Showing posts with label islah nafs. Show all posts
Showing posts with label islah nafs. Show all posts

Friday, August 23, 2019

Kalah-Menang-Kalah-Menang

Bismillah.

Bukan sekali saya minta Allah bantu saya agar menjadi yang semampunya. Benar, saya percaya bukan sempurna yang Tuhan pandang dan peduli. Bukan yang di luar keupayaan saya jua yang diminta Tuhan. Bahkan usaha yang disertakan mujahadah tinggi. Kan, usaha tak ni?

Bukan mudah untuk saya mengurus hal ini. Tiap kali terlajak pasti tangis menyesal. Tuhan, pandulah saya!

Buat saya, bermujahadahlah! Moga ini amal-amal yang diangkat, biizdnillah.

Menang untuk Tuhan, jom Nurul Akmal,
Puchong

Sunday, February 26, 2017

Tujuan asal kita

Bismillah.

Betapa besar pun pemberian dan penghargaan mahupun apa jua harapan kita pada manusia lain, ianya bukan untuk mendapatkan pulangan yang sama bukan? Memberi kerna memang kita mahu memberi dan ianya sebahagiaan akhlak kita, benar kan? Walau mungkin sisi sisi manuasiawimu minta dikenang, namun Allah kan tujuan asal kita? Tuhan, ingatkan daku.

Teruknya perangai kalau dengar tazkirah kemudian salah kan orang, "macam orang tu." Astagfirullah, nurul. Dengar tazkirah untuk memperbaiki dirimu, nurul. Bukan ingat aib orang, kan. Moga Allah pandu, biizdnillah.

Dan ya, Allah tujuan kita, insyaAllah.

Wassalam,
JB.

Saturday, February 25, 2017

Lorong-lorong kecil yang sederhana

Bismillah.

Kesempatan tidak datang selalu.

Pagi itu, sewaktu mencuci pakaian di ruang basuhan mahallah (kolej) dan tangan masih licin dipenuhi sabun, saya terlihat plastik yang berterbangan di tiup angin. "Eh, plastik ni datang dari mana pula?". Oleh kerana tangan masih dipenuhi sabun, saya menangguhkan hasrat mengutip dan membuang plastik berkenaan walau berpeluang. Fikir saya, "sekejap lagilah, lepas habis basuh baju ni." Saya kembali menyambung fokus pada basuhan saya sehinggalah saya berpaling lagi kepada plastik tersebut, namun hampa. Plastik itu hilang sekelip mata dan saya pun tidak tahu siapakah gerangan yang mengutip plastik tersebut.

Entah, saya macam terkilan pula. Kerana saya merasakan, sayalah mungkin orang pertama yang melihat sampah itu berterbangan. Merasakan bahawa sayalah yang Allah telah beri peluang untuk berbuat kebajikan namun dek kerana menangguhkan hasrat meski boleh dimaafkan alasannya. Saya terdiam seketika memikirkan dan mengaitkan, "Agaknya, beginilah perasaan tatkala bila Allah sudah beri peluang, kemudian kita abaikan. Dan akhirnya, tiada lagi peluang itu lantas terkilan. Saya bagai membuat salah satu kesimpulan, bahawa beginikah Allah melorongkan seseorang hamba dan mengilhamkan dia berbuat baik. Sehingga begitu terpilih, masyaAllah! Lalu jika dia menangguhkan walau sekejap cuma dan peluang itu tiada, dia menyesal lalu berkata, "kenapa ya aku tak mampu berbuat yang lebih baik?"

Moga selalu menghargai peluang peluang yang ada; peluang berakhlak dengan lebih baik, peluang menghargai ramai orang, peluang memperbaiki diri dan banyak lagi. Dan Tuhan,  "ini juga mujahadah dan jalan jalan beribadah kepada-Mu, bukan?"

Wassalam,
JB.

Sunday, October 30, 2016

Sebuah kehidupan yang lebih besar

Bismillah.

Kemuncak hari semalam sepanjang saya ke Seminar Bahtera Cinta dan kemudian ke katibah adalah pengisian malam itu yang menyentuh mengenai tadhiyyah (pengorbanan).

"Kenapa setelah faham, ikhlas dan amal, kita tidak mampu lagi melakukan perubahan? Adakah kerna masih kurang pengorbanan, wahai Tuhan? TT"

"Adakah kerna perngorbanan yang belum sungguh sungguh? Dan dalam kehidupan kita yang sekejap ini, yang paling saya takuti, adakah saya tidak berkorban kerana cinta saya pada Allah belum sempurna dan sungguh sungguh?"

Saya menahan sebak. Allahu Allah.

Moga cinta untuk beramal terus hidup. Kerna benar sama sekali, semangat untuk beramal itu lahir daripada cinta pada Allah. Makin cinta dan makin berkorban.

Dan Tuhan, nak bawa amal outstanding mana untuk menghadap Mu nanti?

Akhirnya; sebuah kehidupan yang lebih besar; syurga. Syurga lebih besar daripada diri kita, harta kita, masa kita dan segala galanya.

Kuat dan pandulah, kami Rabb!

Wassalam,
Gombak.

Wednesday, October 26, 2016

Saling rahsia

Bismillah.

Betapa begitu baik Allah pada saya yang mengizinkan pertemuan pertemuan yang bermakna. Yang saya begitu menghargai setiap satunya. Betapa Allah begitu pemurah pada saya yang merezkikan rezeki terbaik dan tepat buat saya. Yang saya sama sekali begitu mensyukurinya. Betapa Allah sangat kasih akan saya yang membuka lebih luas jalan jalan kebaikan dan pintu pintu kebahagiaan buat saya. Yang secara tidak langsung mengajari saya hal yang banyak. Dan betapa Maha Hebatnya Allah yang sentiasa dekat dengan saya, mendengar segala yang saya tuturkan dalam senyap mahupun terang. Dalam semua hal yang tiap satunya saya butuhkan Tuhan, dan sungguh. Allah menjawabnya dengan cara yang tidak tersangka dan luar biasa.

Moga Allah terus merezkikan yang terbaik, sentiasa memimpin juga meluruskan dan moga perjalanan perjalanan ini; untuk Allah atas segalanya.

Moga usaha, doa dan tawakkal juga sentiasa menumbuh. Menumbuh paling subur, biizdnillah!

Redhai, Tuhan.

Wassalam,
Johor Bahru.

Tuesday, September 6, 2016

Meneladani air

Bismillah.

"Look at the things around you now. Which one has the strongest quality of resistance, that is survive in spite of any situation?"
"It is water, son." 
"Why?"
"Because water is transparent yet unpredictable. Simply shaken, but undivided.The sea, for example, looks really calm on the surface, at times, so immaculate like it conceals nothing. Only by delving into its depths, one discovers its enthralling secrets like enormous treasures, and even have grave, mysterious creatures the eyes have never seen before. It may look friendly and welcoming, but when the time comes, it can surge with rage and cause great damage to the earth..." 
"So, son. You should always be like water. Stay strong."

(page 301, Bits of Heaven, Aishah Madadiy)

Dan begitu juga pesan kawan baik, bahawa belajarlah menjinakkan laut kerana titipannya;

" A smooth sea never made a skilled sailor".

Untuk September 2016 dan bulan bulan seterusnya yang mungkin berlalu sangat pantas, moga Allah terus membimbing saya (kita) menjadi yang terbaik. Seperti air barangkali. Mungkin sekuat air, mungkin setenang air, mungkin seperahsia air, mungkin seindah air, mungkin setaat air dan apa saja sisi sisi alam yang kita peroleh banyak manfaat daripadanya. Ah, kau bisa meneladani apa saja dong!

Oh ya, semester akhir di Gombak ini insyaAllah, moga saya terus menghargai nikmat Tuhan yang banyak sekali, yelah nanti rindu eheh ;p

Moga Allah mudahkan kita (;

Gombak,
Wassalam.


Monday, June 6, 2016

Kembali

Bismillah.

"Terimalah daku
Tuhanku yang penyayang
Kiranya ini sujud terakhir
Ku pulang mengabdi diri"
(Kembali, Raqib Majid)

Beberapa minggu lalu, saya tidak sengaja menyoroti satu tulisan di IIUM Confession yang bagi saya; begitu mengesani. Dia; seorang perempuan ini telah bertaubat daripada dosa dosanya. Dia yang dulu telah berzina kemudian bertaubat. Menjadi perempuan sepertimana suruhan Tuhan. Kembali pada Allah dengan hati yang mengharap ampunan Tuhan Yang Maha Mengampuni. Lalu, perempuan ini berdoa agar dia tidak lagi jatuh ke lembah maksiat. Dia pohon agar biarlah lelaki yang hadir selepas ini, benar benar buatnya; suami. Tidak lama selepas itu, dia dirisik seorang lelaki yang menurutnya soleh. Sebelum membuat sebarang keputusan, perempuan ini telah berterus terang mengenai kondisinya yang terdahulu. Bahawa maruahnya pernah ternoda suatu ketika dulu. Bahawa dia perempuan yang pernah melakukan silap namun telah menyesal. Sang perempuan tenang saja memberikan masa untuk lelaki itu berfikir semasak masaknya. Dia menerima apa jua keputusannya nanti. Iyalah, ini soal masa depan dan sampai akhir hayat. Lantas, lelaki ini mengambil masa dua bulan (tidak silap saya) untuk berfikir. Saya yang ketika itu membaca berdebar juga menanti baris baris tulisan seterusnya.

Cuba teka, apakah jawapannya?

Jawapannya, ya alhamdulillah, lelaki itu menerima. Fuh, saya tersenyum tumpang gembira dan syukur.

Saya si pembaca merasakan, oh tamatlah kisah itu. Rupanya, saya salah sama sekali. Setelah berkahwin, perempuan itu menyangka bahawa lelaki yang bergelar suaminya benar benar pelindung. Tidak. Hujan di tengah hari. 

Perkahwinan baru bermula dan tidak semena mena lelaki (suami) yang katanya bersedia menerima perempuan itu bertukar menjadi yang tidak diduga. Dalam dialog dialog antara mereka di awal perkahwinan, suami itu sudah mula menunjukkan rupa sebenar. Antara yang diceritakan, yang paling saya ingat;

"awak dulu perempuan kotor dan jijik."

Astaghfirullah. Benarkah tiada cinta yang menyubur dan peluang yang dihamparkan? Yang ada, hanyalah ungkitan sejarah silam dan ulang ulangan kata yang menyakitkan.

Entah, saya sebak membaca itu. Air mata hampir gugur membaca tutur kata lelaki itu. Ah, sampainya hati kau menyakiti!

Saya terdiam memikirkan.

