Monday, February 15, 2016

Khadijah; ajarkan aku cinta!

Bismillah.

Tarik nafas.

Saya berfikir fikir bagaimana untuk menulis sebuah pengisian yang saya sertai hampir sehari suntuk. Berkisar mengenai satu perjalanan yang belum saya tempuhi. Marriage Conference yang saya hadiri banyak mengingatkan, menambah hal hal baru tentangnya, di samping perkongsian yang bermanfaat buat saya. Catatan ini terhasil daripada kefahaman yang telah saya ringkaskan untuk dijadikan tulisan yang moga moga sentiasa mengingatkan saya khususnya insyaAllah. Jujurnya, tulisan ini mungkin klise bagi sebahagian orang yang sudah berkahwin namun saya berharap agar ianya menjadi peringatan berulang kali buat saya; perempuan yang belum berkahwin namun ada cita cita dan doa terhadap perkahwinannya, nanti biizdnillah (:

Love is seed. 
Cinta dalam perkahwinan itu bagaikan biji benih. Ia bermula daripada ciptaan yang kecil namun sangat penting untuk diambil berat dan dijaga rapi. Biji benih itu perlukan tanah yang sesuai, pasu yang bagaimana, air seberapa kerap, cahaya yang banyak atau tidak dan mungkin baja dan semburan apa yang diperlukan. Penjagaan yang baik akan memastikan biji benih itu tumbuh sikit demi sedikit mengeluarkan hasilnya berupa batang yang lembut dan daun daun yang kecil. Tumbuhan ini seterusnya berkembang dan terus mengembang sehingga menjadi pokok yang besar, daun yang merimbun, akar yang dalam mencengkam bumi dan bermanfaat kepada sekeliling.

Begitulah cinta yang dibina dalam perkahwinan. Bagi saya, perkahwinan itu merupakan usaha yang dilakukan pasangan untuk membangun dan membina cinta sendiri. Bermula daripada proses yang kecil dan berkembang sehingga menjadikan perkahwinan itu bermanfaat buat ummah. Ianya tidak mengikut ikut perkahwinan orang lain, tiada formula yang benar benar tepat untuk membangun perkahwinan sendiri melainkan setiap perkahwinan ada templatenya tersendiri namun masih merujuk dan mengambil qudwah dan panduan daripada ar Rasul saw. Kenapa? Kerana manusia itu berbeza beza. Penyatuan dua jiwa yang berlainan. Pasangan A tidak sama dengan Pasangan B walaupun mungkin ada hal hal yang hampir serupa. Kefahaman ini meyakinkan saya bahawa setiap perkahwinan itu berbeza beza cara membangun dan membina cinta mengikut kesesuiaan dua jiwa yang disatukan itu.

Marriage; struggle to please Him.
Saya sangat suka akan point ini. Seingat saya, kesemua speakers akan menyentuh hal ini. Dan mungkin, kerana ini, saya tidak tidur sepanjang konferen ini. Wah! Kerana apa yang disampaikan tetap dikaitkan dengan Allah. Jujur, ianya buat saya gementar. Mereka mengingatkan bahawa perkahwinan ini bukan main main. Mereka berulang kali menyampaikan bahawa perkahwinan adalah proses untuk mendekat dengan Allah. Ibadah dua orang hamba yang saling mencintai untuk lebih mencintai Allah melalui perkahwinan yang dibina. Dan untuk itu, ianya perlukan bimbingan lurus daripada Allah. Ask Allah for guidance! Doa banyak banyak.

Marriage; is about responsibility. 
Perjanjian hingga hujung nyawa ini, adalah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Amanah Tuhan pada kita. Ianya bukan sekitar wang ringgit, malah ia tentang emosi, fizikal, kewangan dan perlindungan. Penyatuan ini akan membuatkan kita belajar banyak hal dan tentu ianya perlukan masa yang panjang dan berterusan. Tanggunjawab untuk saling  membahagiakan, memahami, meringankan dan apa sahaja. Dan tentu, bila mana kita bercakap tentang perkahwinan, ianya adalah proses kita membina masyarakat pilihan kita. Generasi yang akan lahir daripada penyatuan kita. Sudah sedia? MasyaAllah, cita cita besar!

Marriage; commitment from each other.
Perkahwinan itu untuk bahagia. Untuk bahagia, kita perlu membinanya bersama sama. Ianya bukan perkahwinan seperti yang dikisahkan happily ever after. Hanya manis dan indah belaka. Kerana kita manusia dan perkahwinan itu sebuah perjalanan dan perjuangan, jalan jalan itu akan ada ujiannya. Maka, ia perlukan kefahaman, toleransi dan apa sahaja daripada kedua dua belah pihak. Tidak boleh hanya sebelah pihak yang memberi dan yang satu lagi hanya menerima mahupun sebaliknya. Dan ya, happily ever after sampai syurga setelah bersama sama menempuh hujan badai terik mentari angin kencang bersama sama.

Marriage; two different souls.
Perkahwinan akan mengajarkan kita banyak hal. Masakan tidak, dua jiwa disatukan. Ya, dua jiwa yang berbeza. Dan Allah memang ingatkan, lelaki dan perempuan ada perbezaan tersendiri. Bagaimana kita nak kenal diri sendiri dulu sebelum nak memahami pasangan. Untuk itu, komunikasi sangat penting. Contohnya, saya perlu beritahu saya sukakan apa, saya kurang minat apa, saya lapar, saya teringin apa. Biar dia memahami dan jelas semuanya. Saya tidak boleh berpura pura ataupun berbohong (sampai bila nak memendam?) mahupun menganggap yang dia tahu semuanya. Your spouse is not mind reader! Belajar memahami dan menerima dia sesungguhnya. Supaya biji benih tumbuh dengan jayanya!

Marriage should not end our dreams. 
Dengan penyatuan dua jiwa yang berbeza, perkahwinan bukan sebab kita berhenti untuk bermimpi melakar cita cita. Perkahwinan buat cita cita kita terus ada dan besar. Bagaimana perkahwinan itu membentuk agar setiap pasangan saling mengetahui impian masing masing dan berusaha menjayakannya bersama. Dan bagi saya, "your dream is my dream too". Mana mungkin saya tidak tahu impian dan cita cita pasangan saya sedangkan saya perlu sentiasa di sisinya memberikan kekuatan sebagai seorang isteri. Cita cita terbesar kita, syurga bukan? Lets dream and strive together!

Marriage; learn from Rasulullah saw. 
Saya begitu teruja dengan kisah perkahwinan ar Rasul saw bersama Khadijah khususnya. Entah terlalu banyak mungkin hal hal yang diqudwahkan mereka yang masih tidak diketahui saya. Bagaimana Rasulullah saw seorang expressive, menghargai isteri dan menjadi yang paling baik buat surinya. Dan bagaimana Khadijah ra begitu matang dan mahir mengurus perasaan tatkala menjadi penyejuk mata buat Rasulullah saw. Allahu, perkahwinan mereka; qudwah bagi kita semua. 

Marriage; find the kheyr. 
Sekiranya Allah telah mentakdirkan bahawa sepasang pasangan disatukan, tentunya ada sebab sebab yang kita ketahui ataupun tidak. Maka, carilah kebaikan kebaikan dalam perkahwinan yang dibina. Bekerjalah bersama, binalah memori melaluinya. Cinta yang dibangun dalam perkahwinan itu perlukan struggle kedua dua belah pihak. Binalah rumah yang menenteramkan jiwa dan tenang di dalamnya. Ambil seberapa banyak masa untuk saling mengenali, jujur pada diri sendiri dan pasangan agar kedua duanya bisa meraih bahagia yang sebenar benarnya. Perkahwinan itu perkongsian!


Alhamdulillah, nah inilah hasilnya. Jujurnya, saya gementar juga menulis tulisan yang telah diadun dengan pendapat saya ini. Ianya berupa proses ketidaktahuan yang menyimpan harapan dan cita cita. Tulisan yang mendoakan dalam diam diam. Moga Allah membantu kita dalam membina rumahtangga yang diberkati. Teruskan doa, menyiapkan diri menjadi yang terbaik, mendekatkan diri pada Allah, bermanfaat kepada orang lain, menyibukkan diri, berkhidmah buat keluarga, bersangka baik dengan susunan Yang Maha Kuasa dan sabar yang cantik. 

Dan astaghfirullah; taubat dan bercakap cakap dengan Tuhan yang kita tekankannya. Inilah bagi saya saat ibadah yang bermakna dan tidak harus dientengkan. Moga masanya nanti yang terbaik, dengan orang yang tepat pilihan Allah insyaAllah  (:

Wassalam,
Gombak.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih saudari