Bismillah.
Hujan itu turun tanpa kenal erti penat. Tanpa kenal makna jemu. Mencurahkan air dari sisi langit ke serata alam. Amanah dalam menjalankan aturan Ilahi. Titisan air terus terusan membasahi bumi. Sejuk.
“Wahai air hujan, turunnya engkau kerana ini adalah kehendak-Nya. Maka, tidaklah kami ragu akan perancangan-Nya. Sungguh, Dia Maha Mengetahui akan keadaan dan kemampuan kami”
Maha Pengasih, tika kami sunyi, Kau berikan air hujan sebagai peringatan. Kau biarkan air-air hujan itu turun tanda rahmat-Mu juga kau biarkan air itu turun sebagai ujian bagi mereka yang mampu menghadapinya.
Hujan~Rahmat dan ujian~~
Banjir,
Engkau membawa hikmah yang tersirat,
Meski nyawa dan harta hilang melarat,
Namun,
Engkau tetap datang sebagai peringatan yang tersurat,
Bukti Rabb sangat hebat…
Moga mereka-mereka yang diuji ini akan sentiasa bersabar dan berdoa dengan ujian yang melanda.Allah, mudahkan mereka!
“ Wahai orang yang beriman!, Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnah-Nya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikiam itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” An-Nisa:59
Apa akan terjadi sekiranya pemimpin itu berlaku zalim dan tidak menegakkan kebenaran? Bagaimana hak-hak masyarakat yang dipimpinnya?
Aduhai pemimpin, amanahmu bukan main-main!
Masyarakat bukan mahu pemimpin yang hanya bijak memimpin, namun masyarakat dahaga dengan ketelusan pemimpin untuk meletakkan haq pada tempatnya dan meninggikan syariat di tempat tertinggi.
Sabar
Sabar
Sabar
Dan akhirnya, mereka itu penat dan tidak terdaya bertahan. Jiwa-jiwa tersebut bangkit dari kesabaran yang panjang. Lena yang menyakitkan. Bangun daripada ketidakadilan. Memperjuangkan hak-hak yang diketepikan. Menjunjung syariat yang dipermainkan. Ditunggangi insan-insan bertopeng kepalsuan dan kepuran-puraan.
Aduhai pemimpin, apakah jawapanmu nanti pada hari kebangkitan?
Aduhai pemimpin, lemparkanlah topeng jahiliyah itu. Jiwa-jiwa itu mahukan pemimpin yang berdiri sama tinggi dengan mereka, duduk sama rendah dengan mereka dan memimpin mereka dalam saf lurus yang sama. Bukan mereka yang menjadi musuh dalam senyuman dan gunting dalam ketenangan. Bukan mereka yang memenangkan dalam kehancuran dan bukan mereka yang setia dalam pengkhianatan.
Mereka mahukan keadilan untuk diri mereka. Siapakah yang mahu berikan keadilan itu? Berapa lama lagikah penungguan itu perlu diteruskan? Tidak cukupkah tempoh waktu yang panjang itu? SUDAH! Kami letih dengan kezaliman yang terancang ini. Kami letih dengan pengkhianatan dan kepalsuan ini.
Kami sudah berikan waktu itu. Kami sudah menahan sabar terlalu lama. Malangnya, hasilnya tiada. Mana perginya harga janji-janji yang ditabur? Ahh, semuanya dusta. Semuanya kecewa…
Giliran itu telah tiba. Engkau tidak mampu? Serahkanlah kepada yang mampu. Agar engkau tidak mencengkam jiwa-jiwa di bawahmu. Agar engkau tidak zalim melulu. Agar engkau bisa mengukur baju dengan bijaksana. Kami mahukan pemimpin senang dan susah. Kami mahukan mereka yang mampu bersama-sama menegakkan yang haq. Itu matlamat kami!
Maha Penyayang, tika kami sunyi, Kau berikan kami cubaan ini. Kau uji kami dengan cara yang tidak kami sangka agar kami tidak terbuai dengan indahnya dunia. Agar kami sentiasa bangkit mempertahankan aqidah teguh ini. Agar kami tidak tidur di bawah pemerintahan yang zalim. Agar kami sentiasa peka dengan keadaan ummat dan pemimpin kini.
Mesir Tunisia
Engkau bangkit sudah
Mempertahan hak dengan lelah
Memperjuang agama dengan payah
Mencari adil dengan tabah.
Moga Allah redha.
Mesir Tunisia
Pintu itu sudah terbuka
Membuka ruang membuka jiwa
Memperlihat insan yang rela terluka
Demi melihat pemimpin di jalan-Nya
Bersama membawa Islam tercinta.
Mesir Tunisia,
Hati ini tergerak lagi
Dengan berita pasti ini
Moga ia tidak terus menyepi
Bahkan menjadi permulaan hari.
“Allah, peringatan ini telah datang kepada kami. Moga kami jadikan ia peringatan diri. Bahawa tiada yang mustahil di alam ini dengan kuasa-Mu. Maka, terus kami yakini bahawa Islam akan dijulang tinggi di suatu hari yang pasti.”
“Allah memudahkan dan merahmati mereka yang berjuang di jalan-Nya, insyaAllah”
Wassalam
Selamat pulang bagi mereka.... :)
1 comment:
selamatselamat.
Post a Comment