Wednesday, September 7, 2011

Aku menyangka.


Bismillah.
Jari jemari terus berlari...
Aku menyangka di sebalik tudung labuh itu dia biasa-biasa orangnya, rupanya dia insan luar biasa kurniaan Allah.
Aku menyangka dia alim-alim kucing saja. Rupanya dia tidak berdusta. Dia sangat mencintai Allah dan seluruh agama-Nya.
Aku menyangka dia akan bosan berbuat baik dan beribadah sepanjang masa. Katanya, “seluruh kehidupan ini adalah ibadah”. Betul ke? Ya, betul. Rupanya, memang dia tidak pernah lelah melakukan kebaikan. Malah sering sahaja memotivasi orang lain.
Aku menyangka dia main-main dengan amalan solehnya. Rupanya, dia sangat serius dengan hubungannya dengan Allah. Amalan sehariannya tidak pernah ditinggalkan tanpa sebab sia-sia.
Aku menyangka dia amat susah mengeluarkan derma dan bantuan. Ternyata, tekaanku silap. Dia akan segera menghulurkan apa yang terdaya kepada yang memerlukan. Duitnya tidak terlalu banyak. Namun, ibarat mencurah-curah perberiannya. Katanya lagi, “dengan Allah pun nak berkira?”
Aku menyangka dia suka-suka sahaja membersihkan hatinya. Rupanya, aku salah lagi. Dia bermunajat dan bertafakur kepada Allah di sepertiga malam dan istighfarnya tidak putus-putus.
Aku menyangka hatinya tak sekuat mana. Akan marah dan membenci orang. Rupanya, aku salah. Hati yang berpaut pada Allah itu sangat kuat pergantungannya. Dia banyak sekali menahan sabar dan tidak sekali-kali membenci orang.
Aku menyangka dia sangat kuat. Tidak pandai menangis di hadapan kawan-kawan. Rupanya, aku salah lagi. Memang dia tidak pernah menangis di hadapan kami kerana dia lebih banyak menangis di hadapan Rabb-Nya.
Aku menyangka dia hanya akan bercakap mengenai agama dan akhirat saja. Rupanya, dengannya boleh berkongsi apa sahaja. Dia bijak bergaul dengan semua orang meski tidak semua orang sepertinya. Caranya sangat berhikmah.
Aku menyangka dia tidak mementingkan pelajarannya. Rupanya, dia sentiasa cergas dalam pelajaran. Bersemangat dan tekun orangnya.
Aku menyangka dia sangat dingin dengan ahli keluarganya. Rupanya, dia rapat, manja dan saling mengasihi antara ahli keluarganya.
Aku menyangka dia tidak pandai menggunakan blog, facebook, tumblr atau twitter. Rupanya, dia mahir menggunakannya. Katanya, dia ingin mewarnai seluruh kehidupannya dengan menyeru kepada Allah. Tidak kira walau di mana mahupun apa.
Aku menyangka dia jenis yang memilih kawan Tidak suka bergaul dengan orang yang memang ketara tidak sepertinya. Rupanya aku silap. Dia sangat peramah dan hatinya tulus. Dia akan berkawan dengan semua orang tanpa mengaibkan kesalahan-kesalahan mereka mahupun mengungkit kelalaian lampau.
Aku menyangka dia ambil remeh soal pakaiannya, rupanya dialah yang sangat ambil berat tentang aurat dan penampilannya. Walau hanya keluar sekejap, dia tetap bertudung litup dan berstokin rapat. Celahnya, “aurat kita ini istimewa dan berharga”.
Aku menyangka dia boleh saja di ajak berbual tentang dunia dan keasyikannya. Ya, dia memang boleh. Namun, rupanya dia cuba bersederhana. Sederhana kerana semua itu besar ujiannya dan kerana dia takut mencintai dunia.
Aku menyangka dia serius orangnya. Kaku.Tanpa senyuman. Rupanya, dia sangat kelakar, pandai bergurau dan menghibur orang lain. Senyuman manis buat mereka yang selayaknya.
Aku menyangka dia tidak punya teman. Rupanya, setiap teman sangat mengasihinya.Setiap kawan mengingatinya. Setiap sahabat mendoakannya.
Aku menyangka dia kasar orangnya, rupanya hatinya sangat lembut dan menyenangkan orang lain. Bicaranya jarang yang sia-sia. Menusuk jiwa.
Aku menyangka dia kolot dan rimas orangnya. Rupanya, dia moden walau sangat bersederhana. ‘Izzah dengan deen-Nya dan akhlaknya yang indah. Buat semua orang ingin mendekatinya.
Aku menyangka dia tidak tahu tentang perkembangan terkini dan fesyen kegilaan muda-mudi. Rupanya, dia sangat up to-date. Itu tahu. Ini tahu. Meski itu semua tiada kaitan dengan dirinya.Katanya, “dakwah ini perlu dirasai oleh semua orang”. Katanya lagi, “ambil tahu tidak semestinya kita sertai.”
Aku menyangka dia mencari sang teruna untuk mengisi hatinya. Rupanya, astaghfirullah. Dirinya sudah dibenteng iman. Mana mungkin dia mendahului sesuatu tanpa syariat-Nya. Dia pemalu orangnya. Keteguhannya itu mengagaumkan.
Aku menyangka dia akan elak untuk berkata mengenai lelaki berlawanan jantina. Rupanya, itu tidak benar. Dia sangat terbuka dan sentiasa bermanfaat buat orang lain. Dia pendengar yang baik dan tidak pernah mengelak. Cuma dia lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Dan kata-katanya itu penuh dengan ingatan berguna. Tambahnya, “ana tidak pernah menolak fitrah-Nya.”
Aku menyangka dia seperti itu kerana sendirinya. Rupanya, tidak. Katanya, tarbiyah Islam yang mewarnai kehidupannya. Tarbiyah Islam yang buat dia bahagia. "oh, kerana Islam rupanya."
***
Rupanya, sudah terlalu banyak hati menyangka. Astaghfirullah. Dia memang tidak sempurna. Namun, peribadinya menyempurnakan Islam-Deen tercinta. Indahnya, bagai rama-rama :)
Selamat berjuang dalam medan menuntut ilmu mahupun segala medan hidup anda! Bergembiralah dengan perancangan Allah yang berhikmah.
Jadilah umpama rama-rama itu. Indah tanpa bicara. Qudwah sepanjang masa.
Itu perbezaannya. Anda bukan orang biasa!
Wassalam.
Bumi Allah bumi barakah.

No comments: