Thursday, January 28, 2016

Your heart should be close to them.

Bismillah.

"Ibu, selalunya keropok ikan yang orang jual tu, berapa sebungkus?"

"Dalam RM12."

Saya bertanyakan soalan itu sewaktu makan tengah hari di luar tadi. Sambil menghirup air dan memandang ke luar kedai, saya terlihat pakcik tua yang membawa plastik besar dan memegang keropok ikan itu melintasi kedai. Mata kami bertatapan sebelum dia berlalu.

Jujurnya, saya mudah kasihan dengan orang orang sebegitu (tak tahu masalah ke tak kalau sebegini). Orang orang yang berhati besar mendekati seorang demi seorang pelanggan semata mata untuk menjual hasil barangan mereka dan mencari pendapatan halal. Entah kenapa saya menamakan mereka berhati besar tapi fikir saya bahawa mereka berusaha ke sana ke mari membawa barang jualan meredah cuaca yang tidak menentu. Mereka mendekati ramai orang sambil menyiapkan hati. Dengan mungkin pekerjaan mereka dianggap enteng oleh ramai orang dan hanya dipandang sebelah mata. Sama ada pelawaan untuk membeli barang mereka diterima atau ditolak, itu kesiapan hati mereka. Apatah lagi jika barang yang dijual itu bukan keperluan masyarakat. Begitulah roda roda kehidupan manusia. Masing masing menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Moga dengan kesungguhan mereka ini, Allah lapangkan rezeki mereka seluas luasnya aamiin ya Rabb.

Ibu tanya;

"Kenapa?"


"Tadi akak nampak pak cik tu jual keropok ikan. Kita tengah makan tapi ada orang yang mungkin tengah cari duit untuk makan tengah hari."

Ada kesempatan insyaAllah saya bercita cita ingin lebih banyak mendekati dan berbual dengan golongan sebegini. Kawan baik, awak nak join kah? Saya mahu menemukan sesuatu daripada mereka. Saya ingin belajar daripada mereka. Jika kita berkemampuan, apa yang kita beli kadang bukan untuk diri kita, tetapi untuk disedeqahkan atau dipanjangkan kepada orang lain. Dan budaya ini perlu disebarkan!

"Hidup ini untuk berbagi bukan?"

Senario senario hidup menemukan kita pada hal yang tidak biasa kita jumpa. Saya ingin membiasakan diri menyintai hal hal kesyukuran. Meski kesyukuran itu datang daripada orang lain. Supaya hati saya sendiri ini lembut dan merendah diri. Tidak sombong dan menghargai orang lain. Supaya hati saya merasa bagaimana yang orang lain rasa. Ya, hati sendiri yang merasa.

Dan tulusnya, saya menemui susuk ar Rasul saw yang hatinya sangat menyintai dan belas pada orang orang miskin. Erm, tentulah saya cemburu (sangat) dengan peribadi yang mulia itu dan berusaha nak menyontohi baginda semampu saya.

Bak kata Tariq Ramadan dalam bukunya In The Footsteps of The Prophet,

The Prophet’s first words on arriving at Quba informed the Muslims of their basic responsibilities: “Spread peace [salam], feed the hungry, honor kinship ties, pray while people sleep, you shall enter paradise in peace [bisalam].” (Ibn Hisyam, As Sirah an Nabawiyah)


The two references to peace, at the beginning and at the end of his address, point to how the Prophet wished his Companions to understand their settlement in their new city. Caring for the poor and honoring kinship ties appear as reminders of the ethical basis of the Muslim presence, which each believer must pledge to permanently respect.


(Pages 87-88)


Teruntuk saya, moga Allah melapangkan hati untuk parking cinta dan kasih mereka ini insyaAllah. Jom sama sama! (:

Wassalam,
Johor Bahru.

Wednesday, January 27, 2016

Badai kebaikan.

Bismillah.

Dia menunggu di luar kedai buku.

Kedai buku itu kecil sahaja tapi oleh kerana saya sudah lama tak ke kedai buku, maka faham faham lah perasaannya bagaimana. (Tak mampu alahai nak berpuasa buku ni, karang termasuk mimpi haha ishhh.)

Dan dia saya tahu setia menunggu di luar. Walau saya tidak tahu gejolak dan rasa hatinya yang menunggu, namun saya tahu dia masih di situ, membiarkan saya menghidu bau buku buku, memberikan ruang pada saya pada hal yang saya cinta. Mungkin juga, terlihat jelas di raut wajah dan mata saya kebahagiaan yang berbunga bunga.