Apakah seorang perempuan itu berharga hanya kerana dia masih perawan saat dinikahi? Ya, saya tahu ianya soalan dan hal penting mungkin bagi semua orang terutamanya lelaki dan keluarganya. Cuma adakah hanya itu sahaja? Sungguh, saya sedih sekali sekiranya masyarakat kita menganggap dan mempercayai nilai seorang perempuan hanya sekadar itu. Hanya sekadar untuk kepentingan nafsu dan ego. Hanya bagai objek atau tempat yang tidak dihargai. Yang boleh dipanggil dengan lembut saat diperlukan dan dibuang hina saat tidak berkepentingan. Dilayan bagai tidak memiliki perasaan.

Adakah hanya kerana dia tidak lagi perawan, maka dia kekal pendosa yang tercalit dosa ditubuhnya? Benarkah? Adakah lelaki tidak berbuat dosa meskipun bukan zina? Bagaimana nilaian taubat itu di mata kita? Kita pun tidak tahu ukuran dosa pahala kita, saudara. Tidak tahu bagaimana istighfar dan taubat kita lantas bagaimana kita boleh meletak nilaian itu pada perempuan yang pernah berzina namun telah bertaubat? Adakah kerana dosa yang kita berbuat berbeza beza dan perempuan lebih dipandang hina?

Allahu, moga Allah limpahkan kekuatan buat si isteri dan memberi hidayah buat suaminya. 

Sebuah catatan penting buat saya, bahawa Nurul Akmal;

Setiap manusia itu melakukan kesilapan dan ya, kalau pun sudah dia melakukan kesalahan itu, apakah yang saya harus lakukan? Berilah dia peluang, nurul. Berilah dia peluang sebagaimana diri kita sendiri minta diberikan peluang. Berilah dia peluang kembali pada Tuhan. Berilah dia peluang untuk bertaubat. Kerana kita tidak pernah tahu bagaimana dia di sisi Tuhan, maka berilah dia galakan dan semangat untuk terus mendekat dengan Tuhan. Moga, kau sendiri lebih mendekat dengan Tuhan.

Jangan ungkit kemungkaran lamanya, nurul. Mungkin sahaja itu satu kepedihan buatnya. Boleh kah kau nurul belajar melupakannya? Dan mungkin saat kau menyebutnya nurul, ianya akan menyakitinya. Mari nurul, lupakan kesalahan aib orang.

Nurul, kalau kau tidak bersedia menerimanya sesungguhnya dan setulusnya, janganlah kau mendekatinya. Biarkanlah dia dulu atau biarkan sahaja. Khuatir, kau tidak menghargainya. Menyebut kembali dosa dosa lamanya. Nurul, terimalah mereka dan ikhlaslah. Dan ikhlas bermakna kau sungguh sungguh menerima.

Hargailah wanita di sekelilingmu, nurul. Mereka memiliki 1000 kekuatan jiwa kurniaan Tuhan. Bahawa kita bukan sekadar pasangan untuk mendapatkan zuriat. Kita bukan untuk dibanggakan hanya kerana kita masih perawan. Kita adalah ciptaan Tuhan yang taqwa adalah ukuran. Kita adalah wanita luar biasa yang memiliki kekuatan yang berbeza. Kita adalah teman setia yang membahagiakan, yang Tuhan merupakan sandaran tiada tandingan, yang air mata bukan tanda kelemahan. Kita adalah perempuan yang membina peradaban dan generasi hadapan. Paling penting, kita adalah hamba Tuhan yang sering dan selalu saja memiliki peluang peluang memperbaiki diri. Jangan lepaskan perempuan yang berharga dan bersiap untukmu, kawan!

Nurul Akmal;
Ramadhan comes to change your (our) hearts. 

Terakhir, moga Ramadhan menjadikan kita lebih banyak memberi ruang dan peluang untuk manusia kembali pada Tuhan biizdnillah. 

Ampuni kami Tuhan. Moga termasuk dalam golongan awwab jom.

Wassalam, 
Johor Bahru.

Sunday, May 29, 2016

Takut

Bismillah.

"Akak, cuaklah exam taalil qias ni."

"Kmal takut sebab kmal target A. Biasanya macam tu lah. insyaAllah, you can do it."

Dan di suatu hari sewaktu menyelak helaian nota dan terjumpa catatan kecil;

"Tamak. Tamaklah dalam memohon ampun pada Allah."

Entah apa syarahan Dr Hassan ketika itu hingga saya mencatatkan sebaris peringatan itu di atas buku nota. Saya percaya, ilham ilham Allah selalu saja datang pada waktu tidak terduga. Paling banyak misalnya ketika sedang mendengar (;

Saya berbisik sendiri;

"Dengan Allah, target A jugakkah, nurul?"

Ampuni aku (kami), Tuhan, luruskanlah kami dan rezkikanlah kami dengan Ramadhan TT.

Wassalam,
Gombak.

Thursday, May 26, 2016

Masih

Bismillah.

Ramadhan akan tiba. Dan kita masih seperti apa?
اللهم بلغنا رمضان  

Wassalam.



Wednesday, May 18, 2016

Sebuah entry yang tertangguh dan refleksi (lagi) buat perempuan dua lima

Bismillah.

satu.


حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِى سَعِيدُ بْنُ أَبِى سَعِيدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ : تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
رواه بخاري 5090


Sewaktu kelas hadis dan kami membicarakan sebuah hadis berkaitan kriteria kriteria calon pilihan hidup, pensyarah kami secara rawak bertanyakan kepada beberapa orang pelajar lelaki tentang kriteria pilihan mereka. Sekiranya diberi empat pilihan, yang manakah yang menjadi pilihan mereka. Antara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kelas sunyi menunggu jawapan daripada pelajar lelaki pertama.

"Kecantikan." kata lelaki itu.

"Kalau boleh, semua." lelaki seterusnya menjawab.

Saya senyum. Saya akui semua manusia sangat menyukai kecantikan. Bahkan Allah juga sangat sukakannya. Percayalah, fitrah manusia sentiasa mendorong kita untuk memilih yang menyamankan mata dan indah dipandang. Namun dalam diam, saya sendiri bermuhasabah petang itu. Tentang bagaimana janji ar Rasul saw tentang calon pilihan hidup ini. Bagaimana Baginda secara serius telah menyarankan sesuatu di hujung hadis itu. Saranan yang Baginda tidak katakan di kriteria yang lain melainkan kriteria "agamanya". Ya, saya juga mengambil intipati hadis ini sebagai saya seorang perempuan. Betapa Baginda mengerti!

Hadis itu mengingatkan saya bahawa Allah pernah mengatakan bahawa taqwa adalah nilaian dan ukuran manusia di sisi Allah (49:13). Menjadi yang terbaik dalam pandangan Allah bukan sekadar untuk kepentingan individu; hamba dan Tuhan. Bukan sekadar peribadi sendiri dan tidak mengesani hal lain. Bahkan, menjadi yang bersungguh sungguh di sisi Allah adalah kerana, manusia yang komited pada agama bakal mewarnai kehidupan di tangga tangga kehidupan seterusnya khususnya perkahwinan (dalam konteks ini) dan mencorak perjalanannya insyaAllah. Bukan pada harta, keturunan dan paras rupa. Saya akur pada itu. Saya akur bahawa aspek agama bukan untuk sendiri sendiri, namun kedekatan dan ketaatan pada Allah telah menjadi kriteria utama dan saranan Nabi saw dalam pemilihan calon hidup kerana bahkan Baginda mengerti untuk diri sendiri sahaja, taqwa adalah yang diutama, apatah lagi nak memilih pasangan dan membina keluarga. Kita mahu keluarga yang diberkati, cita citanya, insyaAllah kan?

Dan saya percaya, definisi cantik itu luas. Terpulang kepada siapa yang memberi makna dan menilainya. Semua makhluk Allah itu, indah bukan? Cuma yang benar benar menenteramkan dan menjadi qurratu a'yun (penyejuk mata) dan tentu jiwa itu biarlah yang terpilih. Cantik luarannya sahajakah? Bagaimana definisi cantik saat dia muda dan punya segalanya. Atau berubahkah hati saat dia menua. Itu semua terpulang kepada kita. Kerana akhirnya, kita yang memilih dan bertanggungjawab pada pilihan kita, kan?

dua.

Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah telah rezkikan, hingga saya masih mampu bernafas di bumi Tuhan pada usia 25. Terasa begitu janggal menyebutnya. "Eh semalam macam baru habis form 5" ;p. Dan begitulah masa yang telah berlalu. Banyak benar hal yang saya mahu muhasabahkan di usia yang makin meningkat. Masih terngiang ngiang tafsir surah al 'asr tempoh hari. Betapa saya merefleksi diri di angka dua lima ini, betapa banyak kerugian yang telah saya lakukan. Astaghfirullah TT. Betapa banyak masa yang sia sia. Banyak juga yang saya boleh perbaiki agar tidak merugi. Masa. Itulah yang saya tidak boleh dapatkannya kembali. Begitu banyak masa yang kita miliki dan yang telah berlalu namun tidak bermanfaat. Inilah. Inilah antara kerugian besar bagi seorang saya. Moga muhasabah ini sentiasa menjadikan kita lebih baik ya, insyaAllah.

tiga.

Dunia dan tarikannya. Saya ada saja bercadang untuk menghentikan akaun instagram dan twitter saya (atau fb juga? ermmm). Entah, saya merasakan bahawa tarikan media sosial begitu kuat untuk saya. Dari satu halaman ke satu halaman yang lain. Melihat itu dan ini. Sehinggalah saya sedar dan jujur menyedari bahawa saya seakan akan terikat dengan akaun akaun itu. Untuk manfaatkan ya? Betul ke saya mampu? Luruskah niat saya itu apabila tumpuan saya kadang dicuri. Ah, betapa saya serius memikirkan ini. Serius, saya penat. Penat untuk terikat dengan hal yang saya rasa sederhana manfaatnya namun memberi kesan untuk jiwa. Yang paling sedih adalah; apakah saya begitu banyak masa (rupanya)? Alahai nurul, selamat merefleksi diri dan berubah. Ramadhan nak datang ni!

empat.

Dan lagi, saya melihat lambakan mutabaah amal yang pelbagai. Saya merasakannya begitu menarik. Namun satu hal yang saya perasan tentang saya, saya mula menyoalkan adakah target target ibadah yang dilakukan hanya sekadar menjadi ritual aktiviti harian dan di atas kertas. Benarkah? Adakah ianya sasaran yang tidak memberi makna. Kosong tanpa jiwa merasakan apa apa. Sepi dan kering tidak membasahkan iman. Sekadar penyedap hati kerana tercapainya target target yang disasarkan. Tipu belaka. Entah, sudah tibanya untuk saya kembali memikirkan. Adakah apa yang saya lakukan ini benar benar diresapi hati. Benar benar buat jiwa jadi tawaduk dan sungguh sungguh membawa saya kepada Allah sehingga anggota badan, pancaindera mahupun hati saya merasai suatu tenaga yang luar biasa. Sehingga kesan merasai kedekatan dengan Allah buat saya menjadi yang lebih baik dengan manusia, buat saya bersungguh sungguh dengan apa yang lakukan. Itu. Itulah rasa yang buat saya refleksi. Menghargai sebuah rasa. Usahakanlah, nurul. Moga jumpa apa yang hilang itu, biizdnillah!

lima.

Jalan yang saya (kita) impikan; jalan yang dilimpahi keberkatan dan keredhaan Tuhan. Adakah saya mampu menjadikannya kenyataan atau sekadar cita cita yang tidak diusahakan? Dengan kekhilafan diri yang sekadar beriya iya mengimpikannya namun mengulang ulang hal yang sama, oh bagaimanakah ini? TT. Maafkan dan ampuni saya Tuhan, kerana masih lompong dan gagal dalam mengotakan janji. Masih tidak beramal dan hanya sekadar banyak bercakap. Ah, pedihnya untuk saya! Moga Allah mengampuni saya, terus memberkati dan memudahkan urusan urusan ini. Untuk kesekalian kali, saya masih bercita cita hal yang sama. Moga Allah rezkikan yang paling baik, paling berkah, manis dan menenangkan insyaAllah. Jom usaha!

enam.

Akhirnya, sebelum sampai ke Ramadhan insyaAllah (Allah, sampaikanlah kami), sekadar sebuah lagi refleksi untuk saya, target apakah di bulan syaaban ini? Jangan tangguh kebaikan, nurul. Nanti merugi. Moga kita tidak merugi, walau sebelum Ramadhan tiba insyaAllah.

Ok, panjang rupanya. Allah, berkati kami dan bantu kami dalam urusan urusan kami.

Why so serious? Senyum sikit dengan Allah (;

Wassalam,
Gombak.

Monday, May 2, 2016

#peopleofrejab (ii) dan refleksi bulan mei

Bismillah.

satu.

Saya yang kebiasaan memilih gerabak lrt yang paling depan dan memilih tempat yang paling tepi tatkala keluar bersendirian meneruskan kebiasaan itu Jumaat lalu. Saya akur bahawa saya berdepan dengan pelbagai cabaran dan kerisauan kiranya keluar berseorangan. Namun saya juga maklum bahawa saya tidak mampu untuk mencari teman dalam segenap hal ketika berpergian melainkan dua makhluk di kanan dan kiri yang mencatat. Satu hal yang saya sedar akan diri bahawa saya berani bersendirian keluar sebegini setelah izin diperoleh dan merancang perjalanan dengan baik daripada memandu kereta. Ya, itulah ketakutan seorang nurul. (Bajet berdikari lah sangattt ;p)

Perjalanan saya petang itu baru bermula. Saya membalas beberapa WhatsApp penting sebelum berniat menghabiskan bacaan tilawah yang belum selesai. Seorang saudari yang saya kira juga dari uia secara perlahan bertanyakan pada saya soalan,

"sister ok ke duduk sini seorang? saya nak keluar sekejap lagi." 

Saya sedikit terkejut dengan soalan yang ditanyakan namun gembira dan syukur dengan keprihatinannya. Baru saya menyedari, akan tiada perempuan yang duduk berhampiran saya melainkan beberapa lelaki selepas saudari ini keluar nanti. Saya risau juga kerana selalunya memang akan ramai perempuan yang memilih untuk berada di gerabak hujung namun tidak hari ini. 

"oh, ok insyaAllah. terima kasih."

Saya berfikir untuk mencari tempat lain nanti. Saya menyedari akan banyak mata yang memandang nanti tatkala saya berseorangan dan mana mungkin saya menutup pandangan mereka. Maka, menjaga diri sebaik baiknya daripada menjadi tempat tumpuan pandangan lelaki mahupun menjadi tumpuan ketika berseorangan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang perempuan mukminah insyaAllah. Bukan sekadar pakaian, hijab mahupun akhlak, namun menjaga diri supaya keluar daripada peluang peluang mereka melihat dan memerhati. Terhindar fitnah, saya kira. Sekurang kurangnya, saya fikir saya perlu sangat berusaha menjaga diri tatkala keluar berpergian seorang diri. Aurat dan maruah saya adalah tanggungjawab saya, insyaAllah. Itu. Itu janji saya untuk memelihara diri walau di mana jua. Moga Allah terus melindungi dan memberikan basirah-Nya untuk saya (kita), sentiasa insyaAllah.

Teruntuk sister itu, terima kasih kerana prihatin dan bantu saya menjaga diri. Terima kasih juga untuk yang sentiasa mendoakan dan mengambil tahu.

dua.

"akmal, nti nak beli buku apa? nak tengok list."

Musim pesta buku. Dan begitu banyak buku buku yang menjadi idaman, maka seharusnya buku menjadikan kita seperti apa?

Mencabar bukan?

tiga.

Syukur diberi peluang mendengar dekat perkongsian Ustaz Salim A.Fillah.

"berkah itu tentang rasa."

"berkah itu rezeki meski hanya kemampuan bertahajjud."

Dan ya, saya mengimpikan keberkahan dalam apa jua urusan urusan hidup ini dan saya tahu, saya perlu mengusahakan keberkahan itu. jom bareng insyaAllah!"

empat.



hai perempuan mei, moga jaga diri dan sederhana hingga menang ya, biizdnillah.

lima.

Moga berezki berjumpa Ramadhan. Erm, sudah lama ke tidak menangis sewaktu berdekat dekat menelusuri bacaan bacaan Quran dan maknanya? Bila ya nurul kali terakhir itu?

Moga terus panjang panjangkan doa. Sehingga doa itu yang menjadi kecintaan daripada hasil doa.

Jom terus doa (:

Wassalam,
Johor Bahru.

Friday, April 22, 2016

#peopleofrejab

Bismillah.

Malam itu sewaktu menunggu pesan makanan di kafe, saya bercita cita membaca sedikit bacaan yang saya bawa. Baru hendak membukanya, levelmate mahallah saya, yang berasal dari Bangladesh menegur saya. Dia yang kelihatan sentiasa ceria duduk di hadapan saya. Kami berbual panjang mengenai pengalamannya yang pertama kali di Malaysia, bidang pengajian yang dia ambil dan negaranya. Sungguh, menarik juga Bangladesh ni!

Di atas meja, kelihatan sebuah tupperware yang berisi sesuatu. Saya tanyakan kepadanya, apakah ini. Dengan gembira, dia bercerita tentang apa yang saya tanyakan itu. Ianya adalah sejenis kuih tradisional Bangladesh. Dibawa oleh keluarga yang datang menziarahinya. Katanya, kuih tersebut sangat sedap tapi sukar untuk dibuat. Dia tidak kekok bercerita serba sedikit cara pembuatan kuih itu. Tambahnya lagi, "saya nak bagi awak juga. tapi nanti ya." Begitulah kesungguhannya.

"Awak boleh tolong saya?"

"Tolong apa?"

"Tolong temankan saya bagi kuih ni pada orang orang kafe tu. Senang sikit sebab mereka faham bahasa awak. Agak agak, mereka nak tak?"

"Oh boleh. Takpe, kita cuba dulu" kata saya.

"Ok. Saya nak bagi mereka kuih ni, sebab mereka dah masakkan untuk saya. Ini sebagai tanda penghargaan saya kepada mereka."

"..."

MasyaAllah, saya entah terasa sangat gembira dengan ungkapannya. Saya tidak tahu bagaimana rasanya kuih kuih itu. Bahkan bukan kerana kuih kuih itu. Namun yang berbekas di jiwa saya adalah bagaimana dirinya begitu indah menghargai orang lain walau sebenarnya, dia membayar masakan masakan itu. Sampai begitu sekali dia ingin menghargai orang lain. Ternyata, saya tertarik dengan hal ini.

Daripada peristiwa malam itu juga, saya merefleksi diri sendiri. Bagaimana tindak balas saya saat seseorang menghulurkan sesuatu. Bagaimanakah reaksi wajah saya?  Adakah seperti;

"Bangladesh? Eiii, taknaklah."
"Kuih tradisional? Bersih ke? Saya tak makan kot."

Antara yang saya belajar, bagaimana kita bereaksi dengan cara yang paling baik dengan apa sahaja yang diberikan orang. Tidak kiralah makanan, pamplet, kertas kertas iklan atau apa sahaja. Bagaimana kita bersungguh sungguh ingin menghargai pemberian dan usaha orang lain walau kita tidak suka dan tidak berminat. 

Common sense. Saya suka sekali mengingatkan diri saya tentang ini. Bahawa sekiranya saya tidak berminat atau apa sahaja, saya harus menerima dan menghargai orang yang memberi dengan cara yang paling baik di hadapannya. Ini common sense, nurul! 

"Terima kasih!"

Ucapan terima kasih dan sebaris senyuman yang sederhana begitu penting bagi saya, meski saya menolak, tidak menerima kertas kertas iklan yang dihulurkan. Atau saja sewaktu saya dengan senang hati menyambutnya. Penting juga untuk saya bertindak balas dengan cara terbaik dan tidak membuang kertas kertas yang diberikan di hadapan mereka yang memberi. "Kau tak tahu usaha mereka, nurul." Maka, berusahalah menghargai mereka yang ingin memberi walau diri saya (kita) ini mungkin sekali tidak mampu menelan makanan itu dikemudian hari. 

Taqwa. Entah saya juga mengingatkan diri saya tentang ini bahawa jangan memandang rendah pada orang lain. Tidak kiralah dia berasal dari mana sekalipun. Sesungguhnya, kita ini satu ummah. Walau mungkin bukan bersaudara kerana aqidah, kita bersaudara kerana kita sesama manusia, memiliki sifat sifat kemanusiaan yang kita imani bersama. Bahawa seseorang dinilai bukan berdasarkan dia berasal dari negara yang berambut perang, bermata biru. Bukan jua dek hebatnya bangunan dan teknologinya di tempatnya. Bukan juga pada pakaian dan ketinggian bahasanya. Bahkan, kerana taqwa. Taqwa di dalam hati.

Taqwa.

Oh ya, terima kasih #peopleofrejab.

Wassalam,
Gombak.

Sunday, April 10, 2016

Nurul Akmal;

Bismillah.

Kerana cita cita saya (kita) adalah perjalanan yang paling diberkati insyaAllah, moga saya tidak lupa menyiapkan juga tentang;

"Menyiapkan hari kematian."

