Berada dalam semester kedua pengajian membuatkan saya berkali kali memperbaharui niat saya. Sebagaimana di awal kelas Research Method, Dr. Hassan Ben mengingatkan kami semua tentang amanah ilmu yang kami pikul. Dr. mengulang ulang tentang itu. Peringatannya dalam Bahasa Arab sangat sederhana namun mengena di jiwa saya. Saya kembali (lagi) bermuhasabah mengapa saya di sini. Masih bergelumang dengan pengajian. Masih masuk kelas. Masih ke perpustakaan. Masih menyiapkan assignment. Dan semua itu kerana apa. Diam diam saya senang dengan peringatan Dr. Hassan walau saya akui saya gementar menyahut amanah ilmu ini. Siapalah saya kan, haruslah takut!
كسب
Perkataan berbahasa Arab yang bermaksud mendapat atau gain ini diterjemahkan Dr. Hassan bahawa perjalanan menuntut ilmu itu bukan tugas yang mudah. Ianya memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, wang ringgit, tenaga malah segala hal yang boleh dikorbankan. Maka dengan segala pengorbanan ini dalam menyiapkan kajian, seseorang itu pasti mendapat manfaat daripada pengorbanan ini. Berupa ilmu atau penemuan baru yang bermanfaat buat masyarakatnya. Antara yang paling saya ingat pesanannya;
"Kamu semua haruslah amanah dalam medan ilmu ini. Apatah lagi pelajar Syariah. Lagi besar tanggungjawab kamu menyelidiki sesuatu hal."
Saya bagaikan mendengar taujihat di sepanjang kelas beliau. Nasihat nasihat itu begitu win di hati saya. Bagaimana sesiapa sahaja seharusnya merasakan berat terhadap amanah ilmu ini. Meneliti 'penyakit' dalam kalangan masyarakat, membuat bacaan, kajian yang mendalam, berfikir, analisa dan seterusnya mengeluarkan 'ubat' buat masyarakat.
"Sebab itu kajian kamu seharusnya bermanfaat buat masyarakat. Sebab kamu tahu masyarakat perlukan apa. Jangan bagi ubat yang salah. Bergaullah dengan masyarakat; itu juga tanggungjawab kamu."
Saya tidak dapat tidak mengiyakan butir butir bicara Dr. Begitu segar dan sangat realistik. Nah, tugas penuntut ilmu bukan sekadar senang lenang pergi balik kelas. Tugas seorang penuntut ilmu adalah mengorbankan dirinya buat masyarakat! Bermanfaat buat orang lain masyaAllah.
العمل بلا علم جنون
العلم بلا عمل لا يكون
Amal tanpa ilmu; gila
Ilmu tanpa amal; tak bermanfaat.
Moga Allah bantu saya dalam urusan ini. Moga segala yang Allah pinjamkan menjadikan saya makin rendah diri dan mendekat dengan Allah.
"Jangan berhenti mencari ilmu. Kerana ilmu bukan wahyu. Wahyu itu maksum (terpelihara dan sudah berhenti) tetapi ilmu tidak. Teruskan mencarinya."
رب زدني علما
Wassalam,
Gombak.
No comments:
Post a Comment