Monday, September 21, 2015

Itulah yang terbaik

Bismillah.

Beberapa orang bertanyakan saya tentang tempoh pengajian master saya. Saya dengan tenang menjawab, "Oh, sekarang baru semester dua."

"Eh, rasa macam dah lama. Rupanya baru semester dua." Kata mereka.

Saya tidak menyembunyikan apa apa lantas berkata, " Hehe, hari tu kena ambik kelas bahasa satu sem. Tu yang rasa macam dah lama."

Dan ya. Alhamdulillah, sudah masuk tiga semester saya di daerah ini. Daerah Gombak. Saya sendiri sangat tidak menyangka begitu cepat masa berlari meninggalkan.

Saya tidak pasti saya dalam proses menjadi dewasa atau apa, cuma jujurnya saya begitu tenang menghabiskan masa masa saya di sini. Cuma tipulah (tak baik menipu kan) kalau saya tidak merancang untuk menghabiskan pengajian. Saya sedang membuat yang terbaik, merancang yang terbaik insyaAllah. Saya suka (sangat) dengan tempat pengajian saya. Berilah saya peluang untuk benar benar merasai nikmat ilmu di sini. Bukan sekadar mengejar nama atau apa apa. Saya menyakini bahawa tiap orang ada jalan masing masing begitu juga saya biidznillah.

Dan lagi saya juga tidak pasti Allah menghendaki pelbagai cabaran yang saya tempuh ini adalah untuk menjadikan saya seperti apa. Adakah saya perlu bertambah kuat? Atau adakah tabah? Atau mungkin juga sabar? Sungguh, saya tidak tahu. Mohon dengan kerendahan hati saya agar Allah ajarkan saya semua hal yang terbaik buat saya. Meski hal itu kecil di sisi manusia lain.

"Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (As Syarh : 5,6)

Ayat Allah yang diulang dua kali kepada ar Rasul saw ini, sebagaimana ianya menenangkan Baginda, begitu juga mententeramkan raga saya. Entah janji ini begitu mendamaikan walau betapa Allah tahu saya seperti apa melalui kesukaran itu. Moga Allah benar benar tuntun saya dalam kesulitan dan kelemahan saya, agar saya menjadi insan terpilih mendapat kemudahan yang juga dituntun Allah di kemudian hari insyaAllah.


Nantikanlah masanya akan tiba
Nantikanlah masanya yang sempurna
Bila masanya bila akan tiba
Biar Tuhan saja yang menentukannya
Sabar sabar sabar sabar

Jika kau terus berusaha mesti jua akhirnya
Menjadi apa saja yang kau harapkan
Sabar sabar sabar

Itulah yang terbaik

Bersabar

Brothers; Sabar


Terima kasih mereka yang bertanya, yang terus mendoakan saya, yang membaca (kot lah ada) dan sang labah labah yang menghiaskan sarangnya di sini sekian lama (; Doakan terus ya.

Wassalam,
Gombak.

Sunday, April 26, 2015

Hati sendiri yang sejahtera

Bismillah.

Entah kenapa kebelakangan ini, air mata mudah sahaja tertumpah. Hati tersentuh, sebak dan tidak dapat dibendung lagi. Berbual dengan ibu; nangis. Mesej dengan angah dan adik; nangis. Tengok video; nangis. Membaca buku; nangis. Membaca Quran; nangis. Ingat kisah lalu; nangis. Doa; nangis.

Magiknya; air mata itu dibiarkan mengalir. Nah, tiada paksaan. Walau nangis terasa bahagia. Puas dihujungnya. Bebas pengaduannya pada Allah. Walau tanpa kata.

Moga, air mata ini mengalir sebabnya kerana Allah. Moga, dengan ia mengalir dapat melembutkan hati sendiri dan menghapus dosa. Moga, ianya menangis tanda rindukan Allah, tanda mahukan lebih banyak masa dengan Allah. Masa berkualiti dengan Allah T.T

Kerana hati sendiri mahu dididik jadi sejahtera. Moga lebih banyak bermuhabasah. Moga lebih berdoa. Dan kerana memiliki hati yang sejahtera, moga kesannya mengalir pada anggota-anggota lain. 

Moga memiliki hati yang sejahtera!

" Tears are prayers too. They travel to God when we can speak. "

( oh ya. sudah seminggu terbatuk-batuk. dan batuk itu; juga buatku nangis. sayangnya Allah pada Nurul Akmal! )

Wassalam,
Gombak.

Wednesday, April 15, 2015

Hadiah

Bismillah.

Jam melebihi angka 8 malam. MasyaAllah, sungguh tak perasan. Meninggalkan mereka bersepuluh secara tergesa-gesa untuk ke tempat lain.

Si dia orang terakhir yang bersalaman denganku. Aku terkejut. Dia menyelit kan RM10 di tanganku.

"akak, tadi tu infaq halaqah kita. yang ni infaq saya. akak tolong kirimkan sekali ya."

T.T

dan hatiku kau sentuh lagi. betapa kau yang sangat sederhana dalam perbelanjaan harianmu, sanggup mengeluarkan sedemikian jumlah untuk saudara-saudara kita di nun sana. moga Allah berkati dirimu, adik dan seluruh sembilan yang lain.

---

"hadiah yang paling berharga untuk seorang murabbi adalah mutarabbinya sendiri."

Wassalam,
Gombak.

Monday, March 30, 2015

BUKU #1

Bismillah.

Satu.

Tanpa mengangkatkan kepalanya dari brosur yang dibelek-beleknya sejak sedari tadi, wanita Inggeris itu pun membuka mulut, "Why is it that in your religion, your men can marry more than one? In fact up to four! While you, Mohamadan women can marry only one? I, for sure would certainly be able to handle more than one man. And looking at this, I mean from this point of view, I think your religion is totally unfair. There are double standards with regard to gender. In other words, your religion is gender biased!"

halaman 189

Dua.

Kak Lin menyambung kata-katanya, "Adik-adik semua! Yakinilah! Apabila adik-adik berada nun jauh di perantauan nanti, kita akan merasakan seolah-olah dunia ini kita punya. Namun setelah beberapa ketika, apabila hidayah Allah itu datang, insyaAllah kita akan langsung dikejutkan oleh sesuatu."

Air muka Kak Lin kelihatan sangat tenang dan bercahaya, "Pada masa itu, kita baharu sedar bahawa mutiara yang amat berharga itu memang senantiasa berada di hadapan mata. Cuma, kita sahaja yang tidak menyedari akan kehadirannya. Itulah mutiara iman. Bayangkan, sekiranya mutiara iman itu hilang, dan direntap dari dalam diri kita..."

halaman 234

(Hilang & Jumpa, Umi Kathum Ngah, Deen Prints, Januari 2015)

Thursday, October 9, 2014

Alam dan taqwa; keterujaanku.

Bismillah

“ Durrah, cuba tengok atas sana”. Jarinya ditunjukkan ke langit meluas.

“ Kau nak tunjuk apa pula kali ini? Langit tersenyum? Bulan berkata-kata atau bintang berkejaran?” Izzah menduga. Mengerti teman seperjuangannya cintakan alam.

Durrah tertawa. Dia menyayangi ukhuwah yang terbina sejak mereka di tahun pertama di universiti.

“ Kau tahu kenapa langit dan kawan-kawannya sangat cantik?” Izzah memulakan bicara.

“Aku suka soalan kau. Sebab ciptaan Tuhan tu banyak ‘ibrah buat penduduk bumi. Untuk kita belajar dan bersyukur. Hah, amacam? Cun tak jawapan aku?” Durrah melihat reaksi Izzah sambil buat muka comel.

Izzah ketawa kecil. Jawapan sahabat baiknya itu terasa bersahaja.

“ Mana ada pendapat salah, cik Durrah. Lagi, kau nak tambah apa?” Izzah bertanya kembali.

“ Aku nak tadah telinga dengar pendapat kau. Cepat cepat.” Durrah tersenyum.

“ Entah. Jawapan aku macam kau mungkin. Cuma, aku rasa Allah sangat banyak suruh kita belajar daripada alam. Gunakan pancaindera kita yang Dia cipta tu. Maksud aku, melihat alam adalah proses pembelajaran yang langsung daripada Allah.” Izzah memuntahkan pendapatnya.
Durrah mengannguk. “ Takde butang like dan share ke? Betul betul, aku suka idea tu. Kiranya macam tengok alam pun boleh dapat banyak manfaat kan. Contohnya, macam bulan nun di atas sana. Tetap patuh pada Allah sambil menerangi makhluk lain.”

Izzah terpesona. Subhanallah, idea kau sangat menusuk jiwa, sahabat. Hati Izzah berkata-kata sambil melihat sisi wajah Durrah. Hingga saat ini, dia sekali lagi bersyukur pada Yang Esa kerana menemukan Durrah dalam hidupnya. Durrah, moga Allah mengurniakan kita kasih umpama Ansar dan Muhajirin.

Bunyi pukulan ombak kuat di pendengaran Izzah. Izzah tersedar. “ Ya Allah, tiap kali aku memandang langit di waktu malam, aku pasti teringat Durrah. Sudah tiga bulan Durrah terbang ke Maghribi menyambung Masternya. Dan tiap kali itu juga, aku teringat akan kata-kata Durrah.”

Kau tahu kenapa alam ini sangat cantik? Untuk kita ambil pengajaran bukan? Ya, betul. Untuk kita belajar daripada alam. Maksudnya? Tidak mungkin alam yang indah ini sekadar fizikalnya yang indah. Buat orang puji-puji semata. Bahkan, bagaimana alam ini patuh pada perintah Tuhan di samping tugas mereka yang tidak henti-henti. Kau lihat bagaimana mereka patuh pada perintah Allah dan seterusnya bermanfaat buat yang lain. Bulan mengeluarkan cahaya sebagai panduan makhluk-makhluk lain dan begitu juga tiap suatu makhluk bermanfaat buat yang lain. 

Subhanallah, hebatnya ciptaan Dia menjadikan sesuatu dengan tidak sia-sia. Begitu juga sebagai seorang hamba kepada Dia, kita seharusnya senantiasa mempelajari apa yang ada di sekeliling kita termasuk darpada dinding, lantai mahupun atap kepada alam ini. Lihatlah dan terokailah alam ciptaan Yang Maha Kuasa ini. Sungguh, tidak Allah jadikan penciptaan-Nya ini tanpa kita merasa apa-apa. Malah, orang beriman sering sahaja merendah diri dan belajar daripada sekelilingnya. Kiranya seorang hamba itu taat pada perintah Allah, dia juga pasti akan memanfaatkan hidupnya pada kebaikan orang lain. Tidak mungkin taat dan taqwa itu tidak menampakkan apa-apa hasil. Mudahnya formulanya. Patuh pada Allah menjadikan kita seorang yang bermanfaat dan senantiasa merendah diri. Lihat sahaja alam yang terbentang luas saujana mata memandang dan nampakkah kita bahawa alam ini menunjukkan ketaatan pada Yang Maha Satu? 

Belajarlah daripada alam dan jadikannya manifestasi menambahkan amal, taqwa dan syukur. Sebagaimana Allah mengingatkan kita dalam surah Al-Mukminun ayat 78 yang berbunyi, “ Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani tetapi sedikit sekali kamu bersyukur.”

Moga kita terus menjadi hamba yang belajar. Lillahi ta’la. Aamin.

 ---

"Tidak kira kita belajar diperingkat apa sekalipun, moga peroleh taqwa"
Itu; mahal untukku.
Mohon doa-doanya diutus,
Hamba Allah.

Wassalam.