Sunday, March 12, 2023

Mac Nan Istimewa

Bismillah.

Mengimbau memori;

Dulu sebelum ada mind-setting untuk mencari pasangan dan bernikah, sesekali akan terlintas (berangan (? haha)) di fikiran bahawa saya akan cenderung untuk bernikah dengan pak ustaz. Kerana apa? Tentu saja kerana saya merasakan latar belakang pendidikan akan buat saya lebih serasi dengan orang yang berada dalam bidang dan persekitaran yang sama. Sewaktu itu, saya merasakan juga, mungkin agak canggung apabila saya hendak duduk dengan orang yang bukan sealiran belajarnya dengan saya; mungkin tidak sekufu, bagaimana penerimaan dan lain lagi.

Dalam proses memaknai 'ada apa dengan pernikahan', saya teringat juga yang saya bersemangat (ecewah) mendengar perkongsian-perkongsian perkahwinan, walau seingat saya, saya tiada calon lagi hahaha. Yang penting sewaktu itu, saya benar-benar ingin menyiapkan diri semaksima mungkin.

Hinggalah masanya tiba;

Rasa bagai baru semalam menerima 'pertanyaan' seseorang. Bagai baru semalam doa saya dimakbulkan Tuhan; menerima 'pertanyaan' seseorang dengan cara yang paling saya gemari dan dekat di hati. Jujurnya, saya menggeletar menatap nama si empunya diri yang 'bertanya' melalui orang tengah. Bagai tak tertelan air liur di saat itu, saya kaku memproses segala yang baru berlaku. Sejurus solat maghrib, saya masih ingat, saya sujud syukur; saya masih lagi kesejukan; saya merasakan Tuhan benar-benar dekat menjawab doa yang sebenarnya baru saja saya pintakan. Saya merasakan kasihnya Tuhan, dekatkan langkah saya dengan sosok lelaki yang tidak pernah saya sangkakan. Ah, siyes lah dia?

Kini;

Buat lelaki kiriman Tuhan yang saya cintai selepas akad dilafazkan, selamat hari cinta yang ke-6, abang. Meski kebelakangan ini dan juga kadang kedengaran kisah-kisah rumahtangga yang menggusarkan hati, meski kita akan lalui hari-hari esok dengan yang hal yang tidak pasti, moga Allah sentiasa rezekikan kita hidayah dalam berumahtangga, terus memayungi kita dengan aman dan kasih sayang, sentiasa rezekikan kita cinta dalam suka dan duka, menyederhanakan segala rajuk dan salah erti, saling menjadi pasangan yang Tuhan redhai sepanjang hayat kita. Moga kita terus saling menjadi 'kawan baik' yang menghargai segala atas dan bawah, pahit mahupun manis.

Untuk segala ketidaksolehahku (sobsssss), terima kasih masih di sini menemani isterimu memperbaiki diri yang perlahan. Terima kasih atas redhamu miliki seorang suri yang tiada apa-apa. Atas segala kesabaran berhadapan kepeningan seorang isteri dan banyak lagi sisi-sisi daku yang dikau kenali, moga Tuhan berikan syurga buatmu atas banyaknya khidmah baikmu. Moga kita masih berezeki untuk tetap bersama menjadi 'Musa-Harun' yang paling bermakna, moga seorang aktuari pegang tangan ustajah sampai hujung nyawa, aamiin! (;p )

4 Mac 2017 - 4 Mac 2023. Jom mujahdah bina rumah syurga kita insyaAllah (:

 PD, Mac 2023

Nurul cinta Muhammad. Moga Allah cintakan kita juga ^^
Selangor.