Sunday, March 12, 2023

Mac Nan Istimewa

Bismillah.

Mengimbau memori;

Dulu sebelum ada mind-setting untuk mencari pasangan dan bernikah, sesekali akan terlintas (berangan (? haha)) di fikiran bahawa saya akan cenderung untuk bernikah dengan pak ustaz. Kerana apa? Tentu saja kerana saya merasakan latar belakang pendidikan akan buat saya lebih serasi dengan orang yang berada dalam bidang dan persekitaran yang sama. Sewaktu itu, saya merasakan juga, mungkin agak canggung apabila saya hendak duduk dengan orang yang bukan sealiran belajarnya dengan saya; mungkin tidak sekufu, bagaimana penerimaan dan lain lagi.

Dalam proses memaknai 'ada apa dengan pernikahan', saya teringat juga yang saya bersemangat (ecewah) mendengar perkongsian-perkongsian perkahwinan, walau seingat saya, saya tiada calon lagi hahaha. Yang penting sewaktu itu, saya benar-benar ingin menyiapkan diri semaksima mungkin.

Hinggalah masanya tiba;

Rasa bagai baru semalam menerima 'pertanyaan' seseorang. Bagai baru semalam doa saya dimakbulkan Tuhan; menerima 'pertanyaan' seseorang dengan cara yang paling saya gemari dan dekat di hati. Jujurnya, saya menggeletar menatap nama si empunya diri yang 'bertanya' melalui orang tengah. Bagai tak tertelan air liur di saat itu, saya kaku memproses segala yang baru berlaku. Sejurus solat maghrib, saya masih ingat, saya sujud syukur; saya masih lagi kesejukan; saya merasakan Tuhan benar-benar dekat menjawab doa yang sebenarnya baru saja saya pintakan. Saya merasakan kasihnya Tuhan, dekatkan langkah saya dengan sosok lelaki yang tidak pernah saya sangkakan. Ah, siyes lah dia?

Kini;

Buat lelaki kiriman Tuhan yang saya cintai selepas akad dilafazkan, selamat hari cinta yang ke-6, abang. Meski kebelakangan ini dan juga kadang kedengaran kisah-kisah rumahtangga yang menggusarkan hati, meski kita akan lalui hari-hari esok dengan yang hal yang tidak pasti, moga Allah sentiasa rezekikan kita hidayah dalam berumahtangga, terus memayungi kita dengan aman dan kasih sayang, sentiasa rezekikan kita cinta dalam suka dan duka, menyederhanakan segala rajuk dan salah erti, saling menjadi pasangan yang Tuhan redhai sepanjang hayat kita. Moga kita terus saling menjadi 'kawan baik' yang menghargai segala atas dan bawah, pahit mahupun manis.

Untuk segala ketidaksolehahku (sobsssss), terima kasih masih di sini menemani isterimu memperbaiki diri yang perlahan. Terima kasih atas redhamu miliki seorang suri yang tiada apa-apa. Atas segala kesabaran berhadapan kepeningan seorang isteri dan banyak lagi sisi-sisi daku yang dikau kenali, moga Tuhan berikan syurga buatmu atas banyaknya khidmah baikmu. Moga kita masih berezeki untuk tetap bersama menjadi 'Musa-Harun' yang paling bermakna, moga seorang aktuari pegang tangan ustajah sampai hujung nyawa, aamiin! (;p )

4 Mac 2017 - 4 Mac 2023. Jom mujahdah bina rumah syurga kita insyaAllah (:

 PD, Mac 2023

Nurul cinta Muhammad. Moga Allah cintakan kita juga ^^
Selangor.


Saturday, October 1, 2022

Sempurna tapi tidak sempurna

Bismillah.

Di sebalik 'sempurnanya' dia, kau lupa memaknai manusiawi dalam hubungan suci itu. Dia adalah manusia biasa yang 'bukan tidak sempurna', tetapi kerana dia sosok yang sama seperti engkau. Ada masanya lelah, malas, nanti dulu, buat yang termampu dulu dan lain-lain. Itulah hal yang juga perlu kau dan dia saling belajar, memberi ruang untuk ditolak sementara; juga kerana cinta yang besar dan pengertian yang mendalam.

Dia bukan tidak kasih dan cinta, dia hanya seorang manusia. 

Masih mencintainya,
Selangor.

Thursday, September 22, 2022

Mujahadah (lagi)

Bismillah

Tidak terkira berapa banyak telah melebihi. Tidak terkira jiwa yang dinodai. Moga Tuhan terus izinkan ruang dan peluang untuk sentiasa perbaiki. Moga tidak lelah untuk terus kuat berjuang. Istighfar dan bangkit kembali. Kembali meski sunyi tiada bahu di sisi, meski tangan tidak dipimpini mahupun dan dihargai. Kembalilah meski masih cacat dan tidak sempurna.

Tuhan, lembutkan aku lagi.

Bumi Tuhan
September 2022.

Thursday, October 28, 2021

Cinta

Bismillah

Barangkali, akan bertanya hingga tidak terkira. Barangkali, akan bertanya hingga lelah jiwa raga.


Moga jika ini kelemahan, Tuhan bantu melaluinya. Tuhan bantu menenangkan rasa-rasa. Kerana akhirnya, kepada-Nya jualah segala bentuk pengabdian dan penyerahan.


Moga jika ini kelompongan hati, Tuhan bantu memenuhinya dan melapangkannya. Moga jika ini ketakutan dan kerisauan, Tuhan bantu memayunginya dengan keamanan.


Benar, Tuhan cukupkan semua rasa-rasa ini, kerana sesungguhnya Kau-lah yang mencukupkan segala yang terbaik buat hamba.


Tuhan berkatilah jiwa-jiwa kami, moga terpelihara daripada segala dosa, noda dan hasad-hasad mata. 


Wassalam,

Seorang suri.


Wednesday, February 17, 2021

Dunia yang sekejap

Bismillah.

Teringat momen ketika berpantang; saat sepasang mata kengantukan di tengah malam bersama anakanda Azam, saya tergerak hati membuka telefon bimbit (hp). Entah kenapa jari lari menuju ikon facebook, klik dan kemudian terpapar perkembangan-perkembangan terkini. Mata saya berhenti membaca satu hantaran (post) daripada kawan yang sangat mengejutkan saya. Tangan saya lantas kesejukan, air liur ibarat tersekat di rongga tekak. Tidak percaya membacanya malah saya membacanya berkali-kali untuk benar-benar pasti. AllahuAkbar, saya terkedu, teringat peristiwa petang itu. 

Lebih kurang 2.30-3.00 petang, sang suami dan anakanda Zayd keluar untuk ke kedai gunting rambut. Katanya ke kedai berhampiran masjid yang tidak jauh dari rumah. Minit-minit berlari sehingga menghampiri angka 4 lebih. "Lama lagi ke depa ni?" Pinggangku sudah mula kelenguhan memangku Azam yang manja petang itu. Saya cuba menghubungi suami melalui Whatsapp, tidak dibaca. Masa terus berlalu, saya masih cuba menahan diri, kerana saya tahu, memang lama juga potong rambut lelaki tapi takkan sampai sejam lebih. Hati saya mula tidak keruan. Saya mula menghubungi suami melalui panggilan telefon ketika itu, namun kecewa kerana tidak berangkat. Beberapa kali mencuba namun masih sepi tidak berbalas. Bertambah debar kerana masih tidak dapat memastikan keadaan mereka. Resah dan mula memikirkan sesuatu yang negatif, jujurnya saya ketakutan. Saya mengalihkan posisi beberapa kali, dari duduk ke bangun begitu juga sebaliknya. Air yang melalui tekak terasa tidak melegakan kerana saya begitu risau dek semua panggilan saya tidak dijawab, Allahu Tuhan bantulah saya. Saya mula memikirkan yang bukan-bukan na'uzubillahi min dzalik. Air mata mengalir, bagaimana jika saya ditinggalkan dua kesayangan saya. Pelbagai soalan terasa pahit untuk dijawab, namun di manakah mereka? Kenapa tak sampai rumah lagi, sedangkan sudah menghampiri jam 5 ketika itu.

