Monday, February 29, 2016

Mulakan dulu

Bismillah.

"Akak, macam mana nak dapat kekuatan untuk bawa halaqah?"

Saya senang berbicara topik ini dengannya. Saya tersenyum walau saya tahu saya mungkin tidak tahu menyusun ayat untuk menjawab soalannya. Erm, nak jawab macam mana ni.

"jatuh cinta kali pertama itu mungkin mudah. namun untuk mempertahankan perasaan itu, perlukan kefahaman yang jelas, kekuatan tiada tara dan niat yang sentiasa diperbaharui."

Teruntuk saya, kekuatan itu tidak lain tidak bukan; Allah. Betapa sekiranya kita meletakkan sesuatu pada yang tidak kekal umpama kerana manusia mahupun semangat berkobar kobar, ianya nanti berkemungkinan akan hilang pergi. Dan bila ia pergi, maka hilanglah rasa itu, kosonglah jiwa, pudarlah segala galanya. Maka, perjuangkanlah agar Allah mampu terus menjadi sumber kekuatan, mampu menggetarkan jiwa, mampu menolak kita berbuat kebaikan.

Dengan kefahaman Syahadatul Haq dan Ke Mana Kita Menyeru Manusia, ianya bagai menolak nolak jiwa kita untuk menyampaikan, memperbaiki masyarakat melalui kefahaman tentang Islam dan pengamalannya. Hingga subur dalam diri kita dan mereka dengan Islam dan berusaha menyampaikannya kepada orang lain. Dan hal ini, kita perlu berharapkan siapa melainkan kita yang memulakannya dahulu?

Supaya jatuh cinta beribu kali, mutabaah amal sihat ke tu? 

Jom mulakan walau lambat perlahan lahan, biizdnllah. Doa jangan lupa (:

Wassalam,
Gombak.

Monday, February 22, 2016

Kawan baik

Bismillah.

"Akak dah isi borang bm?"
"Akak, apa persiapan kita nak 'melangkah'?"
"Akak, kalau kita bercakap, nak pandang muka dia (lelaki) ke?"

Usai daurah semalam, kami duduk duduk berhalaqah sebentar. Merungkai persoalan sekitar ikhtilat dan baitul muslim, berbincang dan bertukar tukar pendapat.

"Gejala awal dari barakahnya sebuah pernikahan adalah kejujuran ruh, terjaganya proses dalam bingkai syaria’t, dan memudahkan diri. Ingat kata kuncinya; jujur, syar’i, mudah." (Ustaz Salim A. Fillah, Menjaga, menata lalu bercahaya.)

Saya senang dengan perbincangan yang dibicarakan secara serius namun sederhana tentang hal itu.

"Akak takde specific measurement untuk diletakkan. Cumanya, iman dan ilmu boleh mendatangkan kesan dalam cara kita berfikir dan bertindak. Kesannya juga langsung pada akhlak. Iman dan akal membolehkan kita menjustifikasi sesuatu hal atau keadaan. Maka tanyalah pada keduanya, "perlu ke?". Bermuamalah dengan akhlak Islam dan sederhanalah dalam segala hal termasuk tentang bagaimana berinteraksi silang jantina. Hal itu, bermula dengan diri kita sendiri; individu muslim. Bila berhadapan dengan sesuatu keadaan; tanyalah iman dan akal, berakhlak, sederhanalah dan kemudian bermuamalah. Maka, semuanya bermula daripada diri kita sendiri."

Teruntuk diri sendiri yang lebih banyak bercakap; moga Allah pimpin untuk mencari jalan jalan yang paling berkah; untuk rasa yang paling indah dan manis. Istighfar, taubat, sabar dan doa yang banyak insyaAllah sehingga waktu yang benar benar telah direzkikan.

Dan itulah kisah kawan baik; kisah dua orang yang tidak bertemu dan mencari selain daripada kerana ketaatan-Nya. Sungguh, Allah lebih tahu!

Wassalam,
Gombak.

Friday, February 19, 2016

Menunduk

Bismillah.

Saya sangat suka akan bicaranya malam tadi selepas menonton Little Boy. Dia yang terlihat sangat kuat bagi saya, menahan sebak dan air mata bila mengatakan hal ini. Hal yang membuatkan dirinya memperoleh sesuatu. Langsung daripada Tuhan. Saya memerhatikan dirinya sesungguhnya. Erm entah pada sisi sisi mutarabbi, kadang saya melihat sisi sisi saya. 

"ana dah cuba yang terbaik untuk pastikan segalanya ok dari bilik lagi. Tapi akhirnya, Allah izinkan ana terlupa sesuatu yang membuatkan segalanya affected."


"bila kita dah rancang dengan yang terbaik, kadang Allah datangkan ujian buat kita. Ujian yang buatkan perancangan kita tidak seperti yang dirancang. Daripada situ, ana sedar yang mungkin Allah nak panggil ana balik. Allah nak ingatkan sesuatu. Bahawa selain perancangan manusia, jangan lupakan Allah. Allah juga ada perancangan buat kita. Kita sangka itu semuanya usaha kita. Tapi sebenarnya tidak. Ada Allah dalam usaha usaha kita."

Yang ikhlas keluar daripada bicaranya, langsung juga mengena di hati saya. Dalam bermakna. Teruntuk saya, moga apa jua yang terjadi, Allah tidak buat saya lupa siapa saya. Tidak membuatkan saya merancang sendiri. Tidak membuatkan saya melupakan niat saya. Tidak membuatkan saya melupakan ikhlas, usaha, doa doa, tawakkal dan harapan saya.

Saya takut untuk melafazkan ini;

Dan moga walau apa sahaja yang Allah izinkan ianya berlaku, moga Dia terus bimbing. Bahawa apa sekalipun, saya tetap seorang ukhti. Nafas saya adalah perjuangan buat ummah ini, biizdnillah. Hati dan jiwa yang kuat. Tuhan, pandulah saya! TT

Wassalam,
Gombak.

Monday, February 15, 2016

Khadijah; ajarkan aku cinta!

Bismillah.

Tarik nafas.

Saya berfikir fikir bagaimana untuk menulis sebuah pengisian yang saya sertai hampir sehari suntuk. Berkisar mengenai satu perjalanan yang belum saya tempuhi. Marriage Conference yang saya hadiri banyak mengingatkan, menambah hal hal baru tentangnya, di samping perkongsian yang bermanfaat buat saya. Catatan ini terhasil daripada kefahaman yang telah saya ringkaskan untuk dijadikan tulisan yang moga moga sentiasa mengingatkan saya khususnya insyaAllah. Jujurnya, tulisan ini mungkin klise bagi sebahagian orang yang sudah berkahwin namun saya berharap agar ianya menjadi peringatan berulang kali buat saya; perempuan yang belum berkahwin namun ada cita cita dan doa terhadap perkahwinannya, nanti biizdnillah (:

Love is seed. 
Cinta dalam perkahwinan itu bagaikan biji benih. Ia bermula daripada ciptaan yang kecil namun sangat penting untuk diambil berat dan dijaga rapi. Biji benih itu perlukan tanah yang sesuai, pasu yang bagaimana, air seberapa kerap, cahaya yang banyak atau tidak dan mungkin baja dan semburan apa yang diperlukan. Penjagaan yang baik akan memastikan biji benih itu tumbuh sikit demi sedikit mengeluarkan hasilnya berupa batang yang lembut dan daun daun yang kecil. Tumbuhan ini seterusnya berkembang dan terus mengembang sehingga menjadi pokok yang besar, daun yang merimbun, akar yang dalam mencengkam bumi dan bermanfaat kepada sekeliling.

Begitulah cinta yang dibina dalam perkahwinan. Bagi saya, perkahwinan itu merupakan usaha yang dilakukan pasangan untuk membangun dan membina cinta sendiri. Bermula daripada proses yang kecil dan berkembang sehingga menjadikan perkahwinan itu bermanfaat buat ummah. Ianya tidak mengikut ikut perkahwinan orang lain, tiada formula yang benar benar tepat untuk membangun perkahwinan sendiri melainkan setiap perkahwinan ada templatenya tersendiri namun masih merujuk dan mengambil qudwah dan panduan daripada ar Rasul saw. Kenapa? Kerana manusia itu berbeza beza. Penyatuan dua jiwa yang berlainan. Pasangan A tidak sama dengan Pasangan B walaupun mungkin ada hal hal yang hampir serupa. Kefahaman ini meyakinkan saya bahawa setiap perkahwinan itu berbeza beza cara membangun dan membina cinta mengikut kesesuiaan dua jiwa yang disatukan itu.

Marriage; struggle to please Him.
Saya sangat suka akan point ini. Seingat saya, kesemua speakers akan menyentuh hal ini. Dan mungkin, kerana ini, saya tidak tidur sepanjang konferen ini. Wah! Kerana apa yang disampaikan tetap dikaitkan dengan Allah. Jujur, ianya buat saya gementar. Mereka mengingatkan bahawa perkahwinan ini bukan main main. Mereka berulang kali menyampaikan bahawa perkahwinan adalah proses untuk mendekat dengan Allah. Ibadah dua orang hamba yang saling mencintai untuk lebih mencintai Allah melalui perkahwinan yang dibina. Dan untuk itu, ianya perlukan bimbingan lurus daripada Allah. Ask Allah for guidance! Doa banyak banyak.

Marriage; is about responsibility. 
Perjanjian hingga hujung nyawa ini, adalah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Amanah Tuhan pada kita. Ianya bukan sekitar wang ringgit, malah ia tentang emosi, fizikal, kewangan dan perlindungan. Penyatuan ini akan membuatkan kita belajar banyak hal dan tentu ianya perlukan masa yang panjang dan berterusan. Tanggunjawab untuk saling  membahagiakan, memahami, meringankan dan apa sahaja. Dan tentu, bila mana kita bercakap tentang perkahwinan, ianya adalah proses kita membina masyarakat pilihan kita. Generasi yang akan lahir daripada penyatuan kita. Sudah sedia? MasyaAllah, cita cita besar!

Marriage; commitment from each other.
Perkahwinan itu untuk bahagia. Untuk bahagia, kita perlu membinanya bersama sama. Ianya bukan perkahwinan seperti yang dikisahkan happily ever after. Hanya manis dan indah belaka. Kerana kita manusia dan perkahwinan itu sebuah perjalanan dan perjuangan, jalan jalan itu akan ada ujiannya. Maka, ia perlukan kefahaman, toleransi dan apa sahaja daripada kedua dua belah pihak. Tidak boleh hanya sebelah pihak yang memberi dan yang satu lagi hanya menerima mahupun sebaliknya. Dan ya, happily ever after sampai syurga setelah bersama sama menempuh hujan badai terik mentari angin kencang bersama sama.

Marriage; two different souls.
Perkahwinan akan mengajarkan kita banyak hal. Masakan tidak, dua jiwa disatukan. Ya, dua jiwa yang berbeza. Dan Allah memang ingatkan, lelaki dan perempuan ada perbezaan tersendiri. Bagaimana kita nak kenal diri sendiri dulu sebelum nak memahami pasangan. Untuk itu, komunikasi sangat penting. Contohnya, saya perlu beritahu saya sukakan apa, saya kurang minat apa, saya lapar, saya teringin apa. Biar dia memahami dan jelas semuanya. Saya tidak boleh berpura pura ataupun berbohong (sampai bila nak memendam?) mahupun menganggap yang dia tahu semuanya. Your spouse is not mind reader! Belajar memahami dan menerima dia sesungguhnya. Supaya biji benih tumbuh dengan jayanya!

Marriage should not end our dreams. 
Dengan penyatuan dua jiwa yang berbeza, perkahwinan bukan sebab kita berhenti untuk bermimpi melakar cita cita. Perkahwinan buat cita cita kita terus ada dan besar. Bagaimana perkahwinan itu membentuk agar setiap pasangan saling mengetahui impian masing masing dan berusaha menjayakannya bersama. Dan bagi saya, "your dream is my dream too". Mana mungkin saya tidak tahu impian dan cita cita pasangan saya sedangkan saya perlu sentiasa di sisinya memberikan kekuatan sebagai seorang isteri. Cita cita terbesar kita, syurga bukan? Lets dream and strive together!

Marriage; learn from Rasulullah saw. 
Saya begitu teruja dengan kisah perkahwinan ar Rasul saw bersama Khadijah khususnya. Entah terlalu banyak mungkin hal hal yang diqudwahkan mereka yang masih tidak diketahui saya. Bagaimana Rasulullah saw seorang expressive, menghargai isteri dan menjadi yang paling baik buat surinya. Dan bagaimana Khadijah ra begitu matang dan mahir mengurus perasaan tatkala menjadi penyejuk mata buat Rasulullah saw. Allahu, perkahwinan mereka; qudwah bagi kita semua. 

Marriage; find the kheyr. 
Sekiranya Allah telah mentakdirkan bahawa sepasang pasangan disatukan, tentunya ada sebab sebab yang kita ketahui ataupun tidak. Maka, carilah kebaikan kebaikan dalam perkahwinan yang dibina. Bekerjalah bersama, binalah memori melaluinya. Cinta yang dibangun dalam perkahwinan itu perlukan struggle kedua dua belah pihak. Binalah rumah yang menenteramkan jiwa dan tenang di dalamnya. Ambil seberapa banyak masa untuk saling mengenali, jujur pada diri sendiri dan pasangan agar kedua duanya bisa meraih bahagia yang sebenar benarnya. Perkahwinan itu perkongsian!


Alhamdulillah, nah inilah hasilnya. Jujurnya, saya gementar juga menulis tulisan yang telah diadun dengan pendapat saya ini. Ianya berupa proses ketidaktahuan yang menyimpan harapan dan cita cita. Tulisan yang mendoakan dalam diam diam. Moga Allah membantu kita dalam membina rumahtangga yang diberkati. Teruskan doa, menyiapkan diri menjadi yang terbaik, mendekatkan diri pada Allah, bermanfaat kepada orang lain, menyibukkan diri, berkhidmah buat keluarga, bersangka baik dengan susunan Yang Maha Kuasa dan sabar yang cantik. 

Dan astaghfirullah; taubat dan bercakap cakap dengan Tuhan yang kita tekankannya. Inilah bagi saya saat ibadah yang bermakna dan tidak harus dientengkan. Moga masanya nanti yang terbaik, dengan orang yang tepat pilihan Allah insyaAllah  (:

Wassalam,
Gombak.

Wednesday, February 10, 2016

Perjalanan panjang.

Bismillah.

Saya yakin travel bukan sekadar tentang jauh atau dekat tempat yang dituju. Bukan soal mahal atau murah perjalanan mahupun kos sepanjang perjalanan. Bukan jua soal kesempurnaan yang diidamkan di dalamnya. 

Yang paling saya yakin, bersama siapakah yang menemani saya sepanjang travel dan hal apakah yang mengesani saya sepanjang travel. 

Langkawi; 2016.

 أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَتِ اللَّهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ آيَاتِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
" Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur." (Luqman 31)

Apatah lagi jalan jalan menuju kampung halaman; syurga; teramat penting dengan siapa kita berpegang tangan. Perjalanan itu sangat bermakna bagi saya khususnya. Perjalanan jauh meredah hujan panas terik mentari petir mendung tidak berangin. 


الحياة رحلة تعرف على الله
Life is a journey towards knowing Allah. 

Jom sekali?


Wassalam,
Gombak.