Thursday, October 9, 2014

Alam dan taqwa; keterujaanku.

Bismillah

“ Durrah, cuba tengok atas sana”. Jarinya ditunjukkan ke langit meluas.

“ Kau nak tunjuk apa pula kali ini? Langit tersenyum? Bulan berkata-kata atau bintang berkejaran?” Izzah menduga. Mengerti teman seperjuangannya cintakan alam.

Durrah tertawa. Dia menyayangi ukhuwah yang terbina sejak mereka di tahun pertama di universiti.

“ Kau tahu kenapa langit dan kawan-kawannya sangat cantik?” Izzah memulakan bicara.

“Aku suka soalan kau. Sebab ciptaan Tuhan tu banyak ‘ibrah buat penduduk bumi. Untuk kita belajar dan bersyukur. Hah, amacam? Cun tak jawapan aku?” Durrah melihat reaksi Izzah sambil buat muka comel.

Izzah ketawa kecil. Jawapan sahabat baiknya itu terasa bersahaja.

“ Mana ada pendapat salah, cik Durrah. Lagi, kau nak tambah apa?” Izzah bertanya kembali.

“ Aku nak tadah telinga dengar pendapat kau. Cepat cepat.” Durrah tersenyum.

“ Entah. Jawapan aku macam kau mungkin. Cuma, aku rasa Allah sangat banyak suruh kita belajar daripada alam. Gunakan pancaindera kita yang Dia cipta tu. Maksud aku, melihat alam adalah proses pembelajaran yang langsung daripada Allah.” Izzah memuntahkan pendapatnya.
Durrah mengannguk. “ Takde butang like dan share ke? Betul betul, aku suka idea tu. Kiranya macam tengok alam pun boleh dapat banyak manfaat kan. Contohnya, macam bulan nun di atas sana. Tetap patuh pada Allah sambil menerangi makhluk lain.”

Izzah terpesona. Subhanallah, idea kau sangat menusuk jiwa, sahabat. Hati Izzah berkata-kata sambil melihat sisi wajah Durrah. Hingga saat ini, dia sekali lagi bersyukur pada Yang Esa kerana menemukan Durrah dalam hidupnya. Durrah, moga Allah mengurniakan kita kasih umpama Ansar dan Muhajirin.

Bunyi pukulan ombak kuat di pendengaran Izzah. Izzah tersedar. “ Ya Allah, tiap kali aku memandang langit di waktu malam, aku pasti teringat Durrah. Sudah tiga bulan Durrah terbang ke Maghribi menyambung Masternya. Dan tiap kali itu juga, aku teringat akan kata-kata Durrah.”

Kau tahu kenapa alam ini sangat cantik? Untuk kita ambil pengajaran bukan? Ya, betul. Untuk kita belajar daripada alam. Maksudnya? Tidak mungkin alam yang indah ini sekadar fizikalnya yang indah. Buat orang puji-puji semata. Bahkan, bagaimana alam ini patuh pada perintah Tuhan di samping tugas mereka yang tidak henti-henti. Kau lihat bagaimana mereka patuh pada perintah Allah dan seterusnya bermanfaat buat yang lain. Bulan mengeluarkan cahaya sebagai panduan makhluk-makhluk lain dan begitu juga tiap suatu makhluk bermanfaat buat yang lain. 

Subhanallah, hebatnya ciptaan Dia menjadikan sesuatu dengan tidak sia-sia. Begitu juga sebagai seorang hamba kepada Dia, kita seharusnya senantiasa mempelajari apa yang ada di sekeliling kita termasuk darpada dinding, lantai mahupun atap kepada alam ini. Lihatlah dan terokailah alam ciptaan Yang Maha Kuasa ini. Sungguh, tidak Allah jadikan penciptaan-Nya ini tanpa kita merasa apa-apa. Malah, orang beriman sering sahaja merendah diri dan belajar daripada sekelilingnya. Kiranya seorang hamba itu taat pada perintah Allah, dia juga pasti akan memanfaatkan hidupnya pada kebaikan orang lain. Tidak mungkin taat dan taqwa itu tidak menampakkan apa-apa hasil. Mudahnya formulanya. Patuh pada Allah menjadikan kita seorang yang bermanfaat dan senantiasa merendah diri. Lihat sahaja alam yang terbentang luas saujana mata memandang dan nampakkah kita bahawa alam ini menunjukkan ketaatan pada Yang Maha Satu? 

Belajarlah daripada alam dan jadikannya manifestasi menambahkan amal, taqwa dan syukur. Sebagaimana Allah mengingatkan kita dalam surah Al-Mukminun ayat 78 yang berbunyi, “ Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani tetapi sedikit sekali kamu bersyukur.”

Moga kita terus menjadi hamba yang belajar. Lillahi ta’la. Aamin.

 ---

"Tidak kira kita belajar diperingkat apa sekalipun, moga peroleh taqwa"
Itu; mahal untukku.
Mohon doa-doanya diutus,
Hamba Allah.

Wassalam.

Monday, July 14, 2014

Hijab

Bismillah.

Mungkin, orang yang tidak mengerti nikmat puasa menyangka puasa itu melemahkan. Puasa yang tiada daya.

Kerana itu barangkali, Israel saban tahun menggunakan 'alasan' yang sama bagi 'menghadiahkan' roket-roketnya ke bumi yang di diami umat Islam. Ya. Umat Islam yang berpuasa. Kerana sangkaan mereka, puasa itu menbunuh daya. Tidak punya tenaga.

Entah. Apakah mereka tidak lihat sejarah? Apakah mereka tidak mempelajari sejarah? Bahawa medan Raba'ah sekalipun tidak gentar dengan kehadiran Ramadhan. Tidak sama sekali. Juga seerah Badar yang relevan untuk memberikan pengajaran buat mereka yang berfikir.

Dan aku, moga menjadi burung-burung kecil yang bermanfaat. Kerna aku juga punya peranan. Meski kecil meski besar. 

"Kau menyaksikan dan apa yang telah kau perbuat?"
---
Moga Allah mengampuni dosa-dosa aku. Membersihkan diri ini. Agar tiap bait doa untuk ummah ini diterima-Nya. Tidak terhijab dek dosa-dosa kecil apatah lagi besar. Nau'zubillah

Rabbi, terimalah amal-amal kami. Terimalah doa-doa kami. Terus izinkan kami merasai nikmat puasa ini.

Ramadhan dan sepenuh cinta buat Ghazzah, Suriyyah, Misr dan ummah semuanya.
Baiti Jannati.
Nurul Taqwa.

Monday, March 10, 2014

Jumpa

Bismillah.

Dulu, sewaktu kakak itu berpraktikal, aku bertanyakan soalan ini kepadanya.

"Kakak, sudah jumpa mad'u?"

Ternyata, soalan itu menusuk jiwanya dalam.

---

Kini, saat aku berada di dalam 'kasut' itu, soalan yang sama aku tanyakan. Bukan pada orang lain. Bahkan untuk diriku sendiri.

Dan soalan itu bahkan lebih lagi menusuk jiwaku. Mungkin, lebih dalam. Allahurabbi.

Bahawa, alam realiti itu mengejutkan engkau. Meski langkahan lambat, moga, Allah masih tuntun.

Nyata, tiap hari aku bertanyakan soalan yang sama. Menjadi da'ie menuntut aku menonjolkan qudwah. Bukan sekadar untuk manusia. Bahkan, untuk Allah. Berqudwah untuk Allah!

"Sungguh, medan perkataan tidak sama dengan medan khayalan. Medan amal tidak sama dengan medan perkataan. Dan medan jihad tidak sama dengan medan amal" Imam Hassan Al Banna.

Mohon doa. Moga terus thabat!

Wassalam.

Friday, March 7, 2014

Ansar Muhajirin ke?

Bismillah.

Tarik nafas.

(Surah wal 'Asr-Masa)

Ini kisah minggu-minggu lepas. Masa pantas berlalu. Betapa hari-hari yang lepas dilalui dengan sangat mencabar. Cabaran menghabiskan semester akhir di kampus.

Adik-adik bulatan, dakwah dan tarbiyah, pelajaran, thesis, Kauthar, sahabat-sahabat seperjuangan dan banyak lagi.

Moga Allah redha atas tiap-tiap saat melaluinya. Moga tiada saat yang Dia tidak suka.

Menyiapkan thesis yang sangat mencabar.

Mengurus perasaan apabila bakal meninggalkan akhawat dan semua kecintaan di bumi Nilai. Jujurnya, akhawat memang sangat jujur tentang emosi. Hingga dia sangat mudah mengalir air mata tatkala bau-bau perpisahan terbau kuat. Hingga dia sangat menghargai tiap-tiap saat. Jujurnya lagi, aku sendiri menangis untuk perpisahan yang menyakitkan ini. MasyaAllah, kadang aku tidak terjangka akhawat punya sisi-sisi sebegini. Rindu hingga buat dia menangis sedu sedan.

Tangan tidak dilepaskan. Dia memegang tanganku lama. Dan rupanya, dia menangis. Hingga buat aku menangis. (Berjangkit rupanya!)
Kalau bukan kerana Allah yang tolong uruskan perasaan dan perpisahan itu, pasti aku juga lemah menghadapinya.

"Kenapa ya sering sahaja rindu itu menyakitkan?"
"Pasakkan rindu itu kerana Allah. Pastinya ianya sakit. Tetapi ada kasih di hujungnya. Kita berlapang dada. Kita masih boleh berukhuwah. Kita memang sahaja boleh merindui. Bagai Ansar dan Muhajirin barangkali?

Moga terus mencontohi kerinduan Ansar dan Muhajirin.

Rabb, sampaikan rindu pada mereka-meraka yang turut berukhuwwah kerana-Mu.

Ok, fine rindu.

Wassalam,
JB.