Ya, saat itu benar-benar menguji saya, saya risau akan kehilangan. Sedih dan tak mampu berfikir. Doa dan doa semoga Allah pinjamkan lagi mereka untuk saya, insyaAllah. Saya terus memandang pagar rumah, mengharapkan Tuhan mengizinkan lagi saya bertemu suami dan anak. Hinggalah pada akhirnya, pintu pagar rumah terbuka dan mereka; insan-insan kesayangan pulang. Saya sebak TT. Terasa peringatan Tuhan begitu dekat, bahawa semua di dunia ini adalah pinjaman termasuk semua kesayangan di sisi kita. Hargailah sesungguhnya yang terdaya kerana entah bila pinjaman ini akan kembali kepada Tuannya. Bagai diberi peluang demi peluang untuk lebih mengasihani, menghargai dan berbuat baik kepada yang terdekat khususnya.

Kawan saya kehilangan suaminya Allahu inna lillahi wa inna ilaihi rojiun TT. Dan Tuhan masih pinjamkan suami dan anak buat saya, moga kau beringat!

Moga terus cinta, insyaAllah.

Hargailah dunia yang sekejap ini, Puan Nurul! Tuhan, bantulah saya.

Wassalam,
Puchong 2021.

Wednesday, December 2, 2020

Buku: #88 LOVE LIFE

Bismillah

Kata penulis, "U dont need to be perfect".

Tak menyangka saat menelusuri MPH Online, terbeli buku ini. Random sangat, even tak tengok review. Buku ringkas yang penuh berwarna-warni, rasa gembira saja membacanya. Padat dengan ayat-ayat pendek yang memotivasikan diri menjadi yang lebih baik versi diri sendiri. Dan ya, tidak perlu menjadi sesiapa untuk memperbaiki diri sendiri dan menjadi lebih baik. Jadilah diri sendiri, mengutip serpihan-serpihan untuk mencantum dan menghasilkan yang baik. Tidak mesti dan tidak perlu sempurna dalam sebarang perjalanan dalam hidup. Jadilah yang paling baik, versi diri sendiri insyaAllah.

Untuk saya, perjalanan merubah diri menjadi yang lebih baik adalah sangat bermakna; meski kecil hal-hal yang dilakukan. Hargailah usaha kita yang kecil dan ketidaksempurnaan itu kerna apa jua untuk Tuhan, akan menjadi penting dan bermakna insyaAllah 
🍃



Wassalam,
Johor Bahru.



Monday, November 30, 2020

Paling dan Paling

Bismillah.

Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingati-Mu
Rindu pada-Mu
Sentiasa mendambakan
Kasih dan sayang-Mu
Semalam aku bermimpi
Dalam hujan ku berlari
Berlari mencari
Memangil-manggil nama-Mu
Nama-Mu yang sempurna

Kuharap dan kuberdoa
Semoga dapat bersua dengan-Mu

Tiada kata yang dapat ku gambarkan
Perasaan yang ku alami
Cinta ku ini tiada berbelah bagi
Cinta yang suci dan abadi

Apakah aku diterima
Atau kau kan membiarkan saja
Kerana ku berdosa
Jangan biarkan ku terhina
Ku merayu pada-Mu

(Yasin, Rindu Pada-Mu)

Lagu lama ini mendalam juga maksudnya buat saya. Entah sejauh mana kita jauh, tetap di sisi Tuhanlah perasaan yang paling damai. Entah duka, serabut dan segundah apa pun, tetap tempat paling aman adalah dengan memulangkan rasa-rasa itu pada Tuhan. Melalui 2020 yang begitu menguji, moga tidak pernah putus asa, Tuhan; Allah lah tempat kita kembalikan semuanya. Termasuk hal-hal yang begitu sulit untuk diperkatakan. Moga damailah jiwa seorang hamba yang menyerahkan semuanya kepada Dia Yang Satu.  Kasih sayang Tuhan tidak bernoktah (:

Wassalam,
Semua sedang tidur, JB




Wednesday, November 18, 2020

Setia

Bismillah.

Saya mula mengerti bahawa setia tidak semestinya menjanjikan kebersamaan. Ada hal yang menggambarkan dan mengikat setia namun ianya tidak pernah mengikat masing-masing untuk bebas melaksanakan apa yang disuka. Lapang dada.

Bebaslah terus bercinta dengan hormat.

Wassalam,
Johor Bahru


Monday, February 17, 2020

I'm Crying and I'm Ok (?)

Bismillah

Kadang, biarlah air mata mengalir tanpa justifikasi. Biarlah ia turun menenangkan hati. Biarkan ianya jatuh tanda kau sedih dengan apa saja. Kadang, ya bukan saja sedih namun kerna rasa yang susah diungkap kata dan yang tak punya kudrat untuk dicerita. Biarkan, biarkan ia, sebab Tuhan sentiasa ada untuk hal yang kau terlihat senyum namun nangis dalam diam, bukan? Tuhan, tenangkanlah dalam segala hal, meski dalam tangisan.

Teruskan senyum (:

Wassalam,
Andai kau mengerti bahasa tangisku (haha)

Saturday, February 15, 2020

20 Januari 2020; pagi yang bungkam.

Bismillah.

Pagi yang begitu mendebarkan buat saya. Tercari-cari mana si dia.

Seluruh tubuhku sejuk hampir kegigilan.

Syukur, dengan air mata.

Syukur, Tuhan masih pinjamkan Dia.

Pagi itu dan selepas itu; nikmat besar adalah masih mampu melihat dia menatapku. Masih bisa memanggilku. Masih ada dia di sisiku.

Alhamdulillah syukur, Tuhan masih panjangkan jodoh kita. Moga hingga syurga insyaAllah, aamiin!

Moga dikau cepat sembuh dengan aman sebab kita masih punya banyak perancangan bersama bukan? Biizdnillah.

Wassalam,
Masih kawan baik dikau yang setia,
Bangi.

Tuesday, December 3, 2019

Giordano

Bismillah.

Kadang apa yang kita suka itu, tidak terbaik buat kita. Kadang ada sisi-sisi yang kita tak nampak dek terlindung dengan keinginan suka kita itu. Saat ini, memang perlu nasihat dan pandangan orang terdekat yang lebih jujur kata-katanya buat kita.

"Takyah ambik yang putihlah. Risau jarang ni."

Berulang kali terdengar butir yang sama.

"K, fine." Walau kecewa namun pertimbangannya masih keutamaanku.

Move on. Nanti cari yang lain, lebih baik barangkali dan yang menyedapkan hatinya hehe.

Moga Tuhan berkati kau atas kasihmu padaku (:

Wassalam
Puchong.

Wednesday, October 2, 2019

Tengah Malam

Bismillah

Tatkala dia mula nak bercakap, rasa sejuk berdebar-debar pula;

"Seimbang. Katanya, passion dan kerja dakwah perlu seimbang. Sederhana dan imbangkan diri."

Terima kasih atas sembang tengah malam ini!

Wassalam,
Puchong.

Tuesday, October 1, 2019

Dia Yang Ku Cinta

Bismillah.

Banyak yang saya pelajari daripadanya tanpa sedar. Daripada diamnya, senyumnya, tenangnya, sosoknya, katanya dan tidak terkira lagi. Terima kasih, Tuhan mengirim dia buat saya yang tidak sempurna. Moga Tuhan berkati kita, kasih.

Wassalam,
Tidak sempurna tapi tetap kasih,
Puchong.

Friday, August 23, 2019

Kalah-Menang-Kalah-Menang

Bismillah.

Bukan sekali saya minta Allah bantu saya agar menjadi yang semampunya. Benar, saya percaya bukan sempurna yang Tuhan pandang dan peduli. Bukan yang di luar keupayaan saya jua yang diminta Tuhan. Bahkan usaha yang disertakan mujahadah tinggi. Kan, usaha tak ni?

