Tuesday, January 19, 2016

Sebuah kekuatan.

Bismillah.

Sewaktu sebelum praktikal dulu, saya mengimpikan tempat praktikal yang memerlukan saya berjumpa ramai orang. Ya, itulah cita cita saya. Sepanjang praktikal, saya mahu berjumpa seramai mungkin orang, agar saya peroleh seberapa banyak pengalaman secara langsung. Saya mahukan ilmu yang saya dapat sepanjang tempoh pengajian diadun dengan pengalaman dan kemahiran saya berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai. Maka, saya meletakkan tempat pertama yang ingin saya tuju adalah hospital kelahiran saya sendiri; Hospital Sultanah Aminah. Dan tentu bukan menjadi doktor mahupun jururawat tetapi bertugas di bahagian rujukan agama. 

Kesedihannya, ada beberapa hal yang berlaku dan impian saya tidak dapat diteruskan. Saya tentunya terkilan sedikit namun kuasa Tuhan menggantikan tempat persis yang saya idamkan. Benarlah, perancangan Tuhan Maha Hebat. Di tempat baru, saya mendapat apa yang saya idamkan walau tempatnya berbeza. Malah, tempat baru ini lebih dekat dengan bidang pengajian saya dan alhamdulillah untuk ini.

Melihat kes kes yang dibicarakan dekat dengan diri sendiri membuatkan saya (terlalu) banyak menilai diri saya sendiri. Berapa banyak kali saya menahan sebak melihat ketidaksetiaan seorang isteri juga cinta tulus sang suami. Dan berapa kali juga saya menahan air mata menyaksikan masjid yang dibina dengan kasih terlerai dengan benci yang menyakitkan. Juga berapa kali juga saya menahan rasa melihat anak anak remaja datang membawa 'isi' dalam rahim namun tidak bersuami. Demi Allah, terlalu banyak yang berlaku di hadapan mata saya sampaikan supervisor dan kakitangan selalu sahaja mengusik;
"nurul, awak jangan fobia taknak kahwin pulak."
Kes di suatu hari;
"nurul, awak tahu tak kenapa masa nak lafazkan cerai tadi, suami dia yang sebak dan menangis tapi isteri dia macam takde perasaan?"
"entahlah tuan. saya tak tahu." (ini antara kes yang menyedihkan saya)
"sebab isteri dia ada orang lain. tu yang dia rilex je."
Saya terkedu. Astaghfirullah. Isteri curang? Sedihnya saya!

Saya berbisik sendiri;

"kiranya dia tak setia pada Allah, mampukah dia setia pada pasangannya?"

Suatu pagi pula saya didatangi seorang ibu bersama anak perempuannya;

"cik, boleh tak tolong cepatkan kes anak makcik."
"kenapa ya?"
"sebab dalam perut anak makcik ni, dah ada 'isi'."

Saya tergamam lagi. Saya menahan rasa. Muka saya panas. Ya Allah, mengandung sebelum berkahwin? Mana mungkin saya perlu rasa biasa biasa. Tuhan, haruslah saya sedih!

Saya tarik nafas. Dalam. Harapan apa yang saya harus berikan?

Selepas bicara, saya keluar menemui mereka. Saya fikir saya perlu menyampaikan sesuatu pada mereka. Tuhan, ilhamkan saya yang terbaik.

"jaga elok elok baby tu. mulakan hidup baru. dengar cakap mak ya."

Dan zuhur pada hari itu, saya berteleku lama selepas sembahnyang. Entah mengapa, saya mengadu agak lama sedikit pada hari itu. Yang paling sebak, antara yang saya bisikkan dengan Tuhan seingat saya;

"Allah, sedihnya aku melihat masyarakatku. ini baru yang terlihat. yang tidak terlihat, bagaimanakah? tiada siapa ke yang menyampaikan teguran dan nasihat buat mereka? Tiada siapa ke yang datang kepada mereka? Tiada siapa ke yang mendekati mereka dan bimbing mereka?"
Dan hal inilah paling mengesani saya. Ke manakah perginya orang orang yang menyeru kepada masyarakat mengenai Tuhannya? Ke manakah perginya orang orang yang mengingatkan? Orang orang yang mengajak pada kebaikan dan mencegah keburukan. Sudah hilangkah mereka?

Teruntuk saya; ke manakah saya sewaktu itu? Saya berbuat apakah? Hal hal yang saya peroleh di tempat saya praktikal; mahkamah buat saya banyak merenung kembali ayat-Nya;

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

(Ali 'Imran: 104)

Sukar. Saya mengerti tugas ini berat. Namun atas keyakinan, tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan perlu saya (kita) mulakan. Meski bermula dengan hal hal yang kecil. Bahawa kebaikan perlu saya sebarkan. Perlu diperbanyakkan. Perlu lebih banyak daripada kejahatan. Bahawa perlu lebih ramai orang baik yang menyintai kebaikan dan ingin menyebarkannya. Begitu juga dengan perkara mungkar. Perlu sama sekali menyekat hal hal yang buruk dan memberitahu bahawa hal itu ataupun hal ini tidak boleh.

Jujurnya, saya merasakan bahawa kefahaman tentang ayat ini seharusnya sekurang kurangnya menolak diri saya sendiri untuk berniat dan memulakan daripada hal hal yang kecil walaupun dengan hanya memiliki kuasa kuasa yang terbatas dan mungkin tidak didengari. Namun benih benih menyintai kebaikan dan membenci kemungkaran ini harus dimulakan dan diamalkan dalam hidup seharian. Saya yakin bahawa hasil iman dan keyakinan buat saya terdorong melakukan sesuatu. Maka, terbuktikah ia?

Ya, saya tertanya itu. Maka, sekiranya si cantik yang memakai shawl itu terlihat rambut atau lehernya, gagahkan saya menyintai kebaikan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian? Mampukah saya mendekatinya dan menyampaikan teguran?

Moga Allah beri saya dan kita semua kefahaman yang benar. Juga, Allah menjadikan kita orang yang berbuat setelah faham. Gementar juga saya namun moga Dia berikan kekuatan yang tidak berbelah bahagi.

Jom sama sama, biizdnillah.

Wassalam,
Johor Bahru.

No comments: