju kepada Tuhan-mu dengan kerja dan usaha yang sungguh-sungguh, maka kamu pasti akan menjumpai-Nya." (Al-Insyiqaq : 6)

 " Wahai ‘al-nafs al-mutmainnah’ (jiwa yang telah mencapai tahap ketenangan). Kembalilah kepada Rab (Tuhan) kamu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku (hamba-hamba Allah). Dan masuklah ke dalam jannah (taman/syurga)-Ku (jannah Allah). " (Al-Fajr :27-30)

Dan bertemu dengan Allah, nikmat tidak terkira.
Bertemu dengan kekasih, nikmat yang sangat dinantikan oleh yang sangat mencintai.

Wassalam.
Baiti Jannati.

Saturday, October 27, 2012

Apa sahaja

Bismillah.

" Tinggalkanlah perkara tu. Bukannya boleh tambah amal pun "
" ya Allah, dia buat perkara ni? Kita kan sudah ditarbiyah, mana boleh buat perkara-perkara tu "
" Inikan perkara-perkara lagho. Baik kita cari isu lain untuk diperkatakan "
" Hal ini boleh bawa fitnah dan menggelapkan hati. Kurangkanlah cakap pasal perkara ni "
" Takde perkara besar lain ke untuk dibualkan? Bila kita sibuk berbicara soal hati, amal-amal medan pun tak bergerak "

^___________^
Sarcastic? Astaghfirullah.

Wahai pada du'ah sekalian,

Dakwah kita ini adalah dakwah cinta. Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Ianya bermula dengan kasih sayang dan rasa cinta terhadap saudaranya. Rasa cinta yang membara ini yang selalu mendorong kita untuk terus menyeru pada jalan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Rasa kasih sayang yang menebal ini yang sentiasa membuatkan kita tegar dengan tugas Ar-Rasul untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Dan rasa setia pada jalan-Nya yang membuatkan kita terus bertahan di jalan perjuangan yang penuh mehnah dan ujian tidak terkira.

Perbezaan itu bukan untuk menjauhkan kamu. Perbezaan itu untuk mendekatkan kamu. Gunakanlah hikmah yang diajar Rasulullah saw dan bukannya meletakkan dirimu terlalu tinggi sehingga sukar mendekati masyarakat. Inilah masyarakat kamu! Terimalah dia, dekatilah dia dan serulah dia jalan kebaikan.

Inilah masyarakat yang suka hiburan. Inilah masyarakat yang jauh daripada Tuhan. Namun, masyarakat inilah masyarakat kamu. Masyarakat yang perlu diperbetulkan dan diajak kembali pada jalan kebenaran. Serulah mereka dengan kasih sayang. Serulah mereka dengan kesabaran.

Wahai para du'ah sekalian,

Sedang kita sibuk menyeru orang lain, serulah dirimu terlebih dahulu. Sebelum kita buang jahiliyah pada diri orang lain, jangan kita lupa buang jahiliyah dalam diri. Khuatirnya kita, sibuk dengan mazmumah orang lain sehingga lupa akan mazmumah diri sendiri. Sedang kita sibuk dengan amal-amal orang lain, sibukkanlah amal-amal kita juga. Risaunya kita, sibuk menghitung amal dan jahiliyah orang lain, rupanya diri kita sendiri yang masih berkarat jahiliyah dan amal-amal yang lopong. Astaghfirullah. Moga Allah selalu mengingatkan kita.

Hati-hati, karat jahiliyyah masih banyak bersisa!

Takutnya kita akan peringatan Allah swt dalam surah As-Saff ayat 2-3;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

Shuh shuh Jahiliyyah!


Ayuh, islah nafsak wad'u ghairak :) Moga peringatan ini berguna buat kita semua terutamanya buat diri ini sendiri. Masih banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk memperbaiki diri. Mazmumah dan jahiliyyah dalam diri yang mengikat. Jom, korbankanlah jahiliyyah dan sifat-sifat mazmumah. Moga Allah meredhai kita, dunia akhirat. InsyaAllah, aamiin.

Korbankan apa sahaja di jalan-Nya.

Kullu 'am wa nanhu bilkhoir.
Salam 'Eid Adha 1433 Hijrah :)

Wassalam.
Johor Bahru.

Friday, October 12, 2012

Rasulullah saw

Bismillah.

Malam itu sunyi. Mata melirik jam di tangan. Jarum panjang sudah melebihi angka 6. Dan jarum pendek di angka 10. Sudah melebihi jam 10.30 malam dan aku masih tercegat berseorangan di kafe fakultiku ini. Mesyuarat organisasi yang habis lewat telah menarik aku ke lembah ini. Lembah kesepian, kegelapan dan keseorangan. Allah...Allah, aku kurang suka situasi ini :( Berseorangan dalam kepekatan malam. Yang lebih utama, aku perempuan dan aku fikirkan keselamatan dan maruahku. Aku tidak putus-putus menbaca beberapa potong ayat suci Al-Quran. Moga aku sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Aamiin.

Ternyata, pada lewat malam ini suasana hitam pekat. Tiada seorang pun manusia yang melaluiku. Yang ada kemungkinan hanyalah dua orang lelaki di dalam musolla berdekatan kafe. Itupun kerana aku nampak kasut mereka di luar musolla. Entah kenapa hatiku berdegup kencang. Sekali lagi, Allah, lindungilah aku.


Sesudah duduk, aku menelefon adikku. Menanyakan kepastian tentang beberapa perkara. Dalam hati, aku berharap aku akan bercakap lama dengannya. Menghilangkan gusar di hati. Sungguh, aku tidak pernah berada dalam situasi berkenaan. Namun, malam itu aku melakukannya saat rakan-rakan seorganisi balik menunggang motor. Mahu balik naik bas? Bas dah tiada waktu ni :( Aku masih bercakap dengan adikku di saat ada suara memanggil namaku. Aku tidak cam wajahnya dek kepekatan malam yang gelap serta jarak yang agak jauh, namun aku kenal suaranya oleh kerana pernah berurusan dengannya. Aku menghentikan seketika perbualan dengan adikku.


" Akmal, balik naik apa? " Aku mendengar lontaran soalannya


Aku mengawal nada suaraku. Moga dia tidak lihat bahawa aku seakan mahu sebak. Meminta tolong rakan serumah yang awal-awal lagi sudi mengambilku lalu menyusahkannya. Juga keadaanku yang berseorangan di situ. Di saat  pergantugannku hanya pada Allah pemilik seluruh kehidupan dan kematiaanku.


" Kawan ambik nanti " Aku membalas ringkas. Dan kemudian menyambung kembali perbualan dengan adikku.


Talian dimatikan. Aku berusaha untuk tenang dan tidak memikirkan yang bukan-bukan. Sambil itu, tangan menyelak helaian nota-nota yang aku bawa. Selepas nota, aku dapat rasakan aku tidak fokus lalu aku mencapai Al-Quran. Menyambung tilawah yang tidak sempat dibaca usai Isyak. Sesekali, aku menoleh ke kanan dan ke kiri. Saja, sedapkan hati. Aku yakin kuasa Allah yang akan melindungiku. Yakin :)


Beberapa minit kemudian, aku terdengar bunyi enjin kereta. Aku lantas yakin akan bunyi itu dan bangun. Kawanku berpesan yang dia akan mengambil aku di hadapan kafe. Dan aku dapat rasakan itu adalah dia.

Aku melangkah keluar. Dari jauh aku nampak keretanya.  Aku terfikir sendiri, macam mana aku boleh dengar bunyi enjin tersebut, kerana rupanya kawanku berada agak jauh dari kafe. Kuasa Allah :) Aku melangkah lagi. Dan rupanya...


Ya Allah, ada orang duduk rupanya di tembok jalan ni. Terperanjat dibuatnya. Gulp

Terkaku.

" Eh, tak balik lagi? " Sekadar itu yang terkeluar.

" Pergilah balik " Subhanallah. Aku terdiam.
" Terima kasih "

Allah Allah Allah

Aku mengucap lafaz hamdalah.

Di zaman ini masih ada lagi yang sepertinya.
Sanggup membantu insan yang tiada kaitan dengannya.
Sedang dia bukan seorang 'ikhwah'.
Sedang aku tidak mengenali dia.

Sedang aku hanya berharap pada Allah Yang Esa.
Dan penjagaan Allah itu tidak terkira.

Aku mengucap lafaz hamdalah.
Di saat aku kira tiada siapa yang membantuku.
Rupanya bantuan Allah itu sentiasa ada.

Pintalah, pasti Dia berikan jalannya.

Aku mengucap lafaz hamdalah.
Pada detik peristiwa itu.
Kerana ketika itu.
Hatiku langsung mengingati kekasih agung.
Rasulullah saw.
Menelusuri sirah baginda.
Baginda memelihara wanita-wanita.
Menjaga sesungguhnya.
Hingga semua wanita memuliakannya.
Kerana akhlak yang mempesona.
Dan kesungguhan baginda meletakkan wanita di tempat yang sebaiknya.

Moga lebih ramai yang mengikuti akhlak-akhlak baginda yang indah tiada tara. Bukan sekadar dalam perkara-perkara besar, namun hubungan sesama manusia. Aamiin.

Wassalam.

p/s: Rasulullah, gentleman orangnya. Subhanallah!

Monday, October 8, 2012

Udang

Bismillah.

"Akak buat FB?" Soalan yang sudah ku tahu jawapan itu sengaja aku tanyakan.
"Haah, akak dah add Sejadah Ungu" Hatiku senyum kerana baru beberapa ketika aku 'accept' dirinya.
"Kenapa akak buat secara tiba-tiba?" Soalan ini memang aku ingin tanyakan pada dirinya. Kerana sejak aku mengenalinya dan menjaganya, dia tidak berminat dengan Facebook. Dah puas ajak buat FB, tapi memang dirinya tak nak. Tup tup, dah ada FB. Menarik ni. Macam ada udang di sebalik mee wantan.

Dan jawapannya mengejutkan diriku.

"Hehe, termotivasi dengan cerita Kak Hajar yang dia cerita pasal Dakwah Fardhiah; masa daurah hari tu"

Subhanallah, tak sangka, dengan beberapa jam sharing mengenai DF, akak ni boleh terus buat FB. Sedangkan, setelah lama dia bertekad tak mahu buat FB. Allah...

Moga ianya menjadi satu medan amal yang diredhai Allah. Segala yang di sekeliling anda berhak dijadikan medan-medan menyampaikan kebaikan. Even, only a word :)

Ok, dah jumpa udangnya!

Moga kita sama-sama menjadi yang terbaik di mata Allah. Dakwah Fardhiah, salah satu saham-saham ke akhirat. InsyaAllah, moga kaya di akhirat.

Wassalam.

p/s: Jangan pandang rendah pada FB. Kerana Allah yang menggerakkan hati manusia. Kita? Usaha tiada noktah^^

Thursday, September 27, 2012

Merah

Bismillah.

Petang itu cuaca sangat panas. Dan mungkin doktor pakar kulit akan menasihatkan supaya waktu ini kulit tidak didedahkan di terik mentari. Eh, ye ke?


Ikutkan nafsu - Memang paling 'M' dan tak larat nak melangkah ratusan langkah daripada kampus ke rumah. Jauh, tahu? Ya Allah, sabarkanlah hati ini. Dan gagahkanlah kaki ini :)


Ikutkan hati dan akal - " Wei, qowiyul jismi ni. Takkan nak riadah sikit keluarkan peluh nak kisah. Gulp. InsyaAllah, melangkahlah untuk sampai ke destinasi. "


Bicaranya,


" Untunglah orang yang ada kereta "


Lalu, jawablah,


" Untung dan alhamdulillah kita yang masih punya kaki "


Orang yang tiada kenderaan akan berpeluang lebih banyak untuk bersenam dan menikmati ciptaan Allah. Dan orang yang ada kenderaan pula boleh tambah pahala tumpangkan kawan-kawan dan bersabar dengan mereka. Best kan keduanya?


***


Cuaca yang sangat menguji telah mendorong diri ke kedai itu. Hajat kanak-kanak ribena. Teka? Aiskrim oh aiskrim. Kaki melangkah laju ke tempat biasa. Kedai pck osem. Sebab? Satu-satunya kedai yang jual aiskrim yang tak boikot. Ok, boleh beli dengan senang hati :)


Selepas memilih aiskrim, terus ke kaunter. Eh, pck ni dengar apa kat radio kegemarannya ni? Macam biasa dengar melodi ni. Apa ya? Ni macam melodi tu. Biar betul pck ni dengar? Takkan tak tukar siaran? Perasaan yang curious tu ditutupi muka sang pelakon. Control.


Dan akhirnya, sah. Pck memang betul dengar. Pck dengar azan! Malah, tak tukar pun siarannya. Kalau sebelum ni biasanya pck memainkan siaran yang tak faham bahasanya. Tapi kali ini pck selamba membiarkan alunan azan itu ke penghujungnya.


Allahuakbar! Hati bergetar saat kaki melangkah keluar. Sangat. Mulut tertutup berkunci.


Mengingati tentang unta merah.



سَهْلُ بن سَعْد رضى الله عنه أنّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال: “فَوَاللهِ لأَن يهديَ اللهُ بك رجلاً واحدًا خيرٌ لكَمِن أن يكونَ لكَ حُمْرُ النَّعَم.”
رواه البخاري و مسلم و أحمد
Maksudnya: Daripada Sahl bin Sa’d Radhiyallaahu ‘Anhu bahawa Rasulullah saw pernah bersabda: “Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seorang sahaja (kerana da’wah) melalui diri mu, (itu) adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu memiliki unta-unta merah.” Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad
Subhanallah, siapakah yang akan memiliki unta-unta merah ini?  Di zaman gadjet tab dan    handphone  touch screen. Dan siapakah yang bakal mendapat offer yang diberikan Rasulullah saw suatu ketika dahulu dan valid sehingga kini? Dan siapakah yang akan menyebabkan orang-orang sekelilingnya dekat dengan Islam dan memilih Islam sebagai  the way of life?
Siapakah insan bertuah itu? Angkat tangat cepat-cepat!
Wassalam.
p/s: Pck itu berbangsa India dan nama kedainya adalah Vigo.

Friday, August 31, 2012

Ummi

Bismillah.

Bertanyakan soalan-soalan seperti ini, memang favourite.

" Ummi, macam mana kita nak kekal istiqamah di jalan dakwah ini? "
" Ada banyak. Tapi, bagi ummi, kita kena sentiasa ikhlas dan sentiasa bersama-sama dengan akhawat seperjuangan. "

Ya. Ikhlas dan kebersamaan itu. Tidak aku risau kebersamaan itu. Kerana ianya bersifat fizikal. Orang ramai mungkin nampak aku bersama-sama akhawat. Namun, aku risau keikhlasan itu. Kerana meski berada dalam dakapan akhawat, ikhlas itu daripada dalam dan hanya Allah yang melihatnya.

Moga Allah sentiasa membantu aku untuk ikhlas.
Moga Allah sentiasa membantu aku untuk cinta.
Kerana aku tahu, tanpa cinta akan jalan-Nya ini, aku takkan mampu melahirkan rasa ikhlas ini.
Aku ingin mencintai jalan-Nya ini dan aku mahu ikhlas dalam beramal.
Tanpa ikhlas, amalku pasti terhenti di persimpangan ini. Dan itu yang aku takuti.

 
Of course, jalan ini memang panjang!

Salam eid mubarak dan kemerdekaan :)

Wassalam.
" Ya Allah, istiqamahkan kami pada jalan kebaikan. Aamiin. "

Thursday, August 9, 2012

Dan Ramadhan ini

Bismillah.

3 buah beg biru itu dipandang lama. Macam mana ni ya?

" Setiap orang akan dapat 3 buah beg. Dan beg ini antunna perlu beri pada jiran yang antunna akan bersilaturrahim dengannya ".

Peluh. Amanah mana yang tidak berat?

Seriously, sejak pindah ni, tak pernah lagi lenggang kangkung jalan-jalan keluar sekitar luar pagar. Tiada taman di hadapan rumah seperti dulu. Dan sudah ada 'Hanzalah' yang boleh ke kedai berdekatan.

Wahaha. Adakah ini alasan?

Alasan hak berjiran? Allah :(

Gulp. 

***

Keputusan itu nekad. Kena bagi jugak beg-beg yang berupa hadiah ini kepada mereka. Takkan nak buat khazanah dalam muzium. Of course, nehi. Amanah ni, cik khalifah.

InsyaAllah, everything will be fine. Allah kan ada. Bukan nak masuk meminang atau terus ajak berbulatan gembira. Bagi beg ni je :) Chill.

