Saturday, February 25, 2017

Lorong-lorong kecil yang sederhana

Bismillah.

Kesempatan tidak datang selalu.

Pagi itu, sewaktu mencuci pakaian di ruang basuhan mahallah (kolej) dan tangan masih licin dipenuhi sabun, saya terlihat plastik yang berterbangan di tiup angin. "Eh, plastik ni datang dari mana pula?". Oleh kerana tangan masih dipenuhi sabun, saya menangguhkan hasrat mengutip dan membuang plastik berkenaan walau berpeluang. Fikir saya, "sekejap lagilah, lepas habis basuh baju ni." Saya kembali menyambung fokus pada basuhan saya sehinggalah saya berpaling lagi kepada plastik tersebut, namun hampa. Plastik itu hilang sekelip mata dan saya pun tidak tahu siapakah gerangan yang mengutip plastik tersebut.

Entah, saya macam terkilan pula. Kerana saya merasakan, sayalah mungkin orang pertama yang melihat sampah itu berterbangan. Merasakan bahawa sayalah yang Allah telah beri peluang untuk berbuat kebajikan namun dek kerana menangguhkan hasrat meski boleh dimaafkan alasannya. Saya terdiam seketika memikirkan dan mengaitkan, "Agaknya, beginilah perasaan tatkala bila Allah sudah beri peluang, kemudian kita abaikan. Dan akhirnya, tiada lagi peluang itu lantas terkilan. Saya bagai membuat salah satu kesimpulan, bahawa beginikah Allah melorongkan seseorang hamba dan mengilhamkan dia berbuat baik. Sehingga begitu terpilih, masyaAllah! Lalu jika dia menangguhkan walau sekejap cuma dan peluang itu tiada, dia menyesal lalu berkata, "kenapa ya aku tak mampu berbuat yang lebih baik?"

Moga selalu menghargai peluang peluang yang ada; peluang berakhlak dengan lebih baik, peluang menghargai ramai orang, peluang memperbaiki diri dan banyak lagi. Dan Tuhan,  "ini juga mujahadah dan jalan jalan beribadah kepada-Mu, bukan?"

Wassalam,
JB.

No comments: