Showing posts with label dnt. Show all posts
Showing posts with label dnt. Show all posts

Sunday, October 30, 2016

Sebuah kehidupan yang lebih besar

Bismillah.

Kemuncak hari semalam sepanjang saya ke Seminar Bahtera Cinta dan kemudian ke katibah adalah pengisian malam itu yang menyentuh mengenai tadhiyyah (pengorbanan).

"Kenapa setelah faham, ikhlas dan amal, kita tidak mampu lagi melakukan perubahan? Adakah kerna masih kurang pengorbanan, wahai Tuhan? TT"

"Adakah kerna perngorbanan yang belum sungguh sungguh? Dan dalam kehidupan kita yang sekejap ini, yang paling saya takuti, adakah saya tidak berkorban kerana cinta saya pada Allah belum sempurna dan sungguh sungguh?"

Saya menahan sebak. Allahu Allah.

Moga cinta untuk beramal terus hidup. Kerna benar sama sekali, semangat untuk beramal itu lahir daripada cinta pada Allah. Makin cinta dan makin berkorban.

Dan Tuhan, nak bawa amal outstanding mana untuk menghadap Mu nanti?

Akhirnya; sebuah kehidupan yang lebih besar; syurga. Syurga lebih besar daripada diri kita, harta kita, masa kita dan segala galanya.

Kuat dan pandulah, kami Rabb!

Wassalam,
Gombak.

Tuesday, March 8, 2016

الوفاء

Bismillah.

Prof Tariq Ramadan;

"Behind every great man is not a woman, she is beside him, she is with him, not behind him."

(8 March 2016, International Women's Day)


Jujurnya, perempuan ini entah sukar difahami namun makhluk Tuhan yang istimewa subhanallah (uhuk uhuk). Dan peranannya begitu besar dalam sehari hari. Dia adalah pelengkap, pendorong, pembebel (haha), peneman dan senang ceritanya, dia adalah istimewa dek kerana ciptaan-Nya yang Allah cipta berbeza dengan lelaki. Dia adalah dia, punya kelebihan dan kekurangan. Hormati, didik dan hargailah dia dengan sebaik baiknya kerana impaknya ketara dalam masyarakat dan peradaban. 

Moga Nurul Akmal menjadi yang bermanfaat buat ummah dan sekelilingnya. Dengan kesederhanaan dan ketidaksempurnaan dia InsyaAllah *senyum*

Wassalam,
Gombak.

Monday, February 29, 2016

Mulakan dulu

Bismillah.

"Akak, macam mana nak dapat kekuatan untuk bawa halaqah?"

Saya senang berbicara topik ini dengannya. Saya tersenyum walau saya tahu saya mungkin tidak tahu menyusun ayat untuk menjawab soalannya. Erm, nak jawab macam mana ni.

"jatuh cinta kali pertama itu mungkin mudah. namun untuk mempertahankan perasaan itu, perlukan kefahaman yang jelas, kekuatan tiada tara dan niat yang sentiasa diperbaharui."

Teruntuk saya, kekuatan itu tidak lain tidak bukan; Allah. Betapa sekiranya kita meletakkan sesuatu pada yang tidak kekal umpama kerana manusia mahupun semangat berkobar kobar, ianya nanti berkemungkinan akan hilang pergi. Dan bila ia pergi, maka hilanglah rasa itu, kosonglah jiwa, pudarlah segala galanya. Maka, perjuangkanlah agar Allah mampu terus menjadi sumber kekuatan, mampu menggetarkan jiwa, mampu menolak kita berbuat kebaikan.

Dengan kefahaman Syahadatul Haq dan Ke Mana Kita Menyeru Manusia, ianya bagai menolak nolak jiwa kita untuk menyampaikan, memperbaiki masyarakat melalui kefahaman tentang Islam dan pengamalannya. Hingga subur dalam diri kita dan mereka dengan Islam dan berusaha menyampaikannya kepada orang lain. Dan hal ini, kita perlu berharapkan siapa melainkan kita yang memulakannya dahulu?

Supaya jatuh cinta beribu kali, mutabaah amal sihat ke tu? 

Jom mulakan walau lambat perlahan lahan, biizdnllah. Doa jangan lupa (:

Wassalam,
Gombak.

Monday, February 22, 2016

Kawan baik

Bismillah.

"Akak dah isi borang bm?"
"Akak, apa persiapan kita nak 'melangkah'?"
"Akak, kalau kita bercakap, nak pandang muka dia (lelaki) ke?"

Usai daurah semalam, kami duduk duduk berhalaqah sebentar. Merungkai persoalan sekitar ikhtilat dan baitul muslim, berbincang dan bertukar tukar pendapat.

"Gejala awal dari barakahnya sebuah pernikahan adalah kejujuran ruh, terjaganya proses dalam bingkai syaria’t, dan memudahkan diri. Ingat kata kuncinya; jujur, syar’i, mudah." (Ustaz Salim A. Fillah, Menjaga, menata lalu bercahaya.)

Saya senang dengan perbincangan yang dibicarakan secara serius namun sederhana tentang hal itu.

"Akak takde specific measurement untuk diletakkan. Cumanya, iman dan ilmu boleh mendatangkan kesan dalam cara kita berfikir dan bertindak. Kesannya juga langsung pada akhlak. Iman dan akal membolehkan kita menjustifikasi sesuatu hal atau keadaan. Maka tanyalah pada keduanya, "perlu ke?". Bermuamalah dengan akhlak Islam dan sederhanalah dalam segala hal termasuk tentang bagaimana berinteraksi silang jantina. Hal itu, bermula dengan diri kita sendiri; individu muslim. Bila berhadapan dengan sesuatu keadaan; tanyalah iman dan akal, berakhlak, sederhanalah dan kemudian bermuamalah. Maka, semuanya bermula daripada diri kita sendiri."

Teruntuk diri sendiri yang lebih banyak bercakap; moga Allah pimpin untuk mencari jalan jalan yang paling berkah; untuk rasa yang paling indah dan manis. Istighfar, taubat, sabar dan doa yang banyak insyaAllah sehingga waktu yang benar benar telah direzkikan.

Dan itulah kisah kawan baik; kisah dua orang yang tidak bertemu dan mencari selain daripada kerana ketaatan-Nya. Sungguh, Allah lebih tahu!

Wassalam,
Gombak.

Friday, February 19, 2016

Menunduk

Bismillah.

Saya sangat suka akan bicaranya malam tadi selepas menonton Little Boy. Dia yang terlihat sangat kuat bagi saya, menahan sebak dan air mata bila mengatakan hal ini. Hal yang membuatkan dirinya memperoleh sesuatu. Langsung daripada Tuhan. Saya memerhatikan dirinya sesungguhnya. Erm entah pada sisi sisi mutarabbi, kadang saya melihat sisi sisi saya. 

"ana dah cuba yang terbaik untuk pastikan segalanya ok dari bilik lagi. Tapi akhirnya, Allah izinkan ana terlupa sesuatu yang membuatkan segalanya affected."


"bila kita dah rancang dengan yang terbaik, kadang Allah datangkan ujian buat kita. Ujian yang buatkan perancangan kita tidak seperti yang dirancang. Daripada situ, ana sedar yang mungkin Allah nak panggil ana balik. Allah nak ingatkan sesuatu. Bahawa selain perancangan manusia, jangan lupakan Allah. Allah juga ada perancangan buat kita. Kita sangka itu semuanya usaha kita. Tapi sebenarnya tidak. Ada Allah dalam usaha usaha kita."

Yang ikhlas keluar daripada bicaranya, langsung juga mengena di hati saya. Dalam bermakna. Teruntuk saya, moga apa jua yang terjadi, Allah tidak buat saya lupa siapa saya. Tidak membuatkan saya merancang sendiri. Tidak membuatkan saya melupakan niat saya. Tidak membuatkan saya melupakan ikhlas, usaha, doa doa, tawakkal dan harapan saya.

Saya takut untuk melafazkan ini;

Dan moga walau apa sahaja yang Allah izinkan ianya berlaku, moga Dia terus bimbing. Bahawa apa sekalipun, saya tetap seorang ukhti. Nafas saya adalah perjuangan buat ummah ini, biizdnillah. Hati dan jiwa yang kuat. Tuhan, pandulah saya! TT

Wassalam,
Gombak.

Wednesday, February 10, 2016

Perjalanan panjang.

Bismillah.

Saya yakin travel bukan sekadar tentang jauh atau dekat tempat yang dituju. Bukan soal mahal atau murah perjalanan mahupun kos sepanjang perjalanan. Bukan jua soal kesempurnaan yang diidamkan di dalamnya. 

Yang paling saya yakin, bersama siapakah yang menemani saya sepanjang travel dan hal apakah yang mengesani saya sepanjang travel. 

Langkawi; 2016.

 أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَتِ اللَّهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ آيَاتِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
" Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur." (Luqman 31)

Apatah lagi jalan jalan menuju kampung halaman; syurga; teramat penting dengan siapa kita berpegang tangan. Perjalanan itu sangat bermakna bagi saya khususnya. Perjalanan jauh meredah hujan panas terik mentari petir mendung tidak berangin. 


الحياة رحلة تعرف على الله
Life is a journey towards knowing Allah. 

Jom sekali?


Wassalam,
Gombak.

Wednesday, January 27, 2016

Badai kebaikan.

Bismillah.

Dia menunggu di luar kedai buku.

Kedai buku itu kecil sahaja tapi oleh kerana saya sudah lama tak ke kedai buku, maka faham faham lah perasaannya bagaimana. (Tak mampu alahai nak berpuasa buku ni, karang termasuk mimpi haha ishhh.)

Dan dia saya tahu setia menunggu di luar. Walau saya tidak tahu gejolak dan rasa hatinya yang menunggu, namun saya tahu dia masih di situ, membiarkan saya menghidu bau buku buku, memberikan ruang pada saya pada hal yang saya cinta. Mungkin juga, terlihat jelas di raut wajah dan mata saya kebahagiaan yang berbunga bunga.

Saya teringat kisah Nabi Harun dan Musa as yang dinukilkan dalam al-Quran di surah Taha.

Bagaimana dengan kekuatan dan kelemahan yang saya miliki, saya tetap memerlukan sang sahabat setia yang akan membantu saya menempuh perjuangan dan dalam apa jua urusan yang saya hadapi. Yang membantu untuk menguatkan saya. Yang sangat tahu saya lemah dan kuat di bahagian mana. Yang ikhlas menerima cacat cela hitam putih kelabu saya. Yang menghargai kelebihan saya seadanya saya. Yang mendengar saya bercerita mahupun meluahkan segala mak nenek dalam hati. Yang menghormati saya, bertanyakan pendapat saya, yang tidak pernah mengubah saya menjadi apa yang dia suka; lantas saya merasa selesa memperbaiki diri di hadapannya, tidak menjadi orang lain. Yang buat saya tidak kekok menceritakan sisi sisi kelemahan dan ketakutan seorang saya yang perlu diberbaiki dan diatasi. Yang sangat mengambil berat dan menyibuk tentang saya. Yang menasihati saya dengan cara yang terbaik baginya dan saya. Tidak memaksa maksa yang merimaskan saya. Yang buat saya berharga di mata dan (hatinya) eheh.

Dan yang terlebih penting, saya dan dia saling mengasihi dan memperbaiki diri untuk tujuan yang sama. Teruntuk Allah dan agama-Nya. Melihat segala galanya dengan kaca mata yang sama. Saling menguatkan dan tulus memperbaiki diri untuk tujuan kebaikan walau dua individu berbeza. MasyaAllah, nyaman sungguh tika dia di sisi.

Menjadi diriku
Dengan segala kelemahan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku.

Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna.

(Menjadi Diriku, Edcoustic)

Tentu juga, sebagaimana Harun berusaha menjadi yang terbaik buat saya, saya juga perlu berusaha menjadi yang terbaik buat dia. Moga saya mampu menjadi Harun yang terbaik buat Musa saya juga. 


"Rabbi, Kau yang Paling Arif, Paling Tahu tentang urusan kami, maka bantulah kami menjadi yang paling terbaik."


Rare jugak cuti kali ini; bermuayashah dengan kesayangan sang Harun hehe (:

"If I showed you my flaws
If I couldnt be strong
Tell me honestly would you still love me the same?"
(Locked Away, R.City ft. Adam Levine (acoustic cover) by Tiffany Alvord)

Moga Allah selalu jaga apa yang saya, dia dan kita mohon untuk dijaga. Juga moga Allah bantu kita dalam menjaga apa yang mesti kita jaga. Dan hal hal yang kita terlalaikan atau terlupa untuk diadu, dibualkan, dicerita dan dipinta dalam doa sekalipun, Allah tetap jaga kerana kita yang lemah dan mudah sekali kalah dengan hawa nafsu pasti sukar menjaga diri justeru semua ini memerlukan kekuatan dan bantuan Allah.

Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah dan terima kasih Haruns saya!

Moga Musa-Harun ini; melahirkan badai kebaikan untuk ummah ini, biizdnillah (:
Wassalam,
Johor Bahru.

Tuesday, January 19, 2016

Sebuah kekuatan.

Bismillah.

Sewaktu sebelum praktikal dulu, saya mengimpikan tempat praktikal yang memerlukan saya berjumpa ramai orang. Ya, itulah cita cita saya. Sepanjang praktikal, saya mahu berjumpa seramai mungkin orang, agar saya peroleh seberapa banyak pengalaman secara langsung. Saya mahukan ilmu yang saya dapat sepanjang tempoh pengajian diadun dengan pengalaman dan kemahiran saya berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai. Maka, saya meletakkan tempat pertama yang ingin saya tuju adalah hospital kelahiran saya sendiri; Hospital Sultanah Aminah. Dan tentu bukan menjadi doktor mahupun jururawat tetapi bertugas di bahagian rujukan agama. 

Kesedihannya, ada beberapa hal yang berlaku dan impian saya tidak dapat diteruskan. Saya tentunya terkilan sedikit namun kuasa Tuhan menggantikan tempat persis yang saya idamkan. Benarlah, perancangan Tuhan Maha Hebat. Di tempat baru, saya mendapat apa yang saya idamkan walau tempatnya berbeza. Malah, tempat baru ini lebih dekat dengan bidang pengajian saya dan alhamdulillah untuk ini.

Melihat kes kes yang dibicarakan dekat dengan diri sendiri membuatkan saya (terlalu) banyak menilai diri saya sendiri. Berapa banyak kali saya menahan sebak melihat ketidaksetiaan seorang isteri juga cinta tulus sang suami. Dan berapa kali juga saya menahan air mata menyaksikan masjid yang dibina dengan kasih terlerai dengan benci yang menyakitkan. Juga berapa kali juga saya menahan rasa melihat anak anak remaja datang membawa 'isi' dalam rahim namun tidak bersuami. Demi Allah, terlalu banyak yang berlaku di hadapan mata saya sampaikan supervisor dan kakitangan selalu sahaja mengusik;
"nurul, awak jangan fobia taknak kahwin pulak."
Kes di suatu hari;
"nurul, awak tahu tak kenapa masa nak lafazkan cerai tadi, suami dia yang sebak dan menangis tapi isteri dia macam takde perasaan?"
"entahlah tuan. saya tak tahu." (ini antara kes yang menyedihkan saya)
"sebab isteri dia ada orang lain. tu yang dia rilex je."
Saya terkedu. Astaghfirullah. Isteri curang? Sedihnya saya!

Saya berbisik sendiri;

"kiranya dia tak setia pada Allah, mampukah dia setia pada pasangannya?"

Suatu pagi pula saya didatangi seorang ibu bersama anak perempuannya;

"cik, boleh tak tolong cepatkan kes anak makcik."
"kenapa ya?"
"sebab dalam perut anak makcik ni, dah ada 'isi'."

Saya tergamam lagi. Saya menahan rasa. Muka saya panas. Ya Allah, mengandung sebelum berkahwin? Mana mungkin saya perlu rasa biasa biasa. Tuhan, haruslah saya sedih!

Saya tarik nafas. Dalam. Harapan apa yang saya harus berikan?

Selepas bicara, saya keluar menemui mereka. Saya fikir saya perlu menyampaikan sesuatu pada mereka. Tuhan, ilhamkan saya yang terbaik.

"jaga elok elok baby tu. mulakan hidup baru. dengar cakap mak ya."

Dan zuhur pada hari itu, saya berteleku lama selepas sembahnyang. Entah mengapa, saya mengadu agak lama sedikit pada hari itu. Yang paling sebak, antara yang saya bisikkan dengan Tuhan seingat saya;

"Allah, sedihnya aku melihat masyarakatku. ini baru yang terlihat. yang tidak terlihat, bagaimanakah? tiada siapa ke yang menyampaikan teguran dan nasihat buat mereka? Tiada siapa ke yang datang kepada mereka? Tiada siapa ke yang mendekati mereka dan bimbing mereka?"
Dan hal inilah paling mengesani saya. Ke manakah perginya orang orang yang menyeru kepada masyarakat mengenai Tuhannya? Ke manakah perginya orang orang yang mengingatkan? Orang orang yang mengajak pada kebaikan dan mencegah keburukan. Sudah hilangkah mereka?

Teruntuk saya; ke manakah saya sewaktu itu? Saya berbuat apakah? Hal hal yang saya peroleh di tempat saya praktikal; mahkamah buat saya banyak merenung kembali ayat-Nya;

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

(Ali 'Imran: 104)

Sukar. Saya mengerti tugas ini berat. Namun atas keyakinan, tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan perlu saya (kita) mulakan. Meski bermula dengan hal hal yang kecil. Bahawa kebaikan perlu saya sebarkan. Perlu diperbanyakkan. Perlu lebih banyak daripada kejahatan. Bahawa perlu lebih ramai orang baik yang menyintai kebaikan dan ingin menyebarkannya. Begitu juga dengan perkara mungkar. Perlu sama sekali menyekat hal hal yang buruk dan memberitahu bahawa hal itu ataupun hal ini tidak boleh.

Jujurnya, saya merasakan bahawa kefahaman tentang ayat ini seharusnya sekurang kurangnya menolak diri saya sendiri untuk berniat dan memulakan daripada hal hal yang kecil walaupun dengan hanya memiliki kuasa kuasa yang terbatas dan mungkin tidak didengari. Namun benih benih menyintai kebaikan dan membenci kemungkaran ini harus dimulakan dan diamalkan dalam hidup seharian. Saya yakin bahawa hasil iman dan keyakinan buat saya terdorong melakukan sesuatu. Maka, terbuktikah ia?

Ya, saya tertanya itu. Maka, sekiranya si cantik yang memakai shawl itu terlihat rambut atau lehernya, gagahkan saya menyintai kebaikan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian? Mampukah saya mendekatinya dan menyampaikan teguran?

Moga Allah beri saya dan kita semua kefahaman yang benar. Juga, Allah menjadikan kita orang yang berbuat setelah faham. Gementar juga saya namun moga Dia berikan kekuatan yang tidak berbelah bahagi.

Jom sama sama, biizdnillah.

Wassalam,
Johor Bahru.

Monday, November 23, 2015

Masih menang?

Bismillah

Entah bila saya membaca tulisan Muharikah yang ini, namun saya tertarik dengan tulisannya yang bagaikan muhasabah untuk saya. Jujurnya, kadang tulisan orang lain begitu tepat sekali mengekspresikan diri saya. Begitu tepat mengena di jiwa saya. Bagaikan, Allah mengirim tulisan tulisan mereka untuk saya lebih banyak koreksi diri.

Dalam tulisan tersebut, saya terkesan dengan tujuan hidup kita. Meski mula mengikuti usrah sejak sekolah menengah, berada dalam kalangan suasana yang selesa, namun satu hal yang saya refleksi adalah walau apa sekalipun latarbelakang kita, kita masing masing perlu sentiasa memperbaiki niat tujuan hidup kita. Dalam kesenangan kita lupa. Dalam kesibukan kita alpa dan ya dalam kita menyeru manusia dan memperbaiki diri dan masyarakat kadang kita terleka apa sebenarnya tujuan hidup kita. Dan tidak salah saya katakan, apatah lagi people who is called da'ie pun perlu sentiasa duduk mengingati kembali apa tujuan hidup kita. Kerana biar dalam situasi apa pun kita, kita sentiasa menyedari bahawa, "yang menyebabkan kita ada sense of purpose, adalah Allah juga." 

Dan semalam ketika saya membelek instagram, saya menemukan post ketika Ramadhan yang lalu. Saya tersebak juga memikirkan saya sepertimana sekarang di 11 Safar ini. Moga saya selalu sahaja menjadikan Allah; the ultimate goal yang saya mahukan di dunia dan akhirat. Menjadikan saya seorang awwab atau orang selalu bertaubat dan golongan taqwa. Taqwa menjadi rakyat Malaysia, taqwa menjadi sebahagiaan daripada ummah. Oh, sukarnya namun Allah bimbinglah saya!

Antara kesukaan video sewaktu Ramadhan hingga sekarang.


"sebabnya kita memang nak ajak orang lain masuk syurga, tapi kita tidak mahu masuk syurga ke?"

"dan jadikanlah al Quran itu sebahagian islah dan rutin kita"


Masih menangkah? Rindu Ramadhan saya T.T

اللهم ثبت قلبي على الإيمان وعلى دينك وعلى طريقة دعوتك 

Wassalam,
Gombak.

Wednesday, October 28, 2015

"Awak rahmah tak?"

Bismillah.

Duduk berhadapan dengan mutarabbi di suatu hari itu begitu mendamaikan. Menatap mata dan wajahnya ternyata tidak menjemukan. Kami hanya berdua. Dia menyusun kata untuk disampaikan kepada saya.

"akak, boleh saya cuba sekali lagi?"

Saya tersenyum padanya.

"tentulah boleh!"

"Topi pertama saya; da'ie dan murabbi"

Satu hal lagi yang saya peroleh; saya belajar bahawa tidak perlu berkejar kejar mengejar sempurna di hadapan manusia. Tidak perlu menipu untuk kelihatan sempurna. Tidak perlu menjadi orang lain. Tidak perlu terikut ikut untuk kelihatan sama. Tidak perlu takut untuk meminta peluang. Dan saya sendiri sangat menghargai proses belajar daripada sisi sisi kelemahan yang kecil, yang mungkin enteng dan tidak dilihat manusia. Bahawa manusia ini unik dan berbeza. 

"remind yourself that its okay not to be perfect"
(unknown)

"everybody has their own struggle (so be kind)"

Topi yang saya imani itu buat saya sangat menyedari bahawa saya perlu berhati besar dan memberikan peluang kepada ramai orang. Saya perlu tenang menyokong dan tak usah gopoh mengejar hasil kesempurnaan. Saya mahu proses belajar menjadi yang terbaik dilalui dengan kefahaman dan kesabaran. Maka, sering sekali saya tanyakan pada diri tatkala berjumpa orang yang berbeza daripada saya, "sudah memberi peluang pada diri sendiri dan mereka?" Sebagaimana yang Allah ulangkan bahawa Dia Maha Mengampuni dan memberikan peluang, maka saya mahu apa lagi? Saya juga mengharapkan belas kasih Tuhan mengampuni saya maka mana mungkin saya bersikap tidak adil pada orang lain. "Allah banyak beri peluang pada awak, Nurul!" Dan mampukah saya mencontohi ar Rasul saw dalam memberi peluang kepada ramai orang? Kerana tanpa peluang, kita mudah sekali salah sangka, salah hukum, salah memberi ubat, mudah melabel, menyemai benci dan terlihatlah Islam yang sangat tidak menyantuni manusia dan rahmah. MasyaAllah, rindu saya pada Baginda yang memandang semuanya dengan cinta T.T.


"awak rahmah tak?"

Saya yakin tarbiyyah yang saya lalui banyak mengubah saya. Banyak menemukan saya dengan pelbagai orang. Banyak mengubah persepsi saya. Justeru saya merasakan bahawa komunikasi sangat penting di zaman ini kerana kita tidak perlu sama untuk saling menghargai, tidak perlu sama untuk 'li ta'arafu'. Komunikasi buat kita saling menyampaikan rasa, idea dan pendapat meski tidak selari dengan apa yang kita punya. Komunkasi dapat mengubah salah faham, dapat menerangkan dan merapatkan. Memberikan peluang dengan menghargai peluang komunikasi. Nah, bercakaplah dengan berhikmah, saling menghormati dan menghargai. Ternyata, saya suka sekali ini!

Teruntuk saya, moga lebih rahmah insyaAllah!

Wassalam,
Johor Bahru.