Sunday, May 29, 2016

Takut

Bismillah.

"Akak, cuaklah exam taalil qias ni."

"Kmal takut sebab kmal target A. Biasanya macam tu lah. insyaAllah, you can do it."

Dan di suatu hari sewaktu menyelak helaian nota dan terjumpa catatan kecil;

"Tamak. Tamaklah dalam memohon ampun pada Allah."

Entah apa syarahan Dr Hassan ketika itu hingga saya mencatatkan sebaris peringatan itu di atas buku nota. Saya percaya, ilham ilham Allah selalu saja datang pada waktu tidak terduga. Paling banyak misalnya ketika sedang mendengar (;

Saya berbisik sendiri;

"Dengan Allah, target A jugakkah, nurul?"

Ampuni aku (kami), Tuhan, luruskanlah kami dan rezkikanlah kami dengan Ramadhan TT.

Wassalam,
Gombak.

Thursday, May 26, 2016

Masih

Bismillah.

Ramadhan akan tiba. Dan kita masih seperti apa?
اللهم بلغنا رمضان  

Wassalam.



Wednesday, May 18, 2016

Sebuah entry yang tertangguh dan refleksi (lagi) buat perempuan dua lima

Bismillah.

satu.


حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِى سَعِيدُ بْنُ أَبِى سَعِيدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ : تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
رواه بخاري 5090


Sewaktu kelas hadis dan kami membicarakan sebuah hadis berkaitan kriteria kriteria calon pilihan hidup, pensyarah kami secara rawak bertanyakan kepada beberapa orang pelajar lelaki tentang kriteria pilihan mereka. Sekiranya diberi empat pilihan, yang manakah yang menjadi pilihan mereka. Antara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kelas sunyi menunggu jawapan daripada pelajar lelaki pertama.

"Kecantikan." kata lelaki itu.

"Kalau boleh, semua." lelaki seterusnya menjawab.

Saya senyum. Saya akui semua manusia sangat menyukai kecantikan. Bahkan Allah juga sangat sukakannya. Percayalah, fitrah manusia sentiasa mendorong kita untuk memilih yang menyamankan mata dan indah dipandang. Namun dalam diam, saya sendiri bermuhasabah petang itu. Tentang bagaimana janji ar Rasul saw tentang calon pilihan hidup ini. Bagaimana Baginda secara serius telah menyarankan sesuatu di hujung hadis itu. Saranan yang Baginda tidak katakan di kriteria yang lain melainkan kriteria "agamanya". Ya, saya juga mengambil intipati hadis ini sebagai saya seorang perempuan. Betapa Baginda mengerti!

Hadis itu mengingatkan saya bahawa Allah pernah mengatakan bahawa taqwa adalah nilaian dan ukuran manusia di sisi Allah (49:13). Menjadi yang terbaik dalam pandangan Allah bukan sekadar untuk kepentingan individu; hamba dan Tuhan. Bukan sekadar peribadi sendiri dan tidak mengesani hal lain. Bahkan, menjadi yang bersungguh sungguh di sisi Allah adalah kerana, manusia yang komited pada agama bakal mewarnai kehidupan di tangga tangga kehidupan seterusnya khususnya perkahwinan (dalam konteks ini) dan mencorak perjalanannya insyaAllah. Bukan pada harta, keturunan dan paras rupa. Saya akur pada itu. Saya akur bahawa aspek agama bukan untuk sendiri sendiri, namun kedekatan dan ketaatan pada Allah telah menjadi kriteria utama dan saranan Nabi saw dalam pemilihan calon hidup kerana bahkan Baginda mengerti untuk diri sendiri sahaja, taqwa adalah yang diutama, apatah lagi nak memilih pasangan dan membina keluarga. Kita mahu keluarga yang diberkati, cita citanya, insyaAllah kan?

Dan saya percaya, definisi cantik itu luas. Terpulang kepada siapa yang memberi makna dan menilainya. Semua makhluk Allah itu, indah bukan? Cuma yang benar benar menenteramkan dan menjadi qurratu a'yun (penyejuk mata) dan tentu jiwa itu biarlah yang terpilih. Cantik luarannya sahajakah? Bagaimana definisi cantik saat dia muda dan punya segalanya. Atau berubahkah hati saat dia menua. Itu semua terpulang kepada kita. Kerana akhirnya, kita yang memilih dan bertanggungjawab pada pilihan kita, kan?

dua.

Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah telah rezkikan, hingga saya masih mampu bernafas di bumi Tuhan pada usia 25. Terasa begitu janggal menyebutnya. "Eh semalam macam baru habis form 5" ;p. Dan begitulah masa yang telah berlalu. Banyak benar hal yang saya mahu muhasabahkan di usia yang makin meningkat. Masih terngiang ngiang tafsir surah al 'asr tempoh hari. Betapa saya merefleksi diri di angka dua lima ini, betapa banyak kerugian yang telah saya lakukan. Astaghfirullah TT. Betapa banyak masa yang sia sia. Banyak juga yang saya boleh perbaiki agar tidak merugi. Masa. Itulah yang saya tidak boleh dapatkannya kembali. Begitu banyak masa yang kita miliki dan yang telah berlalu namun tidak bermanfaat. Inilah. Inilah antara kerugian besar bagi seorang saya. Moga muhasabah ini sentiasa menjadikan kita lebih baik ya, insyaAllah.

tiga.

Dunia dan tarikannya. Saya ada saja bercadang untuk menghentikan akaun instagram dan twitter saya (atau fb juga? ermmm). Entah, saya merasakan bahawa tarikan media sosial begitu kuat untuk saya. Dari satu halaman ke satu halaman yang lain. Melihat itu dan ini. Sehinggalah saya sedar dan jujur menyedari bahawa saya seakan akan terikat dengan akaun akaun itu. Untuk manfaatkan ya? Betul ke saya mampu? Luruskah niat saya itu apabila tumpuan saya kadang dicuri. Ah, betapa saya serius memikirkan ini. Serius, saya penat. Penat untuk terikat dengan hal yang saya rasa sederhana manfaatnya namun memberi kesan untuk jiwa. Yang paling sedih adalah; apakah saya begitu banyak masa (rupanya)? Alahai nurul, selamat merefleksi diri dan berubah. Ramadhan nak datang ni!

empat.

Dan lagi, saya melihat lambakan mutabaah amal yang pelbagai. Saya merasakannya begitu menarik. Namun satu hal yang saya perasan tentang saya, saya mula menyoalkan adakah target target ibadah yang dilakukan hanya sekadar menjadi ritual aktiviti harian dan di atas kertas. Benarkah? Adakah ianya sasaran yang tidak memberi makna. Kosong tanpa jiwa merasakan apa apa. Sepi dan kering tidak membasahkan iman. Sekadar penyedap hati kerana tercapainya target target yang disasarkan. Tipu belaka. Entah, sudah tibanya untuk saya kembali memikirkan. Adakah apa yang saya lakukan ini benar benar diresapi hati. Benar benar buat jiwa jadi tawaduk dan sungguh sungguh membawa saya kepada Allah sehingga anggota badan, pancaindera mahupun hati saya merasai suatu tenaga yang luar biasa. Sehingga kesan merasai kedekatan dengan Allah buat saya menjadi yang lebih baik dengan manusia, buat saya bersungguh sungguh dengan apa yang lakukan. Itu. Itulah rasa yang buat saya refleksi. Menghargai sebuah rasa. Usahakanlah, nurul. Moga jumpa apa yang hilang itu, biizdnillah!

lima.

Jalan yang saya (kita) impikan; jalan yang dilimpahi keberkatan dan keredhaan Tuhan. Adakah saya mampu menjadikannya kenyataan atau sekadar cita cita yang tidak diusahakan? Dengan kekhilafan diri yang sekadar beriya iya mengimpikannya namun mengulang ulang hal yang sama, oh bagaimanakah ini? TT. Maafkan dan ampuni saya Tuhan, kerana masih lompong dan gagal dalam mengotakan janji. Masih tidak beramal dan hanya sekadar banyak bercakap. Ah, pedihnya untuk saya! Moga Allah mengampuni saya, terus memberkati dan memudahkan urusan urusan ini. Untuk kesekalian kali, saya masih bercita cita hal yang sama. Moga Allah rezkikan yang paling baik, paling berkah, manis dan menenangkan insyaAllah. Jom usaha!

enam.

Akhirnya, sebelum sampai ke Ramadhan insyaAllah (Allah, sampaikanlah kami), sekadar sebuah lagi refleksi untuk saya, target apakah di bulan syaaban ini? Jangan tangguh kebaikan, nurul. Nanti merugi. Moga kita tidak merugi, walau sebelum Ramadhan tiba insyaAllah.

Ok, panjang rupanya. Allah, berkati kami dan bantu kami dalam urusan urusan kami.

Why so serious? Senyum sikit dengan Allah (;

Wassalam,
Gombak.

Monday, May 2, 2016

#peopleofrejab (ii) dan refleksi bulan mei

Bismillah.

satu.

Saya yang kebiasaan memilih gerabak lrt yang paling depan dan memilih tempat yang paling tepi tatkala keluar bersendirian meneruskan kebiasaan itu Jumaat lalu. Saya akur bahawa saya berdepan dengan pelbagai cabaran dan kerisauan kiranya keluar berseorangan. Namun saya juga maklum bahawa saya tidak mampu untuk mencari teman dalam segenap hal ketika berpergian melainkan dua makhluk di kanan dan kiri yang mencatat. Satu hal yang saya sedar akan diri bahawa saya berani bersendirian keluar sebegini setelah izin diperoleh dan merancang perjalanan dengan baik daripada memandu kereta. Ya, itulah ketakutan seorang nurul. (Bajet berdikari lah sangattt ;p)

Perjalanan saya petang itu baru bermula. Saya membalas beberapa WhatsApp penting sebelum berniat menghabiskan bacaan tilawah yang belum selesai. Seorang saudari yang saya kira juga dari uia secara perlahan bertanyakan pada saya soalan,

"sister ok ke duduk sini seorang? saya nak keluar sekejap lagi." 

Saya sedikit terkejut dengan soalan yang ditanyakan namun gembira dan syukur dengan keprihatinannya. Baru saya menyedari, akan tiada perempuan yang duduk berhampiran saya melainkan beberapa lelaki selepas saudari ini keluar nanti. Saya risau juga kerana selalunya memang akan ramai perempuan yang memilih untuk berada di gerabak hujung namun tidak hari ini. 

"oh, ok insyaAllah. terima kasih."

Saya berfikir untuk mencari tempat lain nanti. Saya menyedari akan banyak mata yang memandang nanti tatkala saya berseorangan dan mana mungkin saya menutup pandangan mereka. Maka, menjaga diri sebaik baiknya daripada menjadi tempat tumpuan pandangan lelaki mahupun menjadi tumpuan ketika berseorangan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang perempuan mukminah insyaAllah. Bukan sekadar pakaian, hijab mahupun akhlak, namun menjaga diri supaya keluar daripada peluang peluang mereka melihat dan memerhati. Terhindar fitnah, saya kira. Sekurang kurangnya, saya fikir saya perlu sangat berusaha menjaga diri tatkala keluar berpergian seorang diri. Aurat dan maruah saya adalah tanggungjawab saya, insyaAllah. Itu. Itu janji saya untuk memelihara diri walau di mana jua. Moga Allah terus melindungi dan memberikan basirah-Nya untuk saya (kita), sentiasa insyaAllah.

Teruntuk sister itu, terima kasih kerana prihatin dan bantu saya menjaga diri. Terima kasih juga untuk yang sentiasa mendoakan dan mengambil tahu.

dua.

"akmal, nti nak beli buku apa? nak tengok list."

Musim pesta buku. Dan begitu banyak buku buku yang menjadi idaman, maka seharusnya buku menjadikan kita seperti apa?

Mencabar bukan?

tiga.

Syukur diberi peluang mendengar dekat perkongsian Ustaz Salim A.Fillah.

"berkah itu tentang rasa."

"berkah itu rezeki meski hanya kemampuan bertahajjud."

Dan ya, saya mengimpikan keberkahan dalam apa jua urusan urusan hidup ini dan saya tahu, saya perlu mengusahakan keberkahan itu. jom bareng insyaAllah!"

empat.



hai perempuan mei, moga jaga diri dan sederhana hingga menang ya, biizdnillah.

lima.

Moga berezki berjumpa Ramadhan. Erm, sudah lama ke tidak menangis sewaktu berdekat dekat menelusuri bacaan bacaan Quran dan maknanya? Bila ya nurul kali terakhir itu?

Moga terus panjang panjangkan doa. Sehingga doa itu yang menjadi kecintaan daripada hasil doa.

Jom terus doa (:

Wassalam,
Johor Bahru.