Friday, April 22, 2016

#peopleofrejab

Bismillah.

Malam itu sewaktu menunggu pesan makanan di kafe, saya bercita cita membaca sedikit bacaan yang saya bawa. Baru hendak membukanya, levelmate mahallah saya, yang berasal dari Bangladesh menegur saya. Dia yang kelihatan sentiasa ceria duduk di hadapan saya. Kami berbual panjang mengenai pengalamannya yang pertama kali di Malaysia, bidang pengajian yang dia ambil dan negaranya. Sungguh, menarik juga Bangladesh ni!

Di atas meja, kelihatan sebuah tupperware yang berisi sesuatu. Saya tanyakan kepadanya, apakah ini. Dengan gembira, dia bercerita tentang apa yang saya tanyakan itu. Ianya adalah sejenis kuih tradisional Bangladesh. Dibawa oleh keluarga yang datang menziarahinya. Katanya, kuih tersebut sangat sedap tapi sukar untuk dibuat. Dia tidak kekok bercerita serba sedikit cara pembuatan kuih itu. Tambahnya lagi, "saya nak bagi awak juga. tapi nanti ya." Begitulah kesungguhannya.

"Awak boleh tolong saya?"

"Tolong apa?"

"Tolong temankan saya bagi kuih ni pada orang orang kafe tu. Senang sikit sebab mereka faham bahasa awak. Agak agak, mereka nak tak?"

"Oh boleh. Takpe, kita cuba dulu" kata saya.

"Ok. Saya nak bagi mereka kuih ni, sebab mereka dah masakkan untuk saya. Ini sebagai tanda penghargaan saya kepada mereka."

"..."

MasyaAllah, saya entah terasa sangat gembira dengan ungkapannya. Saya tidak tahu bagaimana rasanya kuih kuih itu. Bahkan bukan kerana kuih kuih itu. Namun yang berbekas di jiwa saya adalah bagaimana dirinya begitu indah menghargai orang lain walau sebenarnya, dia membayar masakan masakan itu. Sampai begitu sekali dia ingin menghargai orang lain. Ternyata, saya tertarik dengan hal ini.

Daripada peristiwa malam itu juga, saya merefleksi diri sendiri. Bagaimana tindak balas saya saat seseorang menghulurkan sesuatu. Bagaimanakah reaksi wajah saya?  Adakah seperti;

"Bangladesh? Eiii, taknaklah."
"Kuih tradisional? Bersih ke? Saya tak makan kot."

Antara yang saya belajar, bagaimana kita bereaksi dengan cara yang paling baik dengan apa sahaja yang diberikan orang. Tidak kiralah makanan, pamplet, kertas kertas iklan atau apa sahaja. Bagaimana kita bersungguh sungguh ingin menghargai pemberian dan usaha orang lain walau kita tidak suka dan tidak berminat. 

Common sense. Saya suka sekali mengingatkan diri saya tentang ini. Bahawa sekiranya saya tidak berminat atau apa sahaja, saya harus menerima dan menghargai orang yang memberi dengan cara yang paling baik di hadapannya. Ini common sense, nurul! 

"Terima kasih!"

Ucapan terima kasih dan sebaris senyuman yang sederhana begitu penting bagi saya, meski saya menolak, tidak menerima kertas kertas iklan yang dihulurkan. Atau saja sewaktu saya dengan senang hati menyambutnya. Penting juga untuk saya bertindak balas dengan cara terbaik dan tidak membuang kertas kertas yang diberikan di hadapan mereka yang memberi. "Kau tak tahu usaha mereka, nurul." Maka, berusahalah menghargai mereka yang ingin memberi walau diri saya (kita) ini mungkin sekali tidak mampu menelan makanan itu dikemudian hari. 

Taqwa. Entah saya juga mengingatkan diri saya tentang ini bahawa jangan memandang rendah pada orang lain. Tidak kiralah dia berasal dari mana sekalipun. Sesungguhnya, kita ini satu ummah. Walau mungkin bukan bersaudara kerana aqidah, kita bersaudara kerana kita sesama manusia, memiliki sifat sifat kemanusiaan yang kita imani bersama. Bahawa seseorang dinilai bukan berdasarkan dia berasal dari negara yang berambut perang, bermata biru. Bukan jua dek hebatnya bangunan dan teknologinya di tempatnya. Bukan juga pada pakaian dan ketinggian bahasanya. Bahkan, kerana taqwa. Taqwa di dalam hati.

Taqwa.

Oh ya, terima kasih #peopleofrejab.

Wassalam,
Gombak.

No comments: