Thursday, October 28, 2021

Cinta

Bismillah

Barangkali, akan bertanya hingga tidak terkira. Barangkali, akan bertanya hingga lelah jiwa raga.


Moga jika ini kelemahan, Tuhan bantu melaluinya. Tuhan bantu menenangkan rasa-rasa. Kerana akhirnya, kepada-Nya jualah segala bentuk pengabdian dan penyerahan.


Moga jika ini kelompongan hati, Tuhan bantu memenuhinya dan melapangkannya. Moga jika ini ketakutan dan kerisauan, Tuhan bantu memayunginya dengan keamanan.


Benar, Tuhan cukupkan semua rasa-rasa ini, kerana sesungguhnya Kau-lah yang mencukupkan segala yang terbaik buat hamba.


Tuhan berkatilah jiwa-jiwa kami, moga terpelihara daripada segala dosa, noda dan hasad-hasad mata. 


Wassalam,

Seorang suri.


Wednesday, February 17, 2021

Dunia yang sekejap

Bismillah.

Teringat momen ketika berpantang; saat sepasang mata kengantukan di tengah malam bersama anakanda Azam, saya tergerak hati membuka telefon bimbit (hp). Entah kenapa jari lari menuju ikon facebook, klik dan kemudian terpapar perkembangan-perkembangan terkini. Mata saya berhenti membaca satu hantaran (post) daripada kawan yang sangat mengejutkan saya. Tangan saya lantas kesejukan, air liur ibarat tersekat di rongga tekak. Tidak percaya membacanya malah saya membacanya berkali-kali untuk benar-benar pasti. AllahuAkbar, saya terkedu, teringat peristiwa petang itu. 

Lebih kurang 2.30-3.00 petang, sang suami dan anakanda Zayd keluar untuk ke kedai gunting rambut. Katanya ke kedai berhampiran masjid yang tidak jauh dari rumah. Minit-minit berlari sehingga menghampiri angka 4 lebih. "Lama lagi ke depa ni?" Pinggangku sudah mula kelenguhan memangku Azam yang manja petang itu. Saya cuba menghubungi suami melalui Whatsapp, tidak dibaca. Masa terus berlalu, saya masih cuba menahan diri, kerana saya tahu, memang lama juga potong rambut lelaki tapi takkan sampai sejam lebih. Hati saya mula tidak keruan. Saya mula menghubungi suami melalui panggilan telefon ketika itu, namun kecewa kerana tidak berangkat. Beberapa kali mencuba namun masih sepi tidak berbalas. Bertambah debar kerana masih tidak dapat memastikan keadaan mereka. Resah dan mula memikirkan sesuatu yang negatif, jujurnya saya ketakutan. Saya mengalihkan posisi beberapa kali, dari duduk ke bangun begitu juga sebaliknya. Air yang melalui tekak terasa tidak melegakan kerana saya begitu risau dek semua panggilan saya tidak dijawab, Allahu Tuhan bantulah saya. Saya mula memikirkan yang bukan-bukan na'uzubillahi min dzalik. Air mata mengalir, bagaimana jika saya ditinggalkan dua kesayangan saya. Pelbagai soalan terasa pahit untuk dijawab, namun di manakah mereka? Kenapa tak sampai rumah lagi, sedangkan sudah menghampiri jam 5 ketika itu.

Ya, saat itu benar-benar menguji saya, saya risau akan kehilangan. Sedih dan tak mampu berfikir. Doa dan doa semoga Allah pinjamkan lagi mereka untuk saya, insyaAllah. Saya terus memandang pagar rumah, mengharapkan Tuhan mengizinkan lagi saya bertemu suami dan anak. Hinggalah pada akhirnya, pintu pagar rumah terbuka dan mereka; insan-insan kesayangan pulang. Saya sebak TT. Terasa peringatan Tuhan begitu dekat, bahawa semua di dunia ini adalah pinjaman termasuk semua kesayangan di sisi kita. Hargailah sesungguhnya yang terdaya kerana entah bila pinjaman ini akan kembali kepada Tuannya. Bagai diberi peluang demi peluang untuk lebih mengasihani, menghargai dan berbuat baik kepada yang terdekat khususnya.

Kawan saya kehilangan suaminya Allahu inna lillahi wa inna ilaihi rojiun TT. Dan Tuhan masih pinjamkan suami dan anak buat saya, moga kau beringat!

Moga terus cinta, insyaAllah.

Hargailah dunia yang sekejap ini, Puan Nurul! Tuhan, bantulah saya.

Wassalam,
Puchong 2021.

Wednesday, December 2, 2020

Buku: #88 LOVE LIFE

Bismillah

Kata penulis, "U dont need to be perfect".

Tak menyangka saat menelusuri MPH Online, terbeli buku ini. Random sangat, even tak tengok review. Buku ringkas yang penuh berwarna-warni, rasa gembira saja membacanya. Padat dengan ayat-ayat pendek yang memotivasikan diri menjadi yang lebih baik versi diri sendiri. Dan ya, tidak perlu menjadi sesiapa untuk memperbaiki diri sendiri dan menjadi lebih baik. Jadilah diri sendiri, mengutip serpihan-serpihan untuk mencantum dan menghasilkan yang baik. Tidak mesti dan tidak perlu sempurna dalam sebarang perjalanan dalam hidup. Jadilah yang paling baik, versi diri sendiri insyaAllah.

Untuk saya, perjalanan merubah diri menjadi yang lebih baik adalah sangat bermakna; meski kecil hal-hal yang dilakukan. Hargailah usaha kita yang kecil dan ketidaksempurnaan itu kerna apa jua untuk Tuhan, akan menjadi penting dan bermakna insyaAllah 
🍃



Wassalam,
Johor Bahru.



Monday, November 30, 2020

Paling dan Paling

Bismillah.

Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingati-Mu
Rindu pada-Mu
Sentiasa mendambakan
Kasih dan sayang-Mu
Semalam aku bermimpi
Dalam hujan ku berlari
Berlari mencari
Memangil-manggil nama-Mu
Nama-Mu yang sempurna

Kuharap dan kuberdoa
Semoga dapat bersua dengan-Mu

Tiada kata yang dapat ku gambarkan
Perasaan yang ku alami
Cinta ku ini tiada berbelah bagi
Cinta yang suci dan abadi

Apakah aku diterima
Atau kau kan membiarkan saja
Kerana ku berdosa
Jangan biarkan ku terhina
Ku merayu pada-Mu

(Yasin, Rindu Pada-Mu)

Lagu lama ini mendalam juga maksudnya buat saya. Entah sejauh mana kita jauh, tetap di sisi Tuhanlah perasaan yang paling damai. Entah duka, serabut dan segundah apa pun, tetap tempat paling aman adalah dengan memulangkan rasa-rasa itu pada Tuhan. Melalui 2020 yang begitu menguji, moga tidak pernah putus asa, Tuhan; Allah lah tempat kita kembalikan semuanya. Termasuk hal-hal yang begitu sulit untuk diperkatakan. Moga damailah jiwa seorang hamba yang menyerahkan semuanya kepada Dia Yang Satu.  Kasih sayang Tuhan tidak bernoktah (:

Wassalam,
Semua sedang tidur, JB




Wednesday, November 18, 2020

Setia

Bismillah.

Saya mula mengerti bahawa setia tidak semestinya menjanjikan kebersamaan. Ada hal yang menggambarkan dan mengikat setia namun ianya tidak pernah mengikat masing-masing untuk bebas melaksanakan apa yang disuka. Lapang dada.

Bebaslah terus bercinta dengan hormat.

Wassalam,
Johor Bahru