Bismillah.
satu.
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِى سَعِيدُ بْنُ أَبِى سَعِيدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ : تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
رواه بخاري 5090
Sewaktu kelas hadis dan kami membicarakan sebuah hadis berkaitan kriteria kriteria calon pilihan hidup, pensyarah kami secara rawak bertanyakan kepada beberapa orang pelajar lelaki tentang kriteria pilihan mereka. Sekiranya diberi empat pilihan, yang manakah yang menjadi pilihan mereka. Antara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kelas sunyi menunggu jawapan daripada pelajar lelaki pertama.
"Kecantikan." kata lelaki itu.
"Kalau boleh, semua." lelaki seterusnya menjawab.
Saya senyum. Saya akui semua manusia sangat menyukai kecantikan. Bahkan Allah juga sangat sukakannya. Percayalah, fitrah manusia sentiasa mendorong kita untuk memilih yang menyamankan mata dan indah dipandang. Namun dalam diam, saya sendiri bermuhasabah petang itu. Tentang bagaimana janji ar Rasul saw tentang calon pilihan hidup ini. Bagaimana Baginda secara serius telah menyarankan sesuatu di hujung hadis itu. Saranan yang Baginda tidak katakan di kriteria yang lain melainkan kriteria "agamanya". Ya, saya juga mengambil intipati hadis ini sebagai saya seorang perempuan. Betapa Baginda mengerti!
Hadis itu mengingatkan saya bahawa Allah pernah mengatakan bahawa taqwa adalah nilaian dan ukuran manusia di sisi Allah (49:13). Menjadi yang terbaik dalam pandangan Allah bukan sekadar untuk kepentingan individu; hamba dan Tuhan. Bukan sekadar peribadi sendiri dan tidak mengesani hal lain. Bahkan, menjadi yang bersungguh sungguh di sisi Allah adalah kerana, manusia yang komited pada agama bakal mewarnai kehidupan di tangga tangga kehidupan seterusnya khususnya perkahwinan (dalam konteks ini) dan mencorak perjalanannya insyaAllah. Bukan pada harta, keturunan dan paras rupa. Saya akur pada itu. Saya akur bahawa aspek agama bukan untuk sendiri sendiri, namun kedekatan dan ketaatan pada Allah telah menjadi kriteria utama dan saranan Nabi saw dalam pemilihan calon hidup kerana bahkan Baginda mengerti untuk diri sendiri sahaja, taqwa adalah yang diutama, apatah lagi nak memilih pasangan dan membina keluarga. Kita mahu keluarga yang diberkati, cita citanya, insyaAllah kan?
Dan saya percaya, definisi cantik itu luas. Terpulang kepada siapa yang memberi makna dan menilainya. Semua makhluk Allah itu, indah bukan? Cuma yang benar benar menenteramkan dan menjadi qurratu a'yun (penyejuk mata) dan tentu jiwa itu biarlah yang terpilih. Cantik luarannya sahajakah? Bagaimana definisi cantik saat dia muda dan punya segalanya. Atau berubahkah hati saat dia menua. Itu semua terpulang kepada kita. Kerana akhirnya, kita yang memilih dan bertanggungjawab pada pilihan kita, kan?
dua.
Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah telah rezkikan, hingga saya masih mampu bernafas di bumi Tuhan pada usia 25. Terasa begitu janggal menyebutnya. "Eh semalam macam baru habis form 5" ;p. Dan begitulah masa yang telah berlalu. Banyak benar hal yang saya mahu muhasabahkan di usia yang makin meningkat. Masih terngiang ngiang tafsir surah al 'asr tempoh hari. Betapa saya merefleksi diri di angka dua lima ini, betapa banyak kerugian yang telah saya lakukan. Astaghfirullah TT. Betapa banyak masa yang sia sia. Banyak juga yang saya boleh perbaiki agar tidak merugi. Masa. Itulah yang saya tidak boleh dapatkannya kembali. Begitu banyak masa yang kita miliki dan yang telah berlalu namun tidak bermanfaat. Inilah. Inilah antara kerugian besar bagi seorang saya. Moga muhasabah ini sentiasa menjadikan kita lebih baik ya, insyaAllah.
tiga.
