Sunday, March 12, 2023

Mac Nan Istimewa

Bismillah.

Mengimbau memori;

Dulu sebelum ada mind-setting untuk mencari pasangan dan bernikah, sesekali akan terlintas (berangan (? haha)) di fikiran bahawa saya akan cenderung untuk bernikah dengan pak ustaz. Kerana apa? Tentu saja kerana saya merasakan latar belakang pendidikan akan buat saya lebih serasi dengan orang yang berada dalam bidang dan persekitaran yang sama. Sewaktu itu, saya merasakan juga, mungkin agak canggung apabila saya hendak duduk dengan orang yang bukan sealiran belajarnya dengan saya; mungkin tidak sekufu, bagaimana penerimaan dan lain lagi.

Dalam proses memaknai 'ada apa dengan pernikahan', saya teringat juga yang saya bersemangat (ecewah) mendengar perkongsian-perkongsian perkahwinan, walau seingat saya, saya tiada calon lagi hahaha. Yang penting sewaktu itu, saya benar-benar ingin menyiapkan diri semaksima mungkin.

Hinggalah masanya tiba;

Rasa bagai baru semalam menerima 'pertanyaan' seseorang. Bagai baru semalam doa saya dimakbulkan Tuhan; menerima 'pertanyaan' seseorang dengan cara yang paling saya gemari dan dekat di hati. Jujurnya, saya menggeletar menatap nama si empunya diri yang 'bertanya' melalui orang tengah. Bagai tak tertelan air liur di saat itu, saya kaku memproses segala yang baru berlaku. Sejurus solat maghrib, saya masih ingat, saya sujud syukur; saya masih lagi kesejukan; saya merasakan Tuhan benar-benar dekat menjawab doa yang sebenarnya baru saja saya pintakan. Saya merasakan kasihnya Tuhan, dekatkan langkah saya dengan sosok lelaki yang tidak pernah saya sangkakan. Ah, siyes lah dia?

Kini;

Buat lelaki kiriman Tuhan yang saya cintai selepas akad dilafazkan, selamat hari cinta yang ke-6, abang. Meski kebelakangan ini dan juga kadang kedengaran kisah-kisah rumahtangga yang menggusarkan hati, meski kita akan lalui hari-hari esok dengan yang hal yang tidak pasti, moga Allah sentiasa rezekikan kita hidayah dalam berumahtangga, terus memayungi kita dengan aman dan kasih sayang, sentiasa rezekikan kita cinta dalam suka dan duka, menyederhanakan segala rajuk dan salah erti, saling menjadi pasangan yang Tuhan redhai sepanjang hayat kita. Moga kita terus saling menjadi 'kawan baik' yang menghargai segala atas dan bawah, pahit mahupun manis.

Untuk segala ketidaksolehahku (sobsssss), terima kasih masih di sini menemani isterimu memperbaiki diri yang perlahan. Terima kasih atas redhamu miliki seorang suri yang tiada apa-apa. Atas segala kesabaran berhadapan kepeningan seorang isteri dan banyak lagi sisi-sisi daku yang dikau kenali, moga Tuhan berikan syurga buatmu atas banyaknya khidmah baikmu. Moga kita masih berezeki untuk tetap bersama menjadi 'Musa-Harun' yang paling bermakna, moga seorang aktuari pegang tangan ustajah sampai hujung nyawa, aamiin! (;p )

4 Mac 2017 - 4 Mac 2023. Jom mujahdah bina rumah syurga kita insyaAllah (:

 PD, Mac 2023

Nurul cinta Muhammad. Moga Allah cintakan kita juga ^^
Selangor.


Saturday, October 1, 2022

Sempurna tapi tidak sempurna

Bismillah.

Di sebalik 'sempurnanya' dia, kau lupa memaknai manusiawi dalam hubungan suci itu. Dia adalah manusia biasa yang 'bukan tidak sempurna', tetapi kerana dia sosok yang sama seperti engkau. Ada masanya lelah, malas, nanti dulu, buat yang termampu dulu dan lain-lain. Itulah hal yang juga perlu kau dan dia saling belajar, memberi ruang untuk ditolak sementara; juga kerana cinta yang besar dan pengertian yang mendalam.

Dia bukan tidak kasih dan cinta, dia hanya seorang manusia. 

Masih mencintainya,
Selangor.

Thursday, September 22, 2022

Mujahadah (lagi)

Bismillah

Tidak terkira berapa banyak telah melebihi. Tidak terkira jiwa yang dinodai. Moga Tuhan terus izinkan ruang dan peluang untuk sentiasa perbaiki. Moga tidak lelah untuk terus kuat berjuang. Istighfar dan bangkit kembali. Kembali meski sunyi tiada bahu di sisi, meski tangan tidak dipimpini mahupun dan dihargai. Kembalilah meski masih cacat dan tidak sempurna.

Tuhan, lembutkan aku lagi.

Bumi Tuhan
September 2022.

Thursday, October 28, 2021

Cinta

Bismillah

Barangkali, akan bertanya hingga tidak terkira. Barangkali, akan bertanya hingga lelah jiwa raga.


Moga jika ini kelemahan, Tuhan bantu melaluinya. Tuhan bantu menenangkan rasa-rasa. Kerana akhirnya, kepada-Nya jualah segala bentuk pengabdian dan penyerahan.


Moga jika ini kelompongan hati, Tuhan bantu memenuhinya dan melapangkannya. Moga jika ini ketakutan dan kerisauan, Tuhan bantu memayunginya dengan keamanan.


Benar, Tuhan cukupkan semua rasa-rasa ini, kerana sesungguhnya Kau-lah yang mencukupkan segala yang terbaik buat hamba.


Tuhan berkatilah jiwa-jiwa kami, moga terpelihara daripada segala dosa, noda dan hasad-hasad mata. 


Wassalam,

Seorang suri.


Wednesday, February 17, 2021

Dunia yang sekejap

Bismillah.

Teringat momen ketika berpantang; saat sepasang mata kengantukan di tengah malam bersama anakanda Azam, saya tergerak hati membuka telefon bimbit (hp). Entah kenapa jari lari menuju ikon facebook, klik dan kemudian terpapar perkembangan-perkembangan terkini. Mata saya berhenti membaca satu hantaran (post) daripada kawan yang sangat mengejutkan saya. Tangan saya lantas kesejukan, air liur ibarat tersekat di rongga tekak. Tidak percaya membacanya malah saya membacanya berkali-kali untuk benar-benar pasti. AllahuAkbar, saya terkedu, teringat peristiwa petang itu. 

Lebih kurang 2.30-3.00 petang, sang suami dan anakanda Zayd keluar untuk ke kedai gunting rambut. Katanya ke kedai berhampiran masjid yang tidak jauh dari rumah. Minit-minit berlari sehingga menghampiri angka 4 lebih. "Lama lagi ke depa ni?" Pinggangku sudah mula kelenguhan memangku Azam yang manja petang itu. Saya cuba menghubungi suami melalui Whatsapp, tidak dibaca. Masa terus berlalu, saya masih cuba menahan diri, kerana saya tahu, memang lama juga potong rambut lelaki tapi takkan sampai sejam lebih. Hati saya mula tidak keruan. Saya mula menghubungi suami melalui panggilan telefon ketika itu, namun kecewa kerana tidak berangkat. Beberapa kali mencuba namun masih sepi tidak berbalas. Bertambah debar kerana masih tidak dapat memastikan keadaan mereka. Resah dan mula memikirkan sesuatu yang negatif, jujurnya saya ketakutan. Saya mengalihkan posisi beberapa kali, dari duduk ke bangun begitu juga sebaliknya. Air yang melalui tekak terasa tidak melegakan kerana saya begitu risau dek semua panggilan saya tidak dijawab, Allahu Tuhan bantulah saya. Saya mula memikirkan yang bukan-bukan na'uzubillahi min dzalik. Air mata mengalir, bagaimana jika saya ditinggalkan dua kesayangan saya. Pelbagai soalan terasa pahit untuk dijawab, namun di manakah mereka? Kenapa tak sampai rumah lagi, sedangkan sudah menghampiri jam 5 ketika itu.

Ya, saat itu benar-benar menguji saya, saya risau akan kehilangan. Sedih dan tak mampu berfikir. Doa dan doa semoga Allah pinjamkan lagi mereka untuk saya, insyaAllah. Saya terus memandang pagar rumah, mengharapkan Tuhan mengizinkan lagi saya bertemu suami dan anak. Hinggalah pada akhirnya, pintu pagar rumah terbuka dan mereka; insan-insan kesayangan pulang. Saya sebak TT. Terasa peringatan Tuhan begitu dekat, bahawa semua di dunia ini adalah pinjaman termasuk semua kesayangan di sisi kita. Hargailah sesungguhnya yang terdaya kerana entah bila pinjaman ini akan kembali kepada Tuannya. Bagai diberi peluang demi peluang untuk lebih mengasihani, menghargai dan berbuat baik kepada yang terdekat khususnya.

Kawan saya kehilangan suaminya Allahu inna lillahi wa inna ilaihi rojiun TT. Dan Tuhan masih pinjamkan suami dan anak buat saya, moga kau beringat!

Moga terus cinta, insyaAllah.

Hargailah dunia yang sekejap ini, Puan Nurul! Tuhan, bantulah saya.

Wassalam,
Puchong 2021.