Dan malaikat;

"Tolong catat yang baik baik ya." 

Diam diam menjaga diri. Diam diam mempersiapkan diri, biizdnillah.

Rezkikan kami dengan Ramadhan, wahai Tuhan. Happy Rejab, everyone!


Wassalam,
Gombak.

Tuesday, April 5, 2016

Awal April

Bismillah.

satu.

Hantaran 15K, kisah tudung sebuah butik antara yang laju diperkatakan beberapa tempoh ini selain GST, penyalahgunaan kuasa, korupsi, bauksit yang sudah tenggelam, kisah kisah masyarakat yang harus diperjuangkan, ummah yang tidak berhenti menderita. Ramai sekali yang berkongsikan pendapat dan pengalaman. Moga saya belajar sesuatu daripada apa yang terjadi. Dan ya, marilah dahulukan Tuhan dan bersederhana. Bukankah segala sisi sisi hidup dan mati untuk Allah? Terlalu klise ke di pendengaran dan pembacaan sehingga saya mungkin tidak mampu terjemahkan dalam bentuk aktiviti harian? 

dua.


"akak, kenapa kita kena memberi?"
Kisah di suatu bulatan.
#inspirasikita


tiga.


Perempuan dan bacaan Aprilnya yang entah sempat atau tak.

Sebuah rasa percaya yang dibina dalam dan diletakkan tinggi pada-Nya. Apa jua yang di hadapan, saya mahu gagah menghadapinya (padahal kadang takut, penat, sangsi, sedih, nangis dan macam macam lagi) insyaAllah. Menyiapkan diri untuk segala hal dengan segala kekuatan yang dibekalkan Tuhan. Biarlah. Biarlah Tuhan yang melebihi segala rasa. Biarlah penjagaan Tuhan tidak meragukan saya. Biar apa pun yang terjadi, saya tetap percaya pada Dia. Jika sudah percaya, adakah lagi ruang ruang kesangsian?

Teruntuk saya, sukarkah menjadi puteri nabi syuaib di zaman ini? Moga terus menjadi kesayangan Tuhan, Nurul. Serius, malu, taqwa dan menjadi qurratu a'yun pada yang berhak insyaAllah.


Wassalam,
Gombak.

Saturday, April 2, 2016

Moment #2: Drown your sorrows in sujood.

Bismillah.


Hello from the other side

I must've cried a thousand times
wanna tell You I'm sorry for everything that I've done
When I call I know that You'll always be there
Hello from the outside
I will never say good bye
My Lord I love You for everything that You've done
You saved me, from life
It doesn't tear me apart anymore


Allah I know You hear me
Cause You closer than my pulse which is running through my veins

Hello; Adele (Muslim version by Omar Esa).

"Drown your sorrows in sujood. As you talk to ground, it's heard in the heavens."
Quoted.


Astaghfirullah TT

Wassalam,
Gombak.

Monday, March 28, 2016

Buku #3: Tangan dan jiwa yang memberi.

Bismillah.

Muka 159, Qisas, Hasrul Rizwan.


Kadang tak perasan bukan, apa yang buat kita bahagia? Untuk kita, dah infaq bulan ni? (:

Wassalam.

Saturday, March 19, 2016

Suatu Jumaat Yang Bermakna.

Bismillah.

"Kamu, hafizah?"

Saya yang sedang berhenti membaca bacaan Kahfi, senyum dan menjawab.

"Belum lagi seluruhnya. Masih banyak lagi, kak. Doakan saya."

Jujurnya, saya terkesan dengan soalan akak itu. Akak yang berasal daripada Acheh, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan memiliki dua orang anak perempuan yang indah. Terkesan kerana bagaimana saya menjaga hubungan dengan Quran melalui hafazan. Bagaimanakah, nurul? Kerana saya tahu, bukan kerana tiada ruang di celah celah masa, atau hati yang tidak diluangkan masa untuk Quran?

Kitalah generasi Quran itu insyaAllah. Mulakanlah walau payah. Usahakanlah tanpa mengalah. Perlahan lahan dan benar benar menjiwai. Jom, biizdnillah #tasmi'mate (:

"Akmal, nanti datanglah Acheh."

"Hehe, insyaAllah. Saya suka juga Indonesia dan pencinta bahasanya."
(Indonesia dan saya ini berpisah tiada kononya eheh. agaknya, sebab itulah hari tu jawab nak pergi Indonesia)

Quran itu di manakah, di hatimu?

Wassalam,
Gombak.

Tuesday, March 8, 2016

الوفاء

Bismillah.

Prof Tariq Ramadan;

"Behind every great man is not a woman, she is beside him, she is with him, not behind him."

(8 March 2016, International Women's Day)


Jujurnya, perempuan ini entah sukar difahami namun makhluk Tuhan yang istimewa subhanallah (uhuk uhuk). Dan peranannya begitu besar dalam sehari hari. Dia adalah pelengkap, pendorong, pembebel (haha), peneman dan senang ceritanya, dia adalah istimewa dek kerana ciptaan-Nya yang Allah cipta berbeza dengan lelaki. Dia adalah dia, punya kelebihan dan kekurangan. Hormati, didik dan hargailah dia dengan sebaik baiknya kerana impaknya ketara dalam masyarakat dan peradaban. 

Moga Nurul Akmal menjadi yang bermanfaat buat ummah dan sekelilingnya. Dengan kesederhanaan dan ketidaksempurnaan dia InsyaAllah *senyum*

Wassalam,
Gombak.

Monday, March 7, 2016

Perempuan Nan Berharapan.

Bismillah.

Khamis lalu, saya keluar bilik sekitar 7.15 pagi untuk pulang ke rumah nun di selatan; Johor Bahru. Oleh kerana Johor bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, saya berkira kira untuk sampai seawal mungkin di sana untuk menguruskan beberapa dokumen di pejabat kerajaan; LHDN. Alhamdulillah, sekitar waktu zuhur, saya selamat sampai di Larkin. Beberapa minit sebelum ke angka 3 petang, saya, ibu dan adik tiba di pejabat kerajaan itu.


"kaunter untuk pembayaran stamping dah tutup pukul 1.30 tadi. kalau dah ada setem, boleh terus ke situ untuk stamping sebelum 3.30 petang." kata pak cik keselamatan itu.


Otak ligat berfikir mencari idea sebelum ibu melangkah ke kaunter untuk pertanyaan lanjut.


"tak boleh ke bukak sekejap kaunter tu encik?" saya cuba bertanya. kerana saya tahu, tidak sempat untuk berlari mencari pejabat pos dan datang kembali ke sini.


"oh tak boleh. sebab dia bersystem. bukan di sini kawalannya." terang encik itu lagi.


"ok takpe, terima kasih, encik." kami berlalu tanpa berjaya menyelesaikan urusan yang dirancang.


Saya mendapat sesuatu. Sangat sesuatu. Saya bagai berkata kata di dalam hati bahawa;


"macam mana saya boleh lupa pejabat kerajaan tutup awal hari khamis."


Sebab seorang Nurul Akmal adalah manusia biasa. Maka, dia boleh sahaja terlupa. Ermmm.


"perjalanan saya sejak awal pagi. teringat bagaimana sejak di LRT Gombak tidak mendapat tempat duduk. lalu bersesak sesak dengan mereka yang berpagi pagi keluar mencari rezeki. LRT padat tidak mampu bergerak dan takde seketui manusia pun keluar sehinggalah di stesen Ampang Park. bas lambat setengah jam. spring kerusi kerusi dalam bas rosak, menempuh empat jam perjalanan dan akhirnya apa yang dirancang tidak seperti yang dirancang. Allahu!"


Astaghfirullah. Saya bagai ditampar.


"Kau berharap pada siapa ni, nurul?"


Saya diam sahaja memikirkan apa yang saya peroleh. Tipulah kalau tidak kecewa. Kecewa itu ada sedikit namun saya merasakan ketenangan yang mengalir.

"Betapa apa jua yang saya (kita) rancangkan, walau lelah dan menempuh pelbagai kesukaran, satu hal yang saya tidak boleh lupa adalah tentang niat dan harapan. mungkin ada sahaja bahagian dalam perjalanan perjalanan saya yang terlalai akan dua hal ini. bahawa sentiasalah memperbaiki niat agar harapan harapan saya terdorang kepada Allah. agar usaha usaha saya itu diberkati walau tidak tahu apa kesudahan di hujungnya nanti. apa jua yang terjadi, saya bisa sekali tenang, sabar dan ikhlas menerima apa jua natijahnya di kemudian hari. dan tentu di hujungnya nanti adalah yang terbaik buat saya, bukan? terbaik daripada Tuhan."

Orang yang ikhlas; tenang dan yakin sahaja kan?


فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ 

وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب

(As Syarh :7,8)

Ibu belanja sebab anak dia teringin lahai. Kacang Pool namanya ni eheh.

Jom tetap berniat baik, berharapan yang baik dan berdoa yang baik baik (:

Wassalam,
Gombak.

Monday, February 29, 2016

Mulakan dulu

Bismillah.

"Akak, macam mana nak dapat kekuatan untuk bawa halaqah?"

Saya senang berbicara topik ini dengannya. Saya tersenyum walau saya tahu saya mungkin tidak tahu menyusun ayat untuk menjawab soalannya. Erm, nak jawab macam mana ni.

"jatuh cinta kali pertama itu mungkin mudah. namun untuk mempertahankan perasaan itu, perlukan kefahaman yang jelas, kekuatan tiada tara dan niat yang sentiasa diperbaharui."

Teruntuk saya, kekuatan itu tidak lain tidak bukan; Allah. Betapa sekiranya kita meletakkan sesuatu pada yang tidak kekal umpama kerana manusia mahupun semangat berkobar kobar, ianya nanti berkemungkinan akan hilang pergi. Dan bila ia pergi, maka hilanglah rasa itu, kosonglah jiwa, pudarlah segala galanya. Maka, perjuangkanlah agar Allah mampu terus menjadi sumber kekuatan, mampu menggetarkan jiwa, mampu menolak kita berbuat kebaikan.

Dengan kefahaman Syahadatul Haq dan Ke Mana Kita Menyeru Manusia, ianya bagai menolak nolak jiwa kita untuk menyampaikan, memperbaiki masyarakat melalui kefahaman tentang Islam dan pengamalannya. Hingga subur dalam diri kita dan mereka dengan Islam dan berusaha menyampaikannya kepada orang lain. Dan hal ini, kita perlu berharapkan siapa melainkan kita yang memulakannya dahulu?

Supaya jatuh cinta beribu kali, mutabaah amal sihat ke tu? 

Jom mulakan walau lambat perlahan lahan, biizdnllah. Doa jangan lupa (:

Wassalam,
Gombak.