Dunia dan tarikannya. Saya ada saja bercadang untuk menghentikan akaun instagram dan twitter saya (atau fb juga? ermmm). Entah, saya merasakan bahawa tarikan media sosial begitu kuat untuk saya. Dari satu halaman ke satu halaman yang lain. Melihat itu dan ini. Sehinggalah saya sedar dan jujur menyedari bahawa saya seakan akan terikat dengan akaun akaun itu. Untuk manfaatkan ya? Betul ke saya mampu? Luruskah niat saya itu apabila tumpuan saya kadang dicuri. Ah, betapa saya serius memikirkan ini. Serius, saya penat. Penat untuk terikat dengan hal yang saya rasa sederhana manfaatnya namun memberi kesan untuk jiwa. Yang paling sedih adalah; apakah saya begitu banyak masa (rupanya)? Alahai nurul, selamat merefleksi diri dan berubah. Ramadhan nak datang ni!
empat.
Dan lagi, saya melihat lambakan mutabaah amal yang pelbagai. Saya merasakannya begitu menarik. Namun satu hal yang saya perasan tentang saya, saya mula menyoalkan adakah target target ibadah yang dilakukan hanya sekadar menjadi ritual aktiviti harian dan di atas kertas. Benarkah? Adakah ianya sasaran yang tidak memberi makna. Kosong tanpa jiwa merasakan apa apa. Sepi dan kering tidak membasahkan iman. Sekadar penyedap hati kerana tercapainya target target yang disasarkan. Tipu belaka. Entah, sudah tibanya untuk saya kembali memikirkan. Adakah apa yang saya lakukan ini benar benar diresapi hati. Benar benar buat jiwa jadi tawaduk dan sungguh sungguh membawa saya kepada Allah sehingga anggota badan, pancaindera mahupun hati saya merasai suatu tenaga yang luar biasa. Sehingga kesan merasai kedekatan dengan Allah buat saya menjadi yang lebih baik dengan manusia, buat saya bersungguh sungguh dengan apa yang lakukan. Itu. Itulah rasa yang buat saya refleksi. Menghargai sebuah rasa. Usahakanlah, nurul. Moga jumpa apa yang hilang itu, biizdnillah!
lima.
Jalan yang saya (kita) impikan; jalan yang dilimpahi keberkatan dan keredhaan Tuhan. Adakah saya mampu menjadikannya kenyataan atau sekadar cita cita yang tidak diusahakan? Dengan kekhilafan diri yang sekadar beriya iya mengimpikannya namun mengulang ulang hal yang sama, oh bagaimanakah ini? TT. Maafkan dan ampuni saya Tuhan, kerana masih lompong dan gagal dalam mengotakan janji. Masih tidak beramal dan hanya sekadar banyak bercakap. Ah, pedihnya untuk saya! Moga Allah mengampuni saya, terus memberkati dan memudahkan urusan urusan ini. Untuk kesekalian kali, saya masih bercita cita hal yang sama. Moga Allah rezkikan yang paling baik, paling berkah, manis dan menenangkan insyaAllah. Jom usaha!
enam.
Akhirnya, sebelum sampai ke Ramadhan insyaAllah (Allah, sampaikanlah kami), sekadar sebuah lagi refleksi untuk saya, target apakah di bulan syaaban ini? Jangan tangguh kebaikan, nurul. Nanti merugi. Moga kita tidak merugi, walau sebelum Ramadhan tiba insyaAllah.
Ok, panjang rupanya. Allah, berkati kami dan bantu kami dalam urusan urusan kami.
Why so serious? Senyum sikit dengan Allah (;
Wassalam,
Gombak.
No comments:
Post a Comment