Bismillah.
Teringat momen ketika berpantang; saat sepasang mata kengantukan di tengah malam bersama anakanda Azam, saya tergerak hati membuka telefon bimbit (hp). Entah kenapa jari lari menuju ikon facebook, klik dan kemudian terpapar perkembangan-perkembangan terkini. Mata saya berhenti membaca satu hantaran (post) daripada kawan yang sangat mengejutkan saya. Tangan saya lantas kesejukan, air liur ibarat tersekat di rongga tekak. Tidak percaya membacanya malah saya membacanya berkali-kali untuk benar-benar pasti. AllahuAkbar, saya terkedu, teringat peristiwa petang itu.
Lebih kurang 2.30-3.00 petang, sang suami dan anakanda Zayd keluar untuk ke kedai gunting rambut. Katanya ke kedai berhampiran masjid yang tidak jauh dari rumah. Minit-minit berlari sehingga menghampiri angka 4 lebih. "Lama lagi ke depa ni?" Pinggangku sudah mula kelenguhan memangku Azam yang manja petang itu. Saya cuba menghubungi suami melalui Whatsapp, tidak dibaca. Masa terus berlalu, saya masih cuba menahan diri, kerana saya tahu, memang lama juga potong rambut lelaki tapi takkan sampai sejam lebih. Hati saya mula tidak keruan. Saya mula menghubungi suami melalui panggilan telefon ketika itu, namun kecewa kerana tidak berangkat. Beberapa kali mencuba namun masih sepi tidak berbalas. Bertambah debar kerana masih tidak dapat memastikan keadaan mereka. Resah dan mula memikirkan sesuatu yang negatif, jujurnya saya ketakutan. Saya mengalihkan posisi beberapa kali, dari duduk ke bangun begitu juga sebaliknya. Air yang melalui tekak terasa tidak melegakan kerana saya begitu risau dek semua panggilan saya tidak dijawab, Allahu Tuhan bantulah saya. Saya mula memikirkan yang bukan-bukan na'uzubillahi min dzalik. Air mata mengalir, bagaimana jika saya ditinggalkan dua kesayangan saya. Pelbagai soalan terasa pahit untuk dijawab, namun di manakah mereka? Kenapa tak sampai rumah lagi, sedangkan sudah menghampiri jam 5 ketika itu.
Ya, saat itu benar-benar menguji saya, saya risau akan kehilangan. Sedih dan tak mampu berfikir. Doa dan doa semoga Allah pinjamkan lagi mereka untuk saya, insyaAllah. Saya terus memandang pagar rumah, mengharapkan Tuhan mengizinkan lagi saya bertemu suami dan anak. Hinggalah pada akhirnya, pintu pagar rumah terbuka dan mereka; insan-insan kesayangan pulang. Saya sebak TT. Terasa peringatan Tuhan begitu dekat, bahawa semua di dunia ini adalah pinjaman termasuk semua kesayangan di sisi kita. Hargailah sesungguhnya yang terdaya kerana entah bila pinjaman ini akan kembali kepada Tuannya. Bagai diberi peluang demi peluang untuk lebih mengasihani, menghargai dan berbuat baik kepada yang terdekat khususnya.
Kawan saya kehilangan suaminya Allahu inna lillahi wa inna ilaihi rojiun TT. Dan Tuhan masih pinjamkan suami dan anak buat saya, moga kau beringat!
Moga terus cinta, insyaAllah.
Kawan saya kehilangan suaminya Allahu inna lillahi wa inna ilaihi rojiun TT. Dan Tuhan masih pinjamkan suami dan anak buat saya, moga kau beringat!
Moga terus cinta, insyaAllah.
Hargailah dunia yang sekejap ini, Puan Nurul! Tuhan, bantulah saya.
Wassalam,
Puchong 2021.
Puchong 2021.