Thursday, July 28, 2016

Buku #5: Kunang Pesisir Morten

Bismillah.

Suara ibu di hujung talian buat saya tersenyum.

"Akak betul ke nak pergi muzium?"

"Haah, betul. Boleh kan, bu?"

"Pergilah. Sejak bila akak suka muzium ni?"

Jujurnya, saya sendiri tidak menyedari entah bila kegemaran yang satu ini datang menyelinap masuk. Adakah kerana naqibah saya mengajar di KAED (baca: Kulliyyah of Architecture and Environmental Design)? Erm mungkin (; Saya senang sekali memerhati pelbagai hasil tangan mahupun seni meski saya mungkin salah menafsirnya atau tidak punya banyak masa menghayatinya. Entahkan betul telahan saya mahupun tidak. Dewasa ini, peluang untuk menghayati kelebihan kelebihan yang dikurnia Tuhan pada tangan tangan magis buat saya ingin sekali punya masa sendiri untuk berfikir. Apatah lagi hasil seni kanak kanak. Ah, tenggelam dalam dunia sendiri. Berfikir, analisa dan cuba meletakkan posisi diri ke dalam apa jua yang karya yang saya temui.

Ke pameran lukisan beberapa bulan lepas, mengingatkan saya pada kehendak Dhiya yang bekerja keras untuk mendapatkan warna Rowney. Dhiya dalam Kunang Pesisir Morten tulisan Raiha Bahaudin. Seorang kanak kanak perempuan berusia sembilan tahun yang tinggal di Kampung Morten. Saya kira watak Dhiya begitu kuat dalam naskah ini meski dia digambarkan sebagai seorang anak pra setinggan yang mengerbang rambutnya, hitam kulitnya. Memiliki jiwa yang tekad, sungguh sungguh, akrab dengan alam, unik, dianugerahkan Tuhan hikmah, ketajaman akalnya dalam meneliti dan menganalisa dan klasik barangkali eheh ;p

Dhiya; perempuan membaca.

Dhiya dibesarkan tanpa ayah. Dia hanya punya ibu. Walau tanpa pendidikan tinggi, ibu Dhiya tetap sahaja berusaha memberikan pendidikan yang terbaik buat Dhiya sehingga Dhiya bisa membaca pada usia empat tahun.

"Ibu Dhiya berusaha membelikan beberapa buah buku yang baik baik. Rumahnya memang tiada perabot. Tetapi di satu sudut, kau akan melihat rak kecil dengan himpunan buku kanak-kanak malahan terjemahan siri penyiasatan kembara Nancy Drew, Hardy Boys dan Lima Sekawan." (Halaman 28)

Saya kini lebih mengerti kenapa Dhiya membesar menjadi perempuan gemilang. Kerana dia dibesarkan oleh perempuan yang kaya. Kaya jiwanya untuk memberikan yang terbaik buat Dhiya. Dhiya menjadi perempuan membaca sedari kecil. Dan ianya bermula daripada rumah kecil mereka. Yang ibunya memiliki peran yang besar dalam membesarkan Dhiya. Saya kagum, masyaAllah!

"Aku cemburu melihat apabila ada anak anak kampung yang sedikit senang dihantar ke dua sekolah ini menaiki van dan memakai baju seragam lengkap bertali leher dengan segak sekali. Tetapi ibuku sering mengatakan yang jika aku punya kemahuan untuk pandai, sekolah mana pun mampu membuat aku pandai. Dan memang aku percaya sepenuh jiwa raga bahawa ibuku wanita paling bijaksana." (Dhiya, Halaman 31)

Dhiya; si Detektif Conan.

Antara tema besar dalam karya ini, jika boleh saya simpulkan, berkait dengan dua penyiasatan. Dhiya yang bijak memerhati dan menghubungkan semua garis garis halus yang dijumpai, secara tidak langsung membantu menyelesaikan misteri kematian Ooi dan kehilangan barang barang berharga ratusan tahun. Kemahiran dan kebijaksanaan Dhiya melangkaui pemikiran kanak kanak seusianya malah orang dewasa. Dhiya bagaikan seorang detektif!

"Kau ambil mudah budak macam dia kan? Mereka tak bodoh, Lim. Ooi, budak autisme pemerhati yang baik! Dia tahu ketam keluar paling banyak bila tengah malam. Ini sebabnya dia mengamuk dengan Geok malam tadi. Dia ambil keputusan untuk turun sendiri. Kau tengok kaki dia! Ada benaman lumpur kan? Nampak botol ni? Dia tak jatuh Lim. Dan tak ada siapa yang tolak. Dia turun sendiri ke dalam sungai! Arus deram yang lemaskan dia! (Dhiya, Halaman 55)
"Kenapa Tam?"
"Kau pun tahu susahnya cari tempat orang macam kita...Sekolah terlalu bosan, cikgu terlalu lembap dan asrama adalah penjara."
"Tu bukan alasan mencuri."
Tam mengerling Dhiya. Ketawa sinis.
"Kau nak cakap pasal moral? Aku kena tanggung hidup aku sendiri!"
Dhiya menggeleng kepala. Kesal.
"Dengan hilangkan warisan beratus tahun?"
Tam melihat Dhiya dengan senyuman tidak percaya. Pandangan anak matang melihat si lurus.
"Dhiya, simpan barang antik tu hobi orang kaya! Mereka tak pandang sebagai warisan atau sejarah. Cuma untuk status rasa bangga!" (Halaman 182-183)


Persahabatan dan semangat juang tiga sekawan yang berlainan bangsa.

Persahabatan bisa terjalin di mana sahaja. Dhiya, Adi dan Lim. Mereka tiga sekawan yang melengkapkan. Tidak dapat saya nafikan, bahawa cerita ini juga berjaya mengangkat jurang antara kaum khususnya Melayu-Cina melalui peranan ketiga tiga sahabat tadi. Prasangka yang lahir daripada keengganan untuk saling memberi ruang telah berjaya dihapuskan.

"Ingat Adi! Dhiya! Kau jangan lagi keluar senyap senyap waktu malam. Kita nak berkawan lama. Susah nanti  kalau ditangkap!" (Lim, Halaman 69) 
"Lim sudah mahu rebah. Tetapi lupakah dia bahawa kebaikan harus berlaku di atas kebaikan? Lupakah Lim mereka pernah berkongsi wang untuk perjanjian setia perniagaan? Apatah lagi kini apabila salah seorang ditimpa malang?" (Dhiya, Halaman 105)
"Cari dia Dhiya! Bersihkan nama aku. Nama bapa aku! Aku percaya kau boleh buat!" (Lim, Halaman 169)

Teruntuk saya, yang paling mengesani saya adalah bagaimana keterbukaan dan toleransi antara Dhiya, Adi dan Lim yang merentasi agama, bangsa dan budaya. Ya, usia sekolah rendah. Mereka agak matang menilai perbezaan kaum berbanding orang dewasa. Bagaimana dengan kita bersedia memberi ruang, akan memberikan lebih banyak kebaikan. Sekurang kurangnya, kita masih saling menghormati meski kita memiliki banyak perbezaan. Entah, saya suka aura dan nilai positif yang ada pada mereka. Saya fikir bagaimana di alam realiti, kita agak kurang menterjemah atau mempraktikkan budaya saling menghormati pada bangsa bangsa lain sejak kecil. Nah, inilah juga peranan setiap rumah. Kalau kita tidak memberikan ruang, masakan mungkin orang lain turut memberikan ruang. Kita yang harus mulakannya kan?

Dan saya suka sekali Dhiya yang gemar seni. Beauty with brain. Dia bebas menjadi dirinya. Melakar seni dalam hidupnya sendiri.

"Art is not handicraft, it is the transmission of feeling the artist has experienced." (Leo Tolstoy, Halaman 77)

Hidup ini adalah seni Tuhan untuk kita. Bagaimana kita menjalani liku likunya. Moga kita yang melalui seni hidup ini, tidak lupa Tuhan. Termasuk bagaimana untuk lebih menyintai Tuhan dan manusia.

Oh rupanya, rindu tulisan sendiri. Jom nanti tengok kunang kunang, insyaAllah?

Wassalam,
Johor Bahru.