Bukan mudah untuk saya mengurus hal ini. Tiap kali terlajak pasti tangis menyesal. Tuhan, pandulah saya!

Buat saya, bermujahadahlah! Moga ini amal-amal yang diangkat, biizdnillah.

Menang untuk Tuhan, jom Nurul Akmal,
Puchong

Sunday, April 28, 2019

Kopi dan hal kesukaan.

Bismillah.

Saya belajar bahawa di sebalik keenakan kopi yang dihirup, jangan sampai kopi menang mendefinasikan siapa kita. Kopi sama sekali tidak berhak menentukan siapa kita. Saya mula belajar lagi, kopi seharusnya langsung tidak membezakan kita; meski harga secawannya tampak mengatakan sebaliknya.

Dan ya, kopi atau apa jua cara hidup, rahsiakanlah melainkan yang memberi manfaat buat umum. Kopi? Minumlah kopi dan nikmatilah momen bercerita dengan orang sebelah. 

Teringat pesanan yang menyapa; jangan kongsikan cara hidup (kopi salah satunya) di media sosial. Ringkas namun masih berbekas. Ya, nikmatilah kopi dan tersenyumlah dengan si dia tanpa yang lain tahu. Rahsia!

(Setelah sekian lama tidak menulis, ah begitu kaku untuk melontar kata. Jangan ketawakan tau. Maafkan daku!)

"Coffee time is always a good idea"

Wassalam
Teman kopi dia,
JB.



Wednesday, February 21, 2018

Percaya

Bismillah.

Percayalah, bagi hati itu, lebih baik ia pergi. Tidak terlihat kelibat itu mungkin sukar. Namun, sukar lagi hendak menahan diri. Payah lagi menyembuhkan diri, melihat yang terjadi di hadapan diri. 

Terimbau memori. Air mata jadi saksi. Susah kan, menjaga hati dan menjadi diri sendiri?

Demi Tuhan, diri itu tak seteguh yang kau perhati. Biarlah dengan pergi boleh melupakan, barangkali.

Dan percayalah, saat kau bersedia nanti, dia akan terlebih dahulu kembali.

Moga, dengan segala pilihan, seorang nurul masih memilih kebaikan dan kebaikan masih menang.

"Tuhan, teguhkan dan sembuhkan."

Wassalam,
Seorang isteri,
Bangi.

Monday, January 22, 2018

Kembali

Bismillah.

Resfeber.

The nervous feeling before undertaking a journey; the restless race of a traveler's heart before the journey begins, when anxiety and anticipation tangled together.

Melalui hari-hari yang dirasakan sukar dan tanpa teman begitu meresahkan. Tidak keruan dan bimbang. Merasakan ujian melebihi kemampuan dan sukar dipikul seorang. Teruntuk atas segala perasaan, moga Tuhan sentiasa menenangkan saat berseorangan. Moga Tuhan anugerahkan segala rasa yang memampukan melalui perjalanan. Moga Tuhan sentiasa ingatkan bahawa kau hamba yang benar untuk diperteguhkan. Atas segala mendung dalam hati, moga Tuhan sentiasa tempat untuk kembali. Kembali memulangkan perasaan.

Tuhan sentiasa ada dan cukuplah Allah atas semua (:

Wassalam,
Bangi.

Sunday, January 21, 2018

Dua Insan Yang Bukan Mimpi

Bismillah.

Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun saya meninggalkan sepi kanvas putih ini. Bukan tidak rindu bahkan sering saja mengunjunginya lalu membaca tulisan-tulisan lalu. Entah, sukarkah komitmen menulis ini? Hehe. Semestinya, dalam tempoh yang panjang ini, terlalu banyak hal yang berlaku. Tahun yang sudah beranjak sudah tentu membawa saya juga dengan pelbagai peristiwa.

Untuk 2018 yang sudah 21 hari, moga kita semua menjadi yang lebih baik dalam segenap hal. Meski yang saban tahun kita perbaiki. Meski hal yang begitu kecil dan tidak begitu signifikan bagi orang kebanyakan, saya yakin kita punya begitu peluang yang luas untuk memperbaiki apa saja.

Juga, moga syukur yang bertambah. Ya, teruntuk saya yang sering lupa memaknai syukur, moga tidak menyampingkan syukur meski lambat. Belajar dengan syukur, besar ertinya, bukan?

Bahagia melebarkan rasa
Tiada ragu dan curiga
Dan bersabar sementara ada
Ku berserah walau telah nyata
Segala janji-janjiNya kalam yang indah

Ternyata ini bukan mimpi
Yang hadir sempurnakan erti
Semuanya sudah terlaksana
Ku fahami makna dan tujuan
Cintaku bukanlah suatu permainan

(Mirwana, Cinta Bukan Mainan)

Dua insan yang bukan mimpi yang direzkikan indah buat saya tahun lalu; Muhammad 'Afif bin Amir Husin dan Zayd Al-Ansori bin Muhammad 'Afif. Alhamdulillah thumma hamdulillah (:

Wassalam,
Bangi.

Sunday, February 26, 2017

Tujuan asal kita

Bismillah.

Betapa besar pun pemberian dan penghargaan mahupun apa jua harapan kita pada manusia lain, ianya bukan untuk mendapatkan pulangan yang sama bukan? Memberi kerna memang kita mahu memberi dan ianya sebahagiaan akhlak kita, benar kan? Walau mungkin sisi sisi manuasiawimu minta dikenang, namun Allah kan tujuan asal kita? Tuhan, ingatkan daku.

Teruknya perangai kalau dengar tazkirah kemudian salah kan orang, "macam orang tu." Astagfirullah, nurul. Dengar tazkirah untuk memperbaiki dirimu, nurul. Bukan ingat aib orang, kan. Moga Allah pandu, biizdnillah.

Dan ya, Allah tujuan kita, insyaAllah.

Wassalam,
JB.

Saturday, February 25, 2017

Lorong-lorong kecil yang sederhana

Bismillah.

Kesempatan tidak datang selalu.

Pagi itu, sewaktu mencuci pakaian di ruang basuhan mahallah (kolej) dan tangan masih licin dipenuhi sabun, saya terlihat plastik yang berterbangan di tiup angin. "Eh, plastik ni datang dari mana pula?". Oleh kerana tangan masih dipenuhi sabun, saya menangguhkan hasrat mengutip dan membuang plastik berkenaan walau berpeluang. Fikir saya, "sekejap lagilah, lepas habis basuh baju ni." Saya kembali menyambung fokus pada basuhan saya sehinggalah saya berpaling lagi kepada plastik tersebut, namun hampa. Plastik itu hilang sekelip mata dan saya pun tidak tahu siapakah gerangan yang mengutip plastik tersebut.

Entah, saya macam terkilan pula. Kerana saya merasakan, sayalah mungkin orang pertama yang melihat sampah itu berterbangan. Merasakan bahawa sayalah yang Allah telah beri peluang untuk berbuat kebajikan namun dek kerana menangguhkan hasrat meski boleh dimaafkan alasannya. Saya terdiam seketika memikirkan dan mengaitkan, "Agaknya, beginilah perasaan tatkala bila Allah sudah beri peluang, kemudian kita abaikan. Dan akhirnya, tiada lagi peluang itu lantas terkilan. Saya bagai membuat salah satu kesimpulan, bahawa beginikah Allah melorongkan seseorang hamba dan mengilhamkan dia berbuat baik. Sehingga begitu terpilih, masyaAllah! Lalu jika dia menangguhkan walau sekejap cuma dan peluang itu tiada, dia menyesal lalu berkata, "kenapa ya aku tak mampu berbuat yang lebih baik?"

Moga selalu menghargai peluang peluang yang ada; peluang berakhlak dengan lebih baik, peluang menghargai ramai orang, peluang memperbaiki diri dan banyak lagi. Dan Tuhan,  "ini juga mujahadah dan jalan jalan beribadah kepada-Mu, bukan?"

Wassalam,
JB.