" Ibu, akak nak pegi bagi beg-beg biru tu kat jiran-jiran kita". 
" Beg mana? Ada berapa? "
" Atas meja tu. Ada 3 ".
" Ada apa dalam tu? "
" Ada macam-macam. Pasal Ramadhan. Kurma dengan kismis".
" Akak nak bagi pada siapa?"
" Bagi pada nenek depan ni, rumah yang buat tuisyen dengan rumah yang ajar ngaji untuk wanita tu"

Turun semula dari atas.

Subhanallah, terkejut. Terharu :(
Ibu selamba aje kumpulkan buah-buahan atas meja. Memasukkannya dalam plastik dan kemudian ke dalam beg-beg tersebut. Ok, siap. Nah!

Selesai. Taraa :)

Alhamdulillah, Allah memang akan sentiasa ada untuk hamba-hamba-Nya. Rasa saangat mudah urusan petang tu. Rasa macam nak ada 13 belas buah beg pun seronok. Riadah berjalan sekangkang kera sambil aroma bazar Ramadhan menusuk ke rongga. Eh.

Pastinya, ta'aruf dulu dengan tuan-tuan rumah. Dan ianya sangat osem :)

Patutlah, Rasulullah begitu memuliakan tetangganya. Berkahnya tidak terkata.

***

Nah, setiap amanah memang berat pada langkah pertama. Kerana kita tak pernah mencuba. Kesukarannya kita tak jangka.

Namun, ianya tidak sesukar yang kita sangka pada langkah-langkah seterusnya. Apatah lagi amanah ini bukan milik kita. Ianya milik Allah. Dan ianya wajib di sisi kita.

Ketenangan.

Itu ganjaran yang tidak mampu diungkap. Moga Allah meredhai amal-amal kita yang besar mahupun yang kecil sekecil-kecilnya.

***
Bonda dan ayahanda tercinta
Meski kau tidak seperti mereka
Aku berdoa agar kalian diredhai Allah dan dibalas syurga
Atas kebaikan, semangat dan sokongan yang tiada tara
Yang kau berikan pada jalan dakwah ini
Dan kepada duah jagaan kalian ini.
Aamiin.

***
Allah
Terima kasih atas peluang ini
Peluang merasai Ramadhan ini
Peluang merasai kenikmatan beribadah
Peluang merasai segalanya dalam Ramadhan.
Moga Kau berikan lagi kami peluang
Untuk menghabiskan Ramadhan kami
Dalam ketaatan dan keredhaan.

p/s: Sekolah mana ni? Aura muda di bulan Ramadhan terchenta. ;p

Wassalam.
Bukan ukhti sejak dalam kandungan.
But, subhanallah. Thank you Allah for everything.
Puts me here.
21 tahun bersama Ramdhan.
InsyaAllah.

Friday, July 20, 2012

Antara 2 lelaki

Bismillah.

Entah pada tarikh bila hal ini berlaku. Mendalam dan terkesan.

Lelaki pertama.

Solat subuh.

" Akak, tak solat sunat? "

Sunyi.

Tanpa menunggu jawapan yang mungkin tiada;

" Solat sunat ni akan menampung solat-solat fardhu kita. 2 rakaat je "

Gulp. Akur pada sebaris kata itu.


Lelaki kedua.

Solat isyak.

Ingatkan lelaki itu nak cakap apa. Rupanya, soalan itu lagi.

Soalan yang sama.

Cuma pada solat yang berlainan.

" Akak tak solat sunat? "

Diam.

Tiada jawapan ke?

Gulp.

" Bukan sekadar kuantiti yang dikejar
  Memuaskan hati manusia
  Namun rupanya tidak memberi makna.

  Aku mengejar ikhlas dan istiqamah
  Aku mahu merangkak
  Aku mahu terjatuh dan merasa sakit
  Baru aku tahu erti penghambaanku.
  Penghambaanku bukan kerana aku manusia hebat
  Penghambaanku bukan kerana ianya disuruh manusia
  Bahkan
  Penghambaan ini penghambaan yang tulus dari hati
  Hati yang kosong tanpa merasa hamba pada Dia
  Hati yang hilang tanpa berkata-kata dengan Dia
  Hati itu yang mahu aku miliki
  Cinta tiada tara
  Hingga aku tak bisa meninggalkan ibadah-ibadah itu
  Kerna rindu ini sentiasa ada untuk Pencipta. "

 Biarkan aku mulakan sedikit-dikit
 Kerana aku mahu menghargai apa yang aku cintai
 Kerana aku mahu ianya berkekalan sehingga penghujung nyawaku
 Bukan yang berhenti di simpang perjuangan.

***
Ramadhan, aku temui cinta.

Ramadhan Kareem. Kullu 'am wa antum bil khoir :)

Beribadahlah dengan cinta. Bukan terpaksa.

Allah musta'an.

Wassalam.

p/s : Lelaki-lelaki itu adalah wali-wali ku. Mereka berkata hal yang sama.

Friday, July 6, 2012

Jatuh

Bismillah.

Perempuan itu membuka pintu surau. Memberikan salam dengan nada ceria. Dia masuk. Aku menjawabnya perlahan. Raut wajahnya yang menghampiri kami berdua ternyata menzahirkan kemanisan wajahnya. Dia muda rupanya. Alhamdulillah, selamat sampai juga dia akhirnya, bisikku.

Dia menyalamku. Mengenggam tanganku erat sambil bertanyakan namaku yang mungkin sudah ada dalam pengetahuannya. Kami duduk dan bertanyakan khabar masing-masing.

Subhanallah, aku jatuh cinta.

Bukan kerana wajahnya cantik.

Bukan kerana dia selalu tersenyum.

Tapi kerana dia memiliki lebih daripada itu.

" Peh, osem ni." Hatiku berkata dulu.

Aku tidak pernah menemuinya sebelum ini. Malah, ini kali pertama melihatnya. Namun, sudah cukup untuk tertarik dengannya. Entah kenapa, ada yang tidak kena. Tidak kena yang membahagiakan. 

Aku tahu dia istimewa. Hatiku laju mengiyakan.

Aku tahu dia akan buat orang jatuh cinta.

Dan orang itu adalah aku. Orang yang baru mengenalinya tak sampai beberapa minit yang lalu.

Akhlak dan qudwahnya sangat terkesan. Macam dah lama jumpa. Sedangkan, hanya nama beliau sahaja yang selama ini meniti di bibir si bunga itu.

Imbas kembali:

Bunga: " Akmal, free tak waktu ni? Ana nak ajak nti jumpa seseorang "
Ana   : " Oh ya? Siapa? InsyaAllah, free je lepas exam "

***
Dia mengerjakan solat zuhur. Tidak gopoh dan perlahan-lahan. Tenang.
Ditambah pula dengan solat sunat 2 rakaat selepasnya.

" Allah, busy pun boleh sempat buat solat sunat "

Makannya juga tenang. Tidak terlalu laju. Mensyukuri nikmat rezeki yang Allah berikan petang itu.

Kami berbual panjang. Bertaa'ruf dan sharing.

Tiada rasa penat yang menganggu. Semuanya hilang berterbangan ditiup angin. Yang ada, hanyalah titipan nasihat, semangat membara yang pastinya sentiasa mengalir dalam jiwanya.

Akhirnya.

Sehinggalah, dia menghantar kami ke stesen KTM.

Subhanallah.


Rasa berat hati meninggalkan si dia. Rasa ingin berlama-lama dengan dia. Angau ke ni?

Peribadi itu memang cinta.

Alhamdulillah, indahnya pertemuan singkat ini. Syukurnya, Allah aturkan temu janji dengan insan yang luar biasa ini,

Sehingga jiwa ini tersentuh dengan kesederhanaanya. Dengan akhlaknya. Dengan tutur katanya yang tidak pernah sia-sia. Dengan mujahadahnya tatkala dia juga memiliki tanggungjawab pada yang lain. Dengan semangatnya yang selalu memotivasikan orang disekelilingnya.

Dia itu doktor daie. Dan dia memang doktor pakar. Doktor yang bukan sahaja merawat fizikal manusia, malah mampu menyembuhkan jiwa manusia.

Dia memang doktor. Doktor yang perilakunya qudwah dan dakwah. Doktor yang menjaga ke'izzahannya pada Islam.

Dia memang doktor. Doktor yang bertudung labuh dan berjubah. Dan di sebalik itu, ada jihad untuk ummah.

Aku jatuh cinta.

Aku mencintai dia di jalan-Nya ini. *dan ini tak tipu*

Aku ingin jadi seperti dia. Dan aku mahu kamu juga jadi seperti dia.

Aamiin.

Wassalam.

Hospital Serdang,
29 Julai 2012.


Friday, April 6, 2012

Ustaz Hasrizal

Bismillah.

Membaca tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal membuatkan keinginan untuk mendengar talk daripadanya melonjak-lonjak. Jika ada kesempatan, macam nak dengar sangat beliau menyampaikan sesuatu. Dulu sekadar membaca, sekarang ingin mendengar. Maka, usaha diperlukan untuk keinginan itu.

" Salam. Akak, free tak sekarang? "
" Free. Kenapa? "
" Saya nak ke kampus. Boleh tolong hantar? "
" Ok. Bagi alamat. "

Beberapa ketika.

" Abang, ni no dia. 013-7****** "
" Akak, lelaki ke yang nak ambil? Kalau ya, takpelah. Saya tak nak. Saya seorang ni. "
" Haah, dia tunang akak. Dia ok je. Takpe, nanti awak duduk belakang. Abang tu dah on the way dah tu. "

Maka, kekakuan di situ. :(

Akak, saya tidak peduli dia tunang akak atau tak.
Kerana yang penting, dia bukan suami saya.

Akak, saya ini seorang perempuan. Sedangkan siang pun saya berat untuk menaiki kereta lelaki. Inikan pula waktu malam dan seorang diri. Waktu darurat sahaja saya akan memikirkannya.

Akak, meski dia tunang akak, namun dia masih belum halal untuk akak apatah lagi saya. Bagaimana mungkin akak membiarkan seorang perempuan menaiki kereta secara berduaan bersama lelaki tanpa tiada rasa apa-apa. Ini bukan budaya yang Islam ajarkan.

Akak, saya lebih rela untuk tidak ke talk pada malam itu sekirannya saya perlu menaiki kereta berduaan bersama lelaki yang belum halal untuk saya.

Akak, alangkah indahnya jika akak bertanya dahulu kepada saya tentang situasi itu.

Akak, betapa saya bersyukur Allah mengizinkan saya menerima mesej akak yang salah. Kerana baru saya tahu, pemandu yang akan mengambil saya adalah lelaki.

Akak, bersyukurnya saya pada Allah membiarkan saya menghadapi keadaan ini dan membuatkan saya tahu bahawa saya perlu lebih kuat bekerja dan menyampaikan kebaikan kepada yang lain. 

Ummat ini memerlukan doktor-doktornya.

End.

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan untuk ke talk malam tu tanpa bertiga dengan lelaki tersebut (yang ketiga tu syaitan).

Terima kasih Allah kerana masih sayang dan tidak pernah berhenti menyayangi.
Terima kasih Allah kerana masih menjaga diri ini daripada fitnah dunia dan tipu dayanya.
Terima kasih Allah kerana telah memberikan 'ibrah yang tidak disangka-sangka.

Cenderamata daripada talk.

1. Taqwa itu yang menjaga diri kita. Apabila kita sedar tuntutan taqwa, kita akan dapat mengawal diri kita. Contah : Sekiranya kita sedar matlamat Facebook yang kita daftar, pasti kita dapat mengawalnya dan tidak akan lari daripada matlamat asal kita melakukannya.

" Taqwa itu ibarat kamu berjalan di satu jalan yang terdapatnya duri-duri " -Umar Al-Khattab.

2. Bersabarlah dengan pemuda dan janganlah lepaskan mereka.


" Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."
   
Pemuda itu banyak cabarannya. Pemuda itu banyak kelemahannya.
Hakikatnya,
Pemuda itu anugerah berharga. Manfaatkanlah pemuda.  

Sekian,
Pemuda harapan ummah.
Nilai.

Wassalam.

Wednesday, March 21, 2012

Cukup

Bismillah.


Sungguh, Allah itu DEKAT.
"Dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada kamu. Tetapi kamu tidak melihat." (Al-Waqi’ah: 85).
"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Qaaf: 16)
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186).
"Dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)." (Al-’Alaq: 19)

Bukan tidak boleh mengharapkan manusia.
Cuma manusia itu ada keterbatasan.
Allah itu sebaik-baik sandaran.
Biarlah Allah didahulukan dalam semua urusan. 
^_^
Selamat berjuang .
Wassalam.