Monday, June 6, 2016

Kembali

Bismillah.

"Terimalah daku
Tuhanku yang penyayang
Kiranya ini sujud terakhir
Ku pulang mengabdi diri"
(Kembali, Raqib Majid)

Beberapa minggu lalu, saya tidak sengaja menyoroti satu tulisan di IIUM Confession yang bagi saya; begitu mengesani. Dia; seorang perempuan ini telah bertaubat daripada dosa dosanya. Dia yang dulu telah berzina kemudian bertaubat. Menjadi perempuan sepertimana suruhan Tuhan. Kembali pada Allah dengan hati yang mengharap ampunan Tuhan Yang Maha Mengampuni. Lalu, perempuan ini berdoa agar dia tidak lagi jatuh ke lembah maksiat. Dia pohon agar biarlah lelaki yang hadir selepas ini, benar benar buatnya; suami. Tidak lama selepas itu, dia dirisik seorang lelaki yang menurutnya soleh. Sebelum membuat sebarang keputusan, perempuan ini telah berterus terang mengenai kondisinya yang terdahulu. Bahawa maruahnya pernah ternoda suatu ketika dulu. Bahawa dia perempuan yang pernah melakukan silap namun telah menyesal. Sang perempuan tenang saja memberikan masa untuk lelaki itu berfikir semasak masaknya. Dia menerima apa jua keputusannya nanti. Iyalah, ini soal masa depan dan sampai akhir hayat. Lantas, lelaki ini mengambil masa dua bulan (tidak silap saya) untuk berfikir. Saya yang ketika itu membaca berdebar juga menanti baris baris tulisan seterusnya.

Cuba teka, apakah jawapannya?

Jawapannya, ya alhamdulillah, lelaki itu menerima. Fuh, saya tersenyum tumpang gembira dan syukur.

Saya si pembaca merasakan, oh tamatlah kisah itu. Rupanya, saya salah sama sekali. Setelah berkahwin, perempuan itu menyangka bahawa lelaki yang bergelar suaminya benar benar pelindung. Tidak. Hujan di tengah hari. 

Perkahwinan baru bermula dan tidak semena mena lelaki (suami) yang katanya bersedia menerima perempuan itu bertukar menjadi yang tidak diduga. Dalam dialog dialog antara mereka di awal perkahwinan, suami itu sudah mula menunjukkan rupa sebenar. Antara yang diceritakan, yang paling saya ingat;

"awak dulu perempuan kotor dan jijik."

Astaghfirullah. Benarkah tiada cinta yang menyubur dan peluang yang dihamparkan? Yang ada, hanyalah ungkitan sejarah silam dan ulang ulangan kata yang menyakitkan.

Entah, saya sebak membaca itu. Air mata hampir gugur membaca tutur kata lelaki itu. Ah, sampainya hati kau menyakiti!

Saya terdiam memikirkan.

Apakah seorang perempuan itu berharga hanya kerana dia masih perawan saat dinikahi? Ya, saya tahu ianya soalan dan hal penting mungkin bagi semua orang terutamanya lelaki dan keluarganya. Cuma adakah hanya itu sahaja? Sungguh, saya sedih sekali sekiranya masyarakat kita menganggap dan mempercayai nilai seorang perempuan hanya sekadar itu. Hanya sekadar untuk kepentingan nafsu dan ego. Hanya bagai objek atau tempat yang tidak dihargai. Yang boleh dipanggil dengan lembut saat diperlukan dan dibuang hina saat tidak berkepentingan. Dilayan bagai tidak memiliki perasaan.

Adakah hanya kerana dia tidak lagi perawan, maka dia kekal pendosa yang tercalit dosa ditubuhnya? Benarkah? Adakah lelaki tidak berbuat dosa meskipun bukan zina? Bagaimana nilaian taubat itu di mata kita? Kita pun tidak tahu ukuran dosa pahala kita, saudara. Tidak tahu bagaimana istighfar dan taubat kita lantas bagaimana kita boleh meletak nilaian itu pada perempuan yang pernah berzina namun telah bertaubat? Adakah kerana dosa yang kita berbuat berbeza beza dan perempuan lebih dipandang hina?

Allahu, moga Allah limpahkan kekuatan buat si isteri dan memberi hidayah buat suaminya. 

Sebuah catatan penting buat saya, bahawa Nurul Akmal;

Setiap manusia itu melakukan kesilapan dan ya, kalau pun sudah dia melakukan kesalahan itu, apakah yang saya harus lakukan? Berilah dia peluang, nurul. Berilah dia peluang sebagaimana diri kita sendiri minta diberikan peluang. Berilah dia peluang kembali pada Tuhan. Berilah dia peluang untuk bertaubat. Kerana kita tidak pernah tahu bagaimana dia di sisi Tuhan, maka berilah dia galakan dan semangat untuk terus mendekat dengan Tuhan. Moga, kau sendiri lebih mendekat dengan Tuhan.

Jangan ungkit kemungkaran lamanya, nurul. Mungkin sahaja itu satu kepedihan buatnya. Boleh kah kau nurul belajar melupakannya? Dan mungkin saat kau menyebutnya nurul, ianya akan menyakitinya. Mari nurul, lupakan kesalahan aib orang.

Nurul, kalau kau tidak bersedia menerimanya sesungguhnya dan setulusnya, janganlah kau mendekatinya. Biarkanlah dia dulu atau biarkan sahaja. Khuatir, kau tidak menghargainya. Menyebut kembali dosa dosa lamanya. Nurul, terimalah mereka dan ikhlaslah. Dan ikhlas bermakna kau sungguh sungguh menerima.

Hargailah wanita di sekelilingmu, nurul. Mereka memiliki 1000 kekuatan jiwa kurniaan Tuhan. Bahawa kita bukan sekadar pasangan untuk mendapatkan zuriat. Kita bukan untuk dibanggakan hanya kerana kita masih perawan. Kita adalah ciptaan Tuhan yang taqwa adalah ukuran. Kita adalah wanita luar biasa yang memiliki kekuatan yang berbeza. Kita adalah teman setia yang membahagiakan, yang Tuhan merupakan sandaran tiada tandingan, yang air mata bukan tanda kelemahan. Kita adalah perempuan yang membina peradaban dan generasi hadapan. Paling penting, kita adalah hamba Tuhan yang sering dan selalu saja memiliki peluang peluang memperbaiki diri. Jangan lepaskan perempuan yang berharga dan bersiap untukmu, kawan!

Nurul Akmal;
Ramadhan comes to change your (our) hearts. 

Terakhir, moga Ramadhan menjadikan kita lebih banyak memberi ruang dan peluang untuk manusia kembali pada Tuhan biizdnillah. 

Ampuni kami Tuhan. Moga termasuk dalam golongan awwab jom.

Wassalam, 
Johor Bahru.