Saya teringat kisah Nabi Harun dan Musa as yang dinukilkan dalam al-Quran di surah Taha.

Bagaimana dengan kekuatan dan kelemahan yang saya miliki, saya tetap memerlukan sang sahabat setia yang akan membantu saya menempuh perjuangan dan dalam apa jua urusan yang saya hadapi. Yang membantu untuk menguatkan saya. Yang sangat tahu saya lemah dan kuat di bahagian mana. Yang ikhlas menerima cacat cela hitam putih kelabu saya. Yang menghargai kelebihan saya seadanya saya. Yang mendengar saya bercerita mahupun meluahkan segala mak nenek dalam hati. Yang menghormati saya, bertanyakan pendapat saya, yang tidak pernah mengubah saya menjadi apa yang dia suka; lantas saya merasa selesa memperbaiki diri di hadapannya, tidak menjadi orang lain. Yang buat saya tidak kekok menceritakan sisi sisi kelemahan dan ketakutan seorang saya yang perlu diberbaiki dan diatasi. Yang sangat mengambil berat dan menyibuk tentang saya. Yang menasihati saya dengan cara yang terbaik baginya dan saya. Tidak memaksa maksa yang merimaskan saya. Yang buat saya berharga di mata dan (hatinya) eheh.

Dan yang terlebih penting, saya dan dia saling mengasihi dan memperbaiki diri untuk tujuan yang sama. Teruntuk Allah dan agama-Nya. Melihat segala galanya dengan kaca mata yang sama. Saling menguatkan dan tulus memperbaiki diri untuk tujuan kebaikan walau dua individu berbeza. MasyaAllah, nyaman sungguh tika dia di sisi.

Menjadi diriku
Dengan segala kelemahan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku.

Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna.

(Menjadi Diriku, Edcoustic)

Tentu juga, sebagaimana Harun berusaha menjadi yang terbaik buat saya, saya juga perlu berusaha menjadi yang terbaik buat dia. Moga saya mampu menjadi Harun yang terbaik buat Musa saya juga. 


"Rabbi, Kau yang Paling Arif, Paling Tahu tentang urusan kami, maka bantulah kami menjadi yang paling terbaik."


Rare jugak cuti kali ini; bermuayashah dengan kesayangan sang Harun hehe (:

"If I showed you my flaws
If I couldnt be strong
Tell me honestly would you still love me the same?"
(Locked Away, R.City ft. Adam Levine (acoustic cover) by Tiffany Alvord)

Moga Allah selalu jaga apa yang saya, dia dan kita mohon untuk dijaga. Juga moga Allah bantu kita dalam menjaga apa yang mesti kita jaga. Dan hal hal yang kita terlalaikan atau terlupa untuk diadu, dibualkan, dicerita dan dipinta dalam doa sekalipun, Allah tetap jaga kerana kita yang lemah dan mudah sekali kalah dengan hawa nafsu pasti sukar menjaga diri justeru semua ini memerlukan kekuatan dan bantuan Allah.

Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah dan terima kasih Haruns saya!

Moga Musa-Harun ini; melahirkan badai kebaikan untuk ummah ini, biizdnillah (:
Wassalam,
Johor Bahru.

Saturday, January 23, 2016

Dinding baru.

Bismillah.


Saya tidak pasti punya banyak masa untuk ini atau tidak pada masa mendatang. Cuma di dinding itu, saya inginkan lebih banyak menulis dengan telus dan lebih telus. Sebagai bekal dan sisipan memori untuk saya, kawan baik saya dan generasi saya insyaAllah. Mungkin isi isi bacaan buku, mungkin orang orang yang saya temukan, mungkin alam yang saya tidak pernah tidak suka, mungkin ragam manusia yang mengibrahkan, mungkin kisah akhawat yang saya cinta, mungkin jalan juang yang saya mahu istiqamah di atasnya, mungkin kalam Tuhan, ar Rasul saw, mungkin tentang kopi mahupun hal hal sederhana atau apa jua insyaAllah.

Moga Allah redha!

Wassalam,
Johor Bahru.

Tuesday, January 19, 2016

Sebuah kekuatan.

Bismillah.

Sewaktu sebelum praktikal dulu, saya mengimpikan tempat praktikal yang memerlukan saya berjumpa ramai orang. Ya, itulah cita cita saya. Sepanjang praktikal, saya mahu berjumpa seramai mungkin orang, agar saya peroleh seberapa banyak pengalaman secara langsung. Saya mahukan ilmu yang saya dapat sepanjang tempoh pengajian diadun dengan pengalaman dan kemahiran saya berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai. Maka, saya meletakkan tempat pertama yang ingin saya tuju adalah hospital kelahiran saya sendiri; Hospital Sultanah Aminah. Dan tentu bukan menjadi doktor mahupun jururawat tetapi bertugas di bahagian rujukan agama. 

Kesedihannya, ada beberapa hal yang berlaku dan impian saya tidak dapat diteruskan. Saya tentunya terkilan sedikit namun kuasa Tuhan menggantikan tempat persis yang saya idamkan. Benarlah, perancangan Tuhan Maha Hebat. Di tempat baru, saya mendapat apa yang saya idamkan walau tempatnya berbeza. Malah, tempat baru ini lebih dekat dengan bidang pengajian saya dan alhamdulillah untuk ini.

Melihat kes kes yang dibicarakan dekat dengan diri sendiri membuatkan saya (terlalu) banyak menilai diri saya sendiri. Berapa banyak kali saya menahan sebak melihat ketidaksetiaan seorang isteri juga cinta tulus sang suami. Dan berapa kali juga saya menahan air mata menyaksikan masjid yang dibina dengan kasih terlerai dengan benci yang menyakitkan. Juga berapa kali juga saya menahan rasa melihat anak anak remaja datang membawa 'isi' dalam rahim namun tidak bersuami. Demi Allah, terlalu banyak yang berlaku di hadapan mata saya sampaikan supervisor dan kakitangan selalu sahaja mengusik;
"nurul, awak jangan fobia taknak kahwin pulak."
Kes di suatu hari;
"nurul, awak tahu tak kenapa masa nak lafazkan cerai tadi, suami dia yang sebak dan menangis tapi isteri dia macam takde perasaan?"
"entahlah tuan. saya tak tahu." (ini antara kes yang menyedihkan saya)
"sebab isteri dia ada orang lain. tu yang dia rilex je."
Saya terkedu. Astaghfirullah. Isteri curang? Sedihnya saya!

Saya berbisik sendiri;

"kiranya dia tak setia pada Allah, mampukah dia setia pada pasangannya?"

Suatu pagi pula saya didatangi seorang ibu bersama anak perempuannya;

"cik, boleh tak tolong cepatkan kes anak makcik."
"kenapa ya?"
"sebab dalam perut anak makcik ni, dah ada 'isi'."

Saya tergamam lagi. Saya menahan rasa. Muka saya panas. Ya Allah, mengandung sebelum berkahwin? Mana mungkin saya perlu rasa biasa biasa. Tuhan, haruslah saya sedih!

Saya tarik nafas. Dalam. Harapan apa yang saya harus berikan?

Selepas bicara, saya keluar menemui mereka. Saya fikir saya perlu menyampaikan sesuatu pada mereka. Tuhan, ilhamkan saya yang terbaik.

"jaga elok elok baby tu. mulakan hidup baru. dengar cakap mak ya."

Dan zuhur pada hari itu, saya berteleku lama selepas sembahnyang. Entah mengapa, saya mengadu agak lama sedikit pada hari itu. Yang paling sebak, antara yang saya bisikkan dengan Tuhan seingat saya;

"Allah, sedihnya aku melihat masyarakatku. ini baru yang terlihat. yang tidak terlihat, bagaimanakah? tiada siapa ke yang menyampaikan teguran dan nasihat buat mereka? Tiada siapa ke yang datang kepada mereka? Tiada siapa ke yang mendekati mereka dan bimbing mereka?"
Dan hal inilah paling mengesani saya. Ke manakah perginya orang orang yang menyeru kepada masyarakat mengenai Tuhannya? Ke manakah perginya orang orang yang mengingatkan? Orang orang yang mengajak pada kebaikan dan mencegah keburukan. Sudah hilangkah mereka?

Teruntuk saya; ke manakah saya sewaktu itu? Saya berbuat apakah? Hal hal yang saya peroleh di tempat saya praktikal; mahkamah buat saya banyak merenung kembali ayat-Nya;

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

(Ali 'Imran: 104)

Sukar. Saya mengerti tugas ini berat. Namun atas keyakinan, tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan perlu saya (kita) mulakan. Meski bermula dengan hal hal yang kecil. Bahawa kebaikan perlu saya sebarkan. Perlu diperbanyakkan. Perlu lebih banyak daripada kejahatan. Bahawa perlu lebih ramai orang baik yang menyintai kebaikan dan ingin menyebarkannya. Begitu juga dengan perkara mungkar. Perlu sama sekali menyekat hal hal yang buruk dan memberitahu bahawa hal itu ataupun hal ini tidak boleh.

Jujurnya, saya merasakan bahawa kefahaman tentang ayat ini seharusnya sekurang kurangnya menolak diri saya sendiri untuk berniat dan memulakan daripada hal hal yang kecil walaupun dengan hanya memiliki kuasa kuasa yang terbatas dan mungkin tidak didengari. Namun benih benih menyintai kebaikan dan membenci kemungkaran ini harus dimulakan dan diamalkan dalam hidup seharian. Saya yakin bahawa hasil iman dan keyakinan buat saya terdorong melakukan sesuatu. Maka, terbuktikah ia?

Ya, saya tertanya itu. Maka, sekiranya si cantik yang memakai shawl itu terlihat rambut atau lehernya, gagahkan saya menyintai kebaikan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian? Mampukah saya mendekatinya dan menyampaikan teguran?

Moga Allah beri saya dan kita semua kefahaman yang benar. Juga, Allah menjadikan kita orang yang berbuat setelah faham. Gementar juga saya namun moga Dia berikan kekuatan yang tidak berbelah bahagi.

Jom sama sama, biizdnillah.

Wassalam,
Johor Bahru.

Tuesday, January 12, 2016

#KALAMTUHAN : Selurus-lurusnya.

Bismillah.

Perbualan di suatu hari itu begitu bermakna buat saya. Kerana ternyata entah saya yakin, Allah mendatangkan sesuatu atau seseorang pada saya, adalah sisi yang punya kebaikan untuk saya juga. Lantas ketika berbual dengannya, saya mengulang kembali apa yang telah naqibah saya ingatkan sewaktu pertemuan pertemuan awal dahulu. Saya mengucapkannya kembali kepada dirinya dan ternyata saya juga berdebar ketika mengatakannya;

"naqibah akak kata, kita akan diuji Allah tentang kelemahan kita sampai kita dapat mengatasi kelemahan tu. selagi mana kelemahan itu ada, Allah akan uji kita di sekitar titik kelemahan itu sampailah kita berjaya melepasinya."



"jadinya, kalau cepat marah adalah kelemahan kita, Allah akan datangkan pelbagai hal untuk kita belajar sabar. sampailah kita menjadi yang lebih baik dengan sabar meski dalam hal hal kecil."



"dan kadang Allah datangkan ujian bukan untuk kita mencari hikmah yang baru. tapi kerana Allah minta kita memperbaiki diri kita daripada hal yang lama."



"setiap orang tu strugglenya berbeza beza. jadi, kita mungkin boleh minta nasihat ramai orang tentang struggle kita itu. tapi akhirnya, Allah nak kita nilai diri kita sendiri, gunakan hati dan akal untuk buat pilihan yang terbaik. sebab orang lain tak tahu letak duduk keadaan sebenar kita. yang paling tahu; adalah diri kita sendiri. dengan ujian yang Allah beri, refleksi diri kita sendiri, timbang semuanya dan mulakan perubahan dengan kefahaman. tapi percayalah, selagi kita lemah dengan sesuatu hal, Allah akan buat kita berjuang untuk melepasinya. dan dari situ, kita akan belajar banyak hal."
"yang penting, jangan lupa meminta daripada Allah dengan benar benar rasa. ya, mintalah pada Allah!"

اهدنا الصراط المستقيم 
1 : 6 

"supaya kita terus diberikan hidayah oleh Allah untuk memilih jalan jalan yang ada. kita mampu mengenal jalan mana yang diberkati Tuhan dan kita mampu melakukan perubahan dengan bantuan Allah. terus diberikan keterangan hati dan jiwa untuk memilih jalan yang terbaik. itulah imbangan terpenting kita. perubahan dengan kaca mata Tuhan."  (Tafsir Zilal)

"when your heart is truly connected to your Maker, you will find many blessings in each of the hundreds of problems you face in this life."
(Mufti Menk) 

Mari, moga hati terus mahu meminta kepada Dia!

Wassalam,
Gombak.

Friday, January 8, 2016

#inspirasikita

Bismillah.

Perempuan dari Kota London itu bertanyakan apakah harapan saya pada tahun 2016 ini. Saya termenung kerana jujurnya saya belum betul betul duduk memikirkan dan merancang. Dan sebenarnya, saya masih memikirkan perancangan dan cita Ramadhan lalu saya. Saya cuma menandakan dalam hati bahawa banyak hal yang perlu saya perbaiki sepanjang semester dua di medan ilmu ini dan hampir 25 tahun Allah pinjamkan nafas serta kudrat. Bahkan semua sekali milik Allah. Cuma secara keseluruhan tentu saya (baca: kita) mahukan yang lebih baik.

Mengambil inspirasi daripada nama saya sendiri; Nurul Akmal yang bermakna cahaya paling sempurna membuatkan saya bercita cita ingin lebih banyak memberi inspirasi dan mengambil inspirasi untuk dijadikan panduan. Melihat kepada sejarah dan seerah terdahulu sehingga sekarang, saya yakin setiap orang punya potensi sendiri. Punya kelebihan yang mungkin tidak dimiliki orang lain atau kurang dimiliki. Nah, disinilah kita berperanan. Menjadi seseorang yang akan menyempurnakan. Atau saya suka sekali dengan istilah bermanfaat kepada orang lain. Kerana dengan memberi bahkan kita lebih bahagia. Di dunia ini, kita mahukan kebahagiaan kan?

Sekitar jadual kelas pelajar master yang bermula jam 5 petang hingga 8 malam sahaja membuatkan saya mahu memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja. Termasuk diri saya atau orang orang yang saya targetkan. Terus memanfaatkan waktu waktu yang ada. Cuma yang saya sedar, saya perlu duduk menulis fokus fokus saya. Inspirasi, peluang dan target apa yang saya mahukan sekitar waktu waktu mendatang. Juga duduk (lagi) dan berani menyenaraikan kelemahan kelemahan yang perlu saya perbaiki. 

Ini contohnya walau macam klise dan perlukan lebih banyak pendetailan; 


- Saya asyik lupa hafazan saya. Maka saya perlu lebih banyak mengulang. Saya perlu kurangkan hal hal lain. Dan mendengar lebih banyak audio surah itu. Serius, ianya membantu!

- Saya sangat cemburu dengan mereka yang membaca. Sepertinya saya tidak rancak membaca dan mencatat apa yang saya baca. Maka, saya perlukan jalan ke arah itu. Disiplin barangkali membantu saya. Membaca bahan apa. Pelajaran, isu semasa, minat minat saya, perniagaan. Anak anak saya nanti perlukan seorang ummi yang membaca, insyaAllah.

- Kewangan dan perancangan masa depan. Saya perlu lebih serius tentang ini. Bagaimana untuk merancang dan bersedia tentang masa masa hadapan. Berapa yang saya harus terus terusan menabung dan menyimpan. Saya perlu lebih pandai menjahit atau lebih mengasah bakat memasak. Kemahiran apa lagikah?

- Saya masih tidak dapat secara konsisten mengikuti program program yang dianjurkan di sekeliling saya. Mendengar youtube pun tidak selalu. Kecewa jugalah seorang saya. Saya perlu lebih serius!

- Saya sukakan program program Hidayah Centre, kemanusiaan dan sukarelawan. Tapi tampaknya, saya tidak begitu melibatkan diri. Kata minat?

- Jom senam selalu!


Dan tentu lebih banyak hal hal lain yang saya perlu perbaiki. Dalam apa apa pun, memperbaiki diri harus menjadikan kita lebih gembira, tenang dan bahagia. Tidak mengikut kesesuaian orang lain dan tentunya ianya perlukan masa. Ya, perlahan lahan. Sanggup tunggu?

Termasuk kebelakangan ini, saya senang sekali dengan hal hal kecil yang membahagiakan. 

Misalnya saat berbual mesra ketika membasuh baju, mendengar luahan mak cik kafe, mengangkat pinggan dan cawan sendiri, membayarkan minuman sang kawan, mengangkat baju yang terjatuh di ampaian, mengasingkan barang barang yang boleh dikitar semula dan banyak hal lagi yang saya pelajari. Ternyata hal hal itu meski sederhana, buat saya jatuh suka. Eheh (:

#inspirasikita

Lalu tentang perjalanan kita yang Allah rancangkan sehingga ke tahap ini, moga ianya memberikan kita lebih banyak inspirasi. Walau kadang jalannya tidak senang dan menguji namun kita percaya Tuhan tidak sama sekali meninggalkan kita sendiri. Istiqamah dengan keyakinan. Tenang ya.

"Kasih Tuhan melebihi segala kesempitan"

Teruntuk 2016;
Moga menyempurnakan saya dan (awak) dalam ketidaksempurnaan, biizdnillah.

Wassalam,